Sukan
BARISAN muda skuad badminton negara mencipta bangga di Isle of Man, kelmarin apabila gah memenangi empat pingat emas daripada jumlah lima dipertandingkan dalam temasya Sukan Komanwel Remaja IV (YCG).
Emas berkenaan adalah sumbangan beregu campuran, Teo Ee Yi-Chow Mei Kuan, juara perseorangan remaja Asia, Zulfadli Zulkiffli, beregu wanita, Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu lelaki,Nelson Heg-Ee Yi.
Skuad negara pulang dengan jumlah keseluruhan tujuh pingat, termasuk dua perak dan satu gangsa untuk mengatasi pencapaian di Sukan Komanwel Remaja 2008 di India dengan tiga emas. SASARAN tiga pingat pelbagai warna pada penyertaan Sukan Komanwel Remaja IV diatasi dengan skuad badminton negara menghadiahkan empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Pusat Sukan Kebangsaan, Isle Of Man.
Catatan keseluruhan tujuh pingat dalam perlawanan akhir yang berlangsung kelmarin itu sekali gus mengatasi pungutan pingat pada edisi Sukan Komanwel Remaja 2008 di India apabila negara memenangi tiga emas.
Emas pertama diperoleh menerusi gandingan beregu campuran, Teo Ee Yi-Chow Mei Kuan yang menumbangkan pasangan India, Srikanth Kidambi-Maneesha Kukkpalli, 18-21, 21-16, 21-8 dan seperti dijangka, juara remaja Asia dan pilihan pertama, Zulfadli Zulkiffli menewaskan musuh ketat dari India, Sameer Verma, 21-16, 17-21, 21-15.
"Tugas kami sudah selesai dan tujuh pingat memang tidak diduga sama sekali. Kemantapan pemain akan terus diasah untuk Kejohanan Remaja Dunia di Taiwan, November depan," kata jurulatih badminton, Yap Kim Hock.
Beregu wanita negara, Mei Kuan-Lee Meng Yean mengatasi rakan sepasukan, Sonia Cheah-Yang Li Lian 21-17, 21-8 untuk emas ketiga manakala pingat emas keempat hadir menerusi beregu lelaki, Nelson Heg-Ee Yi yang menumbangkan Ryan McCarthy-Tom Wolfenden (England) 24-22, 21-16.
Terdahulu, Nelson-Meng Yean turut meraih gangsa dalam acara beregu campuran apabila membenam McCarthy-Emily Westwood dari England, 21-14, 21-10.
Malaysia terlepas satu pingat emas dalam final perseorangan wanita apabila Sonia terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tunduk kepada pilihan pertama dari India, Pusarla Sindhu 20-22, 8-21 sementara Li Lian tewas kepada Kirsty Gilmour dari Scotland 16-21, 20-22 bagi penentuan gangsa.
Dalam acara berbasikal kriterium, pelumba wanita negara, Ju Pha Som Net menduduki tangga ke-11 manakala Hamdan Hamidun di tempat ke-24 kategori lelaki.
0 ulasan:
Catat Ulasan