Sukan
Shukur harus kuasai bahagian tengah Olimpik ADA perkhabaran dari Jepun, semalam yang harus memberi sedikit kelegaan buat barisan didik Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang jaguh Asia itu dalam saingan Kumpulan C, Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Tosu, Wilayah Saga, Rabu ini.
Pemain tonggak tengah pasukan tuan rumah, Kosuke Yamamoto dikhabarkan tercedera ketika aksi Liga Jepun, Rabu lalu dan tahap kecergasannya diragui jurulatih, Takashi Sekizuka yang terpaksa memanggil Kota Mizunuma mengisi kekosongan itu. Ia sekadar menjelaskan betapa pemain tengah skuad Olimpik negara, Abdul Shukur Jusoh harus memainkan peranan penting menafikan tuan rumah menguasai posisi ini yang boleh mengubah wajah cabaran pasukan negara.
"Secara peribadi, saya sudah bersiap dari segi fizikal dan mental untuk turun berdepan Jepun. Saya janji akan beri 100 peratus persembahan sepanjang perlawanan nanti.
"Walaupun saya tak bermain pada tiga aksi kelayakan awal sebelum ini, saya dan Gurusamy sebenarnya sudah biasa bergandingan kerana kami sudah tiga tahun bersama sejak 2008," kata Abdul Shukur yang berasal dari Terengganu.
Penyerang berusia 22 tahun itu yang tidak diturunkan pada kedua-dua aksi pusingan pertama bertemu Pakistan serta aksi pertama pusingan kedua menentang Lubnan di Beirut masuk pada minit ke-55 ketika skuad negara menewaskan Lubnan 2-1 pada aksi kedua di Bukit Jalil, 23 Jun lalu.
Peluang terhidang buat Abdul Shukur setelah tonggak tengah, Gary Steven Robbat dilayangkan kad merah pada minit ke-51 ketika perlawanan tersebut, sekali gus digantung satu perlawanan dan tidak dibawa ke Jepun oleh jurulatih, Kim Swee.
Namun ia langsung tidak menggentarkan Abdul Shukur untuk menampilkan persembahan terbaiknya apabila bakal bergandingan dengan K Gurusamy di posisi tengah pada perlawanan Rabu ini.
Ditanya tentang ketiadaan Gary Steven dan seorang lagi pemain, Ahmad Fakri Saarani yang turut digantung, Abdul Shukur berkata: "Tak kisahlah siapa yang ada atau tidak. Yang penting sesiapa yang turun nanti tampil dengan tekad mencipta kejutan ke atas Jepun."
0 ulasan:
Catat Ulasan