Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Syarat FAS

Posted: 03 Sep 2011 09:35 AM PDT

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) rela melepaskan Safiq Rahim untuk mencuba nasib bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City namun menuntut pemain perancang itu memberikan tumpuan terlebih dulu kepada saingan Piala Malaysia yang akan bermula 6 September ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya hanya membenarkan kapten skuad Harimau Malaya itu menjalani ujian pemilihan bersama Cardiff selama dua minggu selepas kempen Piala Malaysia berakhir 29 Oktober depan.


"Saya sudah mendapat salinan surat daripada Safiq dan berbincang mengenai perkara itu. Saya dimaklumkan Cardiff City mahu Safiq menjalani 'trial' (ujian pemilihan) selama dua minggu bulan ini atau Oktober depan.

"Saya sudah memaklumkan kepada Safiq FAS hanya benarkan dia pergi ke sana selepas Piala Malaysia berakhir.


"Safiq masih ada tanggungjawab (kontrak) bersama Selangor hingga 31 November ini. Saya beritahu Safiq supaya memberi komitmen tinggi sebelum pergi dan dia berjanji untuk melakukannya," kata Hamidin.


Hamidin berkata demikian sewaktu ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya di Shah Alam, Selangor yang turut dihadiri Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad dan pemain Selangor, semalam.

Safiq, 24, pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan mendapat tawaran itu minggu lalu selepas mengadakan perbincangan dengan pengerusi Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee.


Jika berjaya pada sesi pemilihan itu, dia bakal ditawarkan kontrak pada musim perpindahan pemain Januari depan untuk menyertai kelab yang dibimbing pengurus, Malky Mackay.

Ketika ditanya adakah Selangor bakal tempang musim depan jika Safiq mendapat tawaran itu, Hamidin bagaimanapun tetap optimis.


"Selangor tak ada masalah, tahun depan kita cari pemain lain. Safiq ke sana mampu memberikan manfaat kepada pasukan kebangsaan," katanya.


Sementara itu, Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan sama ada untuk menunda jadual perlawanan Piala Malaysia yang bertembung dengan perlawanan persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan menentang Australia 7 Oktober depan.


"Ada kemungkinan kita terpaksa menunda perlawanan suku akhir atau separuh akhir Piala Malaysia, tapi perkara ini akan ditentukan minggu depan. Kita ada beberapa pilihan sama ada tunda atau kekalkan jadual asal dengan bermain tanpa pemain kebangsaan," katanya.

England menjadi

Posted: 03 Sep 2011 09:31 AM PDT

SOFIA: Wayne Rooney menjaringkan dua gol ketika pasukan berwajah baru England semakin hampir untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Euro 2012 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Bulgaria, awal pagi semalam.

Rooney, yang meneruskan rentak cemerlang awal musim bersama Manchester United, menyumbat gol pada minit ke-21 dan 45 selepas England mendahului menerusi pertahanan Bolton, Gary Cahill di Stadium Vasil Levski.


Kemenangan itu membolehkan pasukan kendalian Fabio Capello itu mendahului tiga mata di puncak Kumpulan G, selepas Wales mengalahkan pasukan tangga kedua, Montenegro 2-1 semalam.

Jika England meraih tiga mata lagi menentang Wales di Wembley minggu depan, anak buah Capello hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan terakhir mereka menentang Montenegro pada 7 Oktober untuk memastikan kemaraan.


Namun kekalahan itu menamatkan peluang tipis Bulgaria untuk layak dan memberikan tekanan terhadap jurulatih dari Jerman, Lothar Matthaeus.


Capello memuji "satu persembahan sepasukan yang baik." "Semua pemain dalam pasukan benar-benar fokus," kata Capello. "Saya amat gembira dengan persembahan keseluruhan pasukan.

"Saya menyaksikan Bulgaria bermain menentang Switzerland dan Montenegro dan mereka mencipta banyak peluang, malam ini mereka hanya mencipta satu peluang." Sementara itu, bekas juara, Jerman muncul pasukan pertama menempah tiket ke pusingan akhir di Ukraine-Poland tahun depan selepas membelasah Austria 6-2 menyaksikan pasukan kendalian Joachim Loew itu meraih 24 mata maksimum daripada lapan perlawanan dalam Kumpulan A.


Perancis semakin hampir memastikan kemaraan tetapi bergelut sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Albania di Tirana, keputusan yang meletakkan pasukan bimbingan Laurent Blanc itu tiga mata di depan sebagai pendahulu Kumpulan D.

Itali turut semakin hampir layak secara automatik tetapi seperti Perancis, mereka juga berdepan liku sebelum menang 1-0 ke atas Kepulauan Faroe.


Belanda, pasukan yang menduduki ranking nombor satu dunia, mencatat rekod kemenangan besar 11-0 ke atas pasukan kerdil San Marino untuk mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut dan semakin hampir untuk mara dari Kumpulan E dengan berbaki tiga perlawanan. - AFP

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan