Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kim Swee buatlah sesuatu!

Posted:

Kim Swee buatlah sesuatu!

Kim Swee buatlah sesuatu!

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR – 'Bagai langit dan bumi', mungkin rumusan paling tepat menggambarkan jurang skuad Jepun dan skuad Olimpik Malaysia pada perlawanan kelmarin yang menyaksikan kita kecundang 0-2 kepada pasukan No. 1 Asia itu.

Jika tidak kerana kecekapan kapten pasukan yang juga penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, mungkin keputusan 0-2 itu bertukar kepada satu angka yang lebih menakutkan buat anak-anak buah Ong Kim Swee.

Itulah hakikatnya. Jika itulah persembahan terbaik yang dipamerkan oleh skuad Bawah 23 tahun negara, lupakan sahaja hasrat mahu mencipta sebarang kejutan ke atas dua lagi lawan yang akan ditemui dalam Kumpulan C, Syria dan Bahrain.

Beberapa jurulatih berpengalaman dan seorang tokoh bola sepak negara beranggapan selain menerima hakikat mutu bola sepak negara yang masih ketinggalan jauh di belakang negara matahari terbit itu, usaha memperbanyakkan perlawanan dengan pasukan kelas satu perlu dipergiatkan jika mahu melihat kita mampu berada dalam kelompok terbaik Asia.

Menurut jurulatih Terengganu, Irfan Bakti, melihatkan aksi anak-anak buah Kim Swee dalam 90 minit, pemain kita terlalu banyak kelonggaran dan kerap memberikan ruang kepada Jepun untuk bergerak.

''Dari segi teknik dan taktikal, skuad negara bukan tandingan Jepun, lihatlah sendiri bagaimana pergerakan pemain kita banyak yang tersekat dan berapa percubaan mereka (Jepun) serta skuad kita lakukan.

''Kita ada pemain yang mempunyai skil tinggi tetapi jelas mereka tidak mempunyai peluang berdepan Jepun yang pantas menutup ruang apabila pemain kita mula bergerak dan mahu membuka ruang," katanya yang dihubungi, semalam.

Justeru, Irfan berkata, usaha berterusan menghantar pemain mendapatkan pendedahan perlu ada dan seperti ke Slovakia.

''Walaupun kalah, saya harap semua pihak semua jangan putus asa, saya nampak penghantaran pemain ke Slovakia ada beri kebaikan walaupun hasil belum menyeluruh," katanya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Raja Zainuddin berkata, Jepun memang merupakan sebuah pasukan berkelas dunia tetapi perkara itu tidak boleh dijadikan alasan.

''Biarpun kalah 0-2, kita jangan berpuas hati kerana mutu permainan jelas masih jauh ketinggalan dengan Jepun.

''Pendedahan bermain dengan pasukan-pasukan yang mempunyai kualiti seperti Jepun harus diperbanyakkan jika mahu menaikkan lagi tahap permainan kita.

''Kita jangan asyik cari pasukan yang kemampuan setara atau lebih lemah daripada kita sahaja dengan alasan mahu meningkatkan ranking seperti mana skuad senior, kalau tidak sampai bila kita tidak akan ke mana-mana," jelasnya.

Sementara jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mengakui dia telah nampak sedikit peningkatan persembahan daripada skuad Olimpik tetapi belum mampu menghampiri kekuatan yang ada pada Jepun.

''Pada kecergasan pemain, saya nampak kita setanding dengan Jepun cuma daripada kekuatan fizikal, kita masih ketinggalan.

''Apabila saya menyebut fizikal, ia bukan bermakna terletak semata-mata kepada faktor ketinggian atau saiz badan tetapi menjurus kepada kekuatan ketika bersaing perebutan bola," katanya.

Beraksi buat pertama kali selepas pulih sepenuhnya

Posted:

Beraksi buat pertama kali selepas pulih sepenuhnya

Beraksi buat pertama kali selepas pulih sepenuhnya

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my


Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Naim Mohamad (kiri) bersama pengurus pemasaran Air Cab, Tia Wahid (tiga dari kiri) dan Mohd. Azizulhasni Awang yang memegang pas percuma untuk cabutan bertuah menaiki helikopter di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan John Beasley.


KUALA LUMPUR – Pelumba trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang mengakui kecederaan ngeri yang dialaminya pada Siri Piala Dunia Klasik di London, Februari lalu mempunyai hikmah tersendiri terutama tentang teknik kayuhannya.

Menurut Azizulhasni, sejak menjalani latihan di atas trek di Melbourne selepas tiga bulan tidak berkayuh akibat kecederaan di betis kirinya, dia mula merasai terdapat perbezaan dari segi imbangan kayuhannya berbanding sebelum ini.

"Saya tidak berasa fobia untuk beraksi di atas trek cuma saya merasakan ada hikmah di sebalik kecederaan ini kerana saya dapat melakukan imbangan kayuhan dengan lebih baik," katanya ketika ditemui media pada sidang akhbar Tabung Amal Berbasikal Leukimia Yayasan Sime Darby.

Jelasnya, sebelum mengalami kecederaan akibat tertusuk kayu serpihan trek, kayuhannya tidak begitu seimbang (pergerakan badan ke kiri dan ke kanan) namun selepas melakukan latihan asas terdapat kelainan dari segi kayuhannya.

"Cuma dari segi prestasi tidak seperti dulu, saya perlu banyak berlatih lagi untuk mempertingkatkan lagi kayuhan saya. Itulah sebabnya saya tidak dibenarkan menyertai Sukan Universiti Dunia di Shenzen bulan lepas.

"Tumpuan saya hanya satu iaitu bersedia untuk turun beraksi dalam kejohanan pertama saya di Siri Piala Dunia Klasik 2011-12 di Astana, Kazakhstan pada November ini. Saya tidak kisah latihan asas yang dikendalikan oleh ketua jurulatih negara, John Beasley agak panjang kerana itulah yang diperlukan saya," kata pelumba kelahiran Dungun itu.

Kata Azizulhasni, dia menggunakan sepenuhnya latihan asas di Melbourne untuk mendapat semula rentak kayuhan terbaik dan hasilnya akan dilihat nanti di Siri Piala Dunia Klasik pertama.

"Saya akui prestasi saya semakin meningkat dari hari ke hari, saya seperti bermula semula dari kosong selepas tidak berkayuh selama tiga bulan tetapi saya masih belum cergas 100 peratus ia mungkin mengambil sedikit masa.

"John (Beasley) telah meletakkan sasaran untuk saya memuncak di Kejohanan Trek Dunia di Melbourne April depan jadi sekarang saya perlu berlatih bersungguh-sungguh dengan beberapa variasi latihan termasuk di gim, kayuhan jauh dan di trek," katanya.

Selain mengesahkan penyertaan di Astana, Azizulhasni juga sudah hampir pasti untuk beraksi di Siri Piala Dunia Klasik 2011-12 di Cali, Colombia (Disember), bagaimanapun dia belum pasti lagi menyertai perlumbaan Siri Piala Dunia Klasik 2011-12 di Beijing (Januari) dan London (Februari).

"Saya perlu melihat dahulu situasi dan keadaan saya bagi menyertai semua Siri Piala Dunia Klasik tetapi apa yang boleh saya katakan ialah saya tidak sabar untuk kembali beraksi selepas berehat panjang.

"Saya juga tidak meletakkan sebarang sasaran di Astana, ini adalah untuk mengukur tahap kemampuan saya," kata Azizulhasni.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan