Sukan
Selangor ghairah benam Singapura LUKA kekalahan Harimau Malaya kepada pasukan tetangga, Singapura pada saingan kelayakan Piala Dunia 2014, Julai lalu jelas masih sukar dilupakan peminat tanah air biarpun sudah dua bulan berlalu.
Namun, detik kecewa itu mungkin mampu ditebus 'lebih awal' dengan mengharapkan pasukan Selangor kendalian P Maniam dapat menumbangkan Singapura bimbingan Radojko Avramovic pada aksi Piala Sultan Selangor 2011 di Stadium Shah Alam, malam ini. Walaupun hanya bersifat perlawanan tahunan, permusuhan Selangor, juara Piala Malaysia 32 kali dan Singapura, juara kedua terbanyak, 24 kali kini dihangatkan lagi dengan dendam kekalahan skuad kebangsaan 4-6 menerusi agregat, Julai lalu.
Berbekal kelibat bekas pemain Liverpool, Jason McAteer, 40, bekas pemain Manchester United, Jesper Blomqvist, 37, serta penyerang sensasi Pelita Jaya, Safee Sali, 27, misi ini tampak tidak mustahil.
Kemenangan nyata penting buat kedua-dua pasukan kerana selepas sembilan edisi, Selangor dan Singapura masing-masing muncul juara mutlak sebanyak empat kali manakala edisi 2004 berakhir dengan gelaran juara bersama.
Apa yang pasti seluruh penyokong Harimau Malaya mahu Selangor mengaum benam Singapura.
0 ulasan:
Catat Ulasan