Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


FAM tidak sapu semua

Posted: 24 Oct 2011 10:28 AM PDT

SEBAIK mengetahui keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket RM50 untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, ramai penyokong pasukan finalis Terengganu dan Negeri Sembilan yang mengeluh.

Bagi mereka, harga tiket sekata untuk semua tempat duduk itu agak mahal jika dibandingkan tahun lalu apabila penonton mempunyai pilihan sama ada mahu membeli tiket berharga RM50 bagi tempat duduk grandstand dan RM30 untuk tempat duduk biasa di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S Sivasundaram, pihaknya mempunyai alasan tersendiri dalam membuat ketetapan mengenai harga baru tiket itu.

"Dulu kita jual tiket RM50 dan RM30, ada penonton yang beli tiket RM30 kemudian lompat ke tempat duduk grandstand, sekarang kita buat keputusan untuk letak satu harga tiket saja.


"Duit kutipan tiket ini selepas ditolak dengan kos penganjuran akan diagih-agihkan sama rata kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan Negeri Sembilan (PBNS), jadi pihak persatuan yang akan dapat duit ini.


"Duit yang dikutip ini dapat menampung kos perbelanjaan mereka selepas membentuk pasukan yang mantap bagi merebut Piala Malaysia. Ini perlawanan yang berprestij jadi adalah wajar dengan harga tiket yang dikenakan itu," katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Selain tiket berharga RM50 bagi dewasa, FAM juga mengeluarkan tiket berharga RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.


Sebanyak 65,000 tiket akan dijual bagi menyaksikan final Piala Malaysia kali ini dengan 30,000 tiket akan diagihkan sama rata kepada persatuan Terengganu dan Negeri Sembilan bermula hari ini.

Biarpun FAM mengenakan harga baru, Sivasundram tetap yakin penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan akan tetap membanjiri Stadium Shah Alam untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.


"Kami sudah berbahas mengenai harga tiket ini dalam mesyuarat sebelum ini dan tidak ada bantahan oleh kedua-dua pasukan. Saya tetap yakin semua 65,000 tiket yang dikeluarkan akan habis dijual," katanya.


Sementara itu, pada sidang media perlawanan akhir Piala Malaysia semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan gelanggang perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Shah Alam.


Katanya, keadaan padang di stadium itu kini sedang dibaik pulih dan boleh digunakan pada final Sabtu ini selepas Stadium Nasional tidak dapat digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf trek.

Full content generated by Get Full RSS.

Tak masuk akal

Posted: 24 Oct 2011 10:16 AM PDT

KELAB Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan harga tiket RM50 bagi semua tempat duduk pada aksi final Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Setiausahanya, Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, harga tiket yang ditetapkan badan induk bola sepak negara itu terlalu mahal dan tidak masuk akal selain tidak menunjukkan semangat kesukanan sebenar.


"Sepatutnya FAM mengkaji lebih mendalam terlebih dulu sebelum membuat keputusan itu termasuk mengambil kira kos terpaksa ditanggung peminat kedua-dua pasukan yang sudah tentu akan membanjiri stadium.

"Sebagai contoh, peminat dari Terengganu terpaksa melalui perjalanan yang jauh sebelum sampai ke Shah Alam dan sudah tentu kos yang perlu ditanggung peminat amat tinggi termasuk pengangkutan, tol dan makan minum.


"Sekiranya FAM masih tidak berganjak dengan keputusannya untuk tidak menurunkan harga tiket, saya percaya matlamat untuk menarik minat penyokong ke stadium tidak akan tercapai selain akan mengurangkan kemeriahan pertandingan akhir itu.


"Kami mahu FAM mengkaji semula harga tiket dan berharap harganya dapat dikurangkan kepada RM30 bagi tempat duduk biasa dan RM50 bagi tempat duduk VIP," katanya.

Sementara itu, seorang peminat, Amaliza Ismail, 38, berharap FAM tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata tetapi perlu melihat sokongan padu yang bakal diberikan penyokong kedua-dua pasukan.


"Keputusan FAM menetapkan harga tiket RM50 amat melampau dan tidak mengambil kira kos yang terpaksa ditanggung terutama peminat Terengganu yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke Shah Alam.

"Saya berharap FAM mengkaji semula keputusan itu dan jangan ambil kesempatan ketika peminat sudah mula menunjukkan minat terhadap bola sepak negara," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan