Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harimau Malaya harus buktikan

Posted:

Harimau Malaya harus buktikan

Harimau Malaya harus buktikan

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

MUSLIM (kiri) kurang konsisten ketika diberi tanggungjawab mengemudi jentera pertahanan Harimua Malaya.


BOLOS 21 gol dalam lima perlawanan kompetitif berturut-turut di pentas antarabangsa sememangnya sesuatu yang langsung tidak boleh dibanggakan oleh pasukan bola sepak kebangsaan.

Mereka sebelum ini tewas 0-4 dan 3-6 kepada Arsenal dan Liverpool pada aksi Pra-Jelajah Asia sebelum ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 oleh Singapura secara agregat 4-6, Julai lalu.

Yang terbaharu, skuad Harimau Malaya tewas 0-5 kepada Australia dalam aksi persahabatan Jumaat lalu sebelum selamat tiba di tanah air sehari kemudian.

Sesungguhnya, rentetan episod kekalahan dengan jumlah jaringan yang cukup besar ketika ini wajar diatasi segera oleh anak buah Datuk K. Rajagobal.

Jika trend 'murah hati' ini diteruskan, tidak mustahil sekiranya pasukan kebangsaan sukar untuk mendapatkan lawan berstatus kelas A waima untuk sekadar mengadakan perlawanan persahabatan semata-mata selepas ini.

Malah jangan terkejut sekiranya skuad negara cuma akan dijemput Socceroos bagi perlawanan persahabatan dalam tempoh 20 tahun lagi selepas kali terakhir membuat perhitungan dengan mereka pada final Piala Kemerdekaan Indonesia pada 1992.

Dalam aksi di Canberra baru-baru ini, gawang Malaysia dibolosi lima gol masing-masing menerusi jaringan Josh Kennedy dan Alex Brosque sementara bintang Middlesbrough, Rhys Williams mencatatkan nama selaku penjaring Australia seawal minit kedua.

Sebelum ini, ketika menentang Arsenal, benteng pertahanan negara dimalukan oleh Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Thomas Rosicky sementara Charlie Adam, David Ngog (dua gol), Maxi Rodriguez (dua gol) dan Dirk Kuyt pula berpesta gol semasa The Reds membelasah Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Jutaan peminat fanatik bola sepak tempatan juga masih belum dapat melupakan kekalahan memilukan semasa ditewaskan pasukan jiran, Singapura dalam aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2014 menerusi enam gol jaringan Alexandar Duric (dua gol), Qiu Li, Mustafic Fahrudin, Shahril Ishak dan Shi Jia Yi.

Jika diperhatikan secara amnya, nama-nama seperti Mahali Jasuli, Mohd. Zubir Azmi, Asraruddin Putra Omar, Muslim Ahmad, Aidil Zafuan Abdul Razak, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd. Fadhli Shas adalah antara yang sering menjadi pilihan Rajagobal mengemudi benteng pertahanan negara.

Apa yang tidak kena sebenarnya? Adakah wajah-wajah yang menerajui benteng pertahanan negara ketika ini bukannya yang terbaik?

Jika hendak diukur menerusi saingan domestik, benteng Terengganu dilihat paling kebal apabila sekadar bolos tiga kali dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia kali ini menerusi gandingan Marzuki Yusof, Ronny Harun dan Mazlizam Mohamad, wajah-wajah yang mungkin perlu lebih banyak diberikan peluang oleh Rajagobal selepas ini.

Meskipun Rajagobal dilaporkan bersedia meletak jawatan jika gagal membantu Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2015 seperti mana dilaporkan akhbar baru-baru ini, ia bukanlah satu penyelesaian sebenarnya.

Bukan apa, penyokong pun sebenarnya faham daripada hendak meminta yang 'bukan-bukan' daripada skuad Rajagobal setelah berjaya menamatkan kemarau penantian selama beberapa tahun menerusi pingat emas Sukan SEA 2009 dan juara Piala AFF Suzuki 2010 sebelum ini.

Cuma senang cerita, jika tewas pun biarlah 'berpada-pada' jangan sampai kena bolos empat atau lima gol. Pendek kata, jangan 'murah hati' sangat.

Full content generated by Get Full RSS.

Mungkin tiada tempat

Posted:

Mungkin tiada tempat

Mungkin tiada tempat

LONDON - Jurulatih England, Fabio Capello memberi bayangan bahawa penyerangnya, Wayne Rooney mungkin perlu berusaha lebih keras bagi merebut semula tempat dalam kesebelasan utama menjelang pusingan akhir Euro 2012 di Poland dan Ukraine nanti.

Rooney tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya satu perlawanan pada Euro 2012 gara-gara dilayangkan kad merah ketika England seri 2-2 dengan Montenegro Ahad lalu, kad merah keenam yang dikutipnya di pentas antarabangsa.

Disebabkan itu, Capello tidak teragak-agak memilih pemain lain di bahagian serangan, selain memberi amaran kepada Rooney untuk bekerja keras jika mahu merebut semula tempatnya di dalam skuad England.

"Saya bersedia menyisihkan Rooney," jawab Capello apabila ditanya sama ada beliau bersedia untuk mengetepikan Rooney dalam skuad England.

"Sebagai pengurus, saya sentiasa mencari pemain yang terbaik di dalam skuad.

"Saya perlu fikirkan banyak perkara terutamanya dalam dua perlawanan awal apabila tidak dapat menggunakan khidmatnya.

"Untuk itu, dia perlu berusaha keras jika mahu kembali dalam kesebelasan utama," kata jurulatih kelahiran Itali itu.

Menurut Capello: "(Jermain) Defoe bermain baik ketika menentang Arsenal. Daniel Sturridge juga begitu," katanya.

Pada masa sama, Capello juga yakin dapat menguji beberapa pemain lain menjelang aksi persahabatan menentang Sepanyol pada 12 November depan.

"Rooney tidak akan bermain menentang Sepanyol. Saya mahu menguji pemain baharu, gaya baharu dan pergerakan yang berbeza.

"Kadang-kadang dia mungkin akan muncul sebagai pe main gantian, tetapi saya rasa mungkin tidak kerana saya

perlukan pasukan

terbaik di Euro 2012

nanti," katanya. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Selangor harus berhati-hati

Posted:

Selangor harus berhati-hati

Selangor harus berhati-hati

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


KEZMAN antara pemain bintang yang mendapat perhatian Gergasi Merah.


PADA penghujung musim 1990-an dahulu, Selangor pernah dikecewakan dengan tindakan bekas tonggak England, Tony Cottee yang dilihat langsung tidak profesional apabila 'tergesa-gesa' meninggalkan pasukan itu sebelum kontraknya tamat.

Jika diikutkan, Cottee sebenarnya bukanlah pilihan utama skuad Gergasi Merah ketika itu jika tidak kerana bintang Arsenal, Nial Quinn yang tiba-tiba 'hilang' sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pantas menyambar Cottee berdasarkan reputasinya yang dikhabarkan cukup cemerlang ketika mewakili England di kancah persaingan antarabangsa semasa itu.

'Disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari'.

Jodoh Cottee bersama Selangor tidak berpanjangan apabila dikhabarkan tidak begitu gembira sepanjang beraksi di bumi Malaysia.

Selain dilaporkan kecewa kerana terpaksa mencuci butnya sendiri, alasan Cottee yang dikatakan marah kerana tidurnya terganggu dengan bunyi jam loceng rakan sepasukannya, Ismail Ibrahim yang bangun menunaikan sembahyang Subuh ketika itu sememangnya mengundang kemurkaan peminat fanatik Gergasi Merah.

Justeru, jika benar desas-desus mengenai keinginan Selangor yang dikhabarkan mahu memancing bekas pemain Chelsea, Mateja Kezman sebagai seorang daripada dua tenaga import mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan, ada baiknya ia harus dinilai secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan.

Keterujaan mengambil pemain berstatus bintang sememangnya berisiko walaupun sejarah membuktikan beberapa pemain terkemuka seperti David Mitchell, Allistair Edwards, Christopher Kiwomya, Mehmet Durakovic, Karel Stromsik serta dua bintang Indonesia, Elie Aiboy dan Bambang Pamungkas dilihat cukup cemerlang membantu Selangor sebelum ini.

Tambahan pula sekiranya Kezman, 32, bersetuju menyarung jersi Selangor, sudah tentu ia dilihat mampu menarik lebih ramai penonton ke Stadium Shah Alam.

Ketika ini, Kezman sedang beraksi bersama kelab Belarus, Bate Borisov yang bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah sehingga penghujung tahun ini selepas kontraknya bersama kelab Hong Kong, South China tamat Mei lalu.

Kezman yang memulakan kariernya selaku pemain bola sepak seawal usia 19 tahun bersama kelab Serbia, FK Partizan pada 1998 turut pernah mewakili beberapa kelab ternama Eropah seperti PSV Eindhoven, Atletico Madrid, Fenerbahce, Paris St. Germain dan Zanit St. Petersburg, selain gemar menyarung jersi bernombor sembilan atau 99.

Tiada sebarang pengesahan rasmi begitupun dikeluarkan FAS setakat ini berhubung keinginan mereka memikat hati pemain kelahiran Serbia itu supaya melebarkan sayapnya beraksi di pentas Asia Tenggara pula selepas ini.

Buat masa ini, teka-teki sama ada Kezman merupakan antara empat pemain yang dikhabarkan bakal hadir ke Shah Alam untuk diuji sepanjang bulan ini masih belum terjawab lantaran FAS ketika ini baru menguji seorang pemain pertahanan berusia 29 tahun dari Korea Selatan, Hwang Moo-Kyu yang telahpun mula diuji sejak pasukan itu tewas 0-1 kepada Singapura dalam aksi Piala Sultan Selangor (PSS) 2011 baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin semasa ditemubual media tempatan sebelum ini juga enggan mengesahkan nama-nama calon yang bakal diuji, namun pada masa sama tidak menolak kemungkinan mereka merupakan antara pemain yang pernah beraksi di kancah Liga Perdana England.

Nama-nama itu katanya, hanya akan diumumkan sebaik saingan Piala Malaysia musim ini berakhir.

Apa pun, jangan sampai 'pisang berbuah dua kali', justeru Selangor sepatutnya lebih berhati-hati tambahan pula Kezman juga dilaporkan turut mempunyai masalah sikap.

Belajarlah daripada kesilapan silam. FAS pastinya lebih tahu natijah yang mungkin mereka hadapi jika benar mahu mendapatkan khidmat pemain bintang.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan