Kosmo Online - Sukan |
Posted: 'Misi balas dendam'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
KATA orang, menang emas bagi acara bola sepak adalah jauh lebih bermakna berbanding muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan SEA. Justeru, ia memang satu cabaran yang cukup besar buat pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Ong Kim Swee pada temasya Sukan SEA 2011. Tambahan pula, turun selaku juara bertahan selepas jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berjaya menamatkan kemarau selama dua dekad di Vientiane, Laos dua tahun lalu. Petang ini, Harimau Muda bakal melayan cabaran Singapura bagi aksi pembuka tirai Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pukul 4 petang (5 petang waktu Malaysia), sekali gus menjadi penentu sejauh mana kemampuan skuad Kim Swee pada temasya kali ini. Tiga mata berharga perlu diraih bagi mengelak skuad negara terpaksa menempuh ranjau penuh berliku pada aksi seterusnya kerana tuan rumah, Indonesia dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan cabaran Kemboja dalam satu lagi aksi Kumpulan A pukul 7 malam waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia). Begitupun, jika tewas atau seri, Harimau Muda sepatutnya tidak 'mengibarkan bendera putih' terlalu awal kerana skuad Rajagobal juga kembali bangkit selepas bergelut di peringkat kumpulan sebelum muncul juara. Duka yang diratapi 'abang' mereka, Harimau Malaya yang ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura dengan agregat 4-6 pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014, Julai lalu juga harus ditebus oleh anak buah Kim Swee. Ketika itu, jutaan peminat fanatik bola sepak tempatan masih belum dapat melupakan enam gol memilukan hasil jaringan Alexandar Duric (dua gol), Qiu Li, Mustafic Fahrudin, Shahril Ishak dan Shi Jia Yi. Apa yang pasti, Harimau Muda harus berwaspada dengan 1,001 helah yang bakal direncanakan pengendali Singapura, Slobodan Pavkovic yang diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain kebangsaan, Izwan Mahbud, Shahdan Sulaiman dan Afiq Yunos. Sang Singa turut menerima khabar gembira selepas kaptennya, Hariss Harun dan dua lagi rakan sepasukan, Safuwan Baharudin serta Khairul Nizam Kamal turut diberikan pelepasan pada program Khidmat Negara yang diwajibkan Singapura sebelum ini. "Saya harap, para pemain matang sama ada di dalam mahupun di luar padang. Dalam pada masa sama, kami masih menghormati pasukan Singapura yang dilihat antara pasukan terkuat dalam kumpulan walaupun kami memegang status selaku juara bertahan," kata Kim Swee kepada Kosmo!. Selain Singapura, Indonesia dan Kemboja, turut bersama Malaysia di dalam kumpulan maut itu pada temasya kali ini ialah gergasi Asia Tenggara, Thailand. Atas kertas, keupayaan Malaysia dan Singapura dilihat seimbang dan pertemuan petang ini pasti menjanjikan satu aksi yang menarik. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada satu perlawanan persahabatan awal tahun ini apabila Singapura yang sekadar dibarisi pemain skuad Olimpik tewas 0-2 kepada Malaysia. Kedua-dua pasukan tidak bertemu di Vientiane, Laos dua tahun lalu apabila diundi dalam dua kumpulan berbeza, selain impian kedua-dua pasukan untuk membuat perhitungan di final ketika itu juga tidak kesampaian lantaran Singapura ditunjukkan jalan keluar oleh Vietnam 1-4 pada aksi separuh akhir. Sementara pada temasya di Korat pada 2007, impian skuad kebangsaan untuk mara ke separuh akhir juga dinafikan oleh Singapura apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B. Gol Malaysia diperoleh menerusi jaringan Amirul Hadi Zainal pada minit ke-71 manakala gol penyamaan Singapura hasil jaringan Agu Casmir sembilan minit kemudian. Malaysia yang memerlukan kemenangan apabila tewas 1-3 kepada Vietnam dan menang 4-0 ke atas Laos sebelum itu, terpaksa akur dengan kehebatan Singapura yang menempah slot ke separuh akhir dengan kelebihan satu mata. Pencapaian Harimau Malaya bagi aksi di Manila, Filipina pada 2005 pula terbukti lebih hebat apabila menempah slot separuh akhir sebelum dikecewakan 1-2 oleh Vietnam berbanding Singapura yang terkandas di peringkat kumpulan. Mengimbau semula perjalanan skuad Harimau Muda pada temasya di Laos dua tahun lalu, Harimau Muda yang menang besar 11-0 ke atas Timor-Leste pada aksi pembuka tirai terpaksa akur dengan kekalahan 1-3 kepada Vietnam dalam satu aksi berat sebelah ekoran beberapa keputusan kontroversi pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok. Selepas kembali bangkit mencatat kemenangan 4-0 dan 2-1 ke atas Kemboja serta Thailand di peringkat kumpulan, Malaysia berjaya menewaskan Laos 3-1 di separuh akhir ketika perlawanan masih berbaki 10 minit. Selepas itu, Malaysia menjinakkan Vietnam 1-0 di final apabila pemainnya, Mai Xuan Hop menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hasil percubaan Safiq Rahim. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Harimau Muda buru tiga mataOleh HELMI TALKAH SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara tidak mempunyai pilihan lain selain mengutip tiga mata penuh menjelang sepak mula aksi Kumpulan A menentang Singapura pada Sukan SEA 2011 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini. Jurulatih skuad B-23 negara, Ong Kim Swee berkata, sudah menjadi lumrah dalam setiap kejohanan, aksi pada perlawanan pertama adalah sangat penting buat mana-mana pasukan sekalipun dan tidak terkecuali anak-anak buahnya itu. Katanya, kemenangan pada pertemuan menentang Singapura itu penting bagi menyuntik semangat anak-anak buahnya untuk terus memberikan saingan sehingga tamat kempen peringkat kumpulan. "Namun, apa yang lebih penting adalah fokus pemain-pemain dalam perlawanan menentang Singapura itu. Bukan 100 peratus tetapi saya mahu pemain-pemain memberikan fokus 200 peratus. "Saya juga tidak mahu mereka memandang mudah perlawanan tersebut kerana ia hanya akan mengundang padah kepada pasukan. "Perlawanan kali ini juga adalah peluang terbaik buat skuad negara untuk menebus kekecewaan ketika tewas di tangan Singapura pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 yang lalu," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta, Indonesia semalam. Ditanya mengenai peluang anak-anak buahnya untuk mencatatkan kemenangan sulung pada pertemuan menentang Singapura itu, Kim Swee berkata: "Bukan cara saya untuk bercakap besar dalam mana-mana perlawanan yang dihadapi. "Begitupun, saya lihat skuad negara mempunyai kualiti jika dibandingkan dengan Singapura. "Namun, seperti saya katakan tadi, kita tidak boleh menandang mudah kemampuan Singapura. Ini kerana, setiap kali Singapura berdepan skuad negara, mereka pasti akan berjuang habis-habisan. "Sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan muslihat serta pergerakan pemain Singapura," ujar Kim Swee. Dalam pada itu, skuad negara menerima perkhabaran gembira apabila Kim Swee mengesahkan bahawa dua pemain perancang, Mohd. Irfan Fazail dan K. Gurusamy sudah kembali pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan masing-masing. "Sebelum ini, Irfan bergelut dengan masalah kecederaan lutut manakala Gurusamy pula hamstring. "Kedua-dua pemain itu sudah boleh diturunkan. Namun, untuk Irfan saya perlu membuat pemantauan kerana kecederaan yang dialaminya sebelum ini adalah kecederaan berulang. "Jadi... saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya kerana bimbang kecederaannya itu akan berulang kembali," tambah Kim Swee. Pada Sukan SEA kali ini, skuad negara tampil selaku juara bertahan selepas menamatkan kemarau selama dua dekad apabila berjaya memenangi pingat emas pada edisi dua tahun di Vientiane, Laos. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Syahrul tak puas hati prestasi sendiri Posted: Syahrul tak puas hati prestasi sendiri
SELEPAS meledak dua gol pada pertemuan menentang Laos dalam aksi persahabatan pada Oktober lalu, Syahrul Azwari Ibrahim nyata masih tidak puas dengan prestasi yang dipamerkan. Penyerang Harimau Muda berusia 18 tahun itu berazam untuk meneruskan prestasinya, sekali gus menjulang nama negara di persada antarabangsa. Disenaraikan dalam skuad kendalian Ong Kim Swee ke Sukan SEA 2011 Indobesia, pemain kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu tidak mahu menoleh lagi ke belakang lagi. Sebaliknya, Syahrul berikrar untuk memberikan sumbangan terbaik kepada skuad negara yang dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya di Laos dua tahun lalu. Jelasnya, meskipun menyedari kurang pengalaman di pentas antarabangsa, ia sedikit tidak menghalang untuk dia terus mempamerkan aksi yang mantap dan sentiasa berusaha bagi mencapai kemenangan buat skuad negara di Jakarta nanti. "Selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Loas pada Oktober lalu, saya masih berasa tidak puas sebaliknya berazam mahu meledak dengan lebih banyak jaringan. "Sebagai pemain bola sepak, saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi saya pada tahap yang lebih tinggi. Saya mahu sifat sebenar sebagai seorang penyerang ada dalam karakter saya. "Selepas disenaraikan dalam skuad bimbingan Ong Kim Swee, saya tidak mahu melepaskan peluang ini dan menganggap ini sebagai medan yang terbaik. Dalam masa yang sama, saya mahu membantu skuad negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada dua tahun lalu. "Ada pihak yang mempersoalkan pengalaman saya beraksi di pentas antarabangsa tetapi ia tidak pernah menjejaskan semangat saya untuk beraksi dengan lebih baik. "Saya tidak mahu mempersia-siakan peluang ini dan harapan saya, saya mahu bantu pasukan dengan mempertahankan pingat emas nanti," katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Jakarta pada 2 November lalu. Syahrul berkata, ketika ini dia sudah bersedia dari segi fizikal mahupun mental sekiranya diberikan peluang untuk beraksi menentang mana-mana pasukan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan