Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Saingan 'panas'

Posted: 15 Dec 2011 11:44 AM PST

Sukan

Pasukan Liga Super dikurangkan kepada 12 bermula 2013

SAINGAN Liga Malaysia 2012 pasti menjadi musim paling penting buat 13 pasukan Liga Super (tidak termasuk Lions XII) dan 11 pasukan Liga Perdana (tidak termasuk Harimau Muda B). Ia bakal menjadi penentu kedudukan mereka pada musim 2013 hingga 2016 kerana bilangan pasukan dalam Liga Super akan dikurangkan kepada 12.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengesahkan bahawa bermula musim 2013, Liga Super hanya akan menampilkan 12 pasukan (berbanding 14 pasukan sekarang) manakala Liga Perdana dikekalkan 12 pasukan untuk jangka masa sekurang-kurangnya empat musim. Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sebagai permulaan kepada penukaran jumlah pasukan Liga Super itu, aksi playoff bakal diadakan sejurus tamat saingan liga musim ini.

"Pasukan tercorot Liga Super 2012 automatik akan tersingkir ke Liga Perdana 2013 manakala pasukan teratas Liga Perdana 2012 automatik akan naik ke Liga Super 2013.

"Dengan Lions XII dan Harimau Muda B dikecualikan untuk naik turun liga, maka satu lagi slot terakhir Liga Super 2013 akan direbut empat pasukan iaitu tiga pasukan terbawah Liga Super 2012 (selepas pasukan tercorot) dan naib juara Liga Perdana 2012.

"Empat pasukan ini akan bersaing secara kalah mati timbal balik dan hanya satu pasukan ke Liga Super 2013 manakala tiga lagi ke Liga Perdana 2013," kata Hamidin pada sidang media selepas menutup sesi taklimat Liga Malaysia 2012 selama tiga hari di Shah Alam, semalam.
Namun selepas format 12 pasukan kedua-dua liga sudah stabil musim depan, turun naik liga hanya membabitkan dua pasukan tercorot Liga Super dan dua pasukan teratas Liga Perdana tanpa memerlukan sebarang aksi playoff.

Hamidin turut menjelaskan, format Piala Malaysia 2012 kekal 16 pasukan (12 teratas Liga Super dan empat teratas Liga Perdana) sebelum ia diubah kepada 24 pasukan bermula musim 2013 hingga 2016.

"Ia bagi memastikan kesemua 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Perdana beraksi sehingga penghujung musim. Maka tidak timbul masalah pasukan tidak layak ke Piala Malaysia terpaksa bayar juga gaji pemain.

"Formatnya, 24 pasukan ini dibahagi kepada enam kumpulan dengan juara kumpulan dan dua pasukan tempat kedua terbaik layak ke suku akhir," jelas Hamidin yang juga Naib Presiden FAM.

Full content generated by Get Full RSS.

'PSM tak boleh dimaafkan'

Posted: 15 Dec 2011 11:27 AM PST

Sukan

IMBAS kembali Rehan (kiri) bersama rakan ketika menjulang nama negara.

IMBAS kembali Rehan (kiri) bersama rakan ketika menjulang nama negara.

Hati saya pedih melihat kekalahan memalukan negara : Rehan

BEKAS perejam tersohor negara, Rehan Mat Din menyifatkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang diterajui Datuk Ahmad Ismail tidak harus dimaafkan atas kekalahan memalukan skuad negara kepada Indonesia pada Sukan SEA XXVI bulan lalu.

"Hati saya amat pedih melihat kekalahan itu. Jika dulu kami jadikan Indonesia hanya sebagai lawan 'pemanas badan', tetapi hari ini sudah terbalik. Saya cukup malu dan tidak terlintas di fikiran saya ia boleh berlaku. "Jadi, mereka (PSM) tidak patut dimaafkan. Sepatutnya, mereka harus malu dan bertanggungjawab kerana sudah mencalar dan memusnahkan imej negara. Sepatutnya, selaku pemimpin yang tahu tanggungjawab, mereka sudah mengundur diri secara terhormat," katanya,

Rehan, 45, yang membantu skuad negara membawa pulang dua emas ketika pertama kali sepak takraw dipertandingkan di Sukan Asia Beijing 1990 berkata, dia percaya nasib malang yang berlaku ke atas sukan tradisi itu kerana kelemahan PSM dalam mengangkat martabat dan memajukan sukan tradisi itu.

Dia yang membentuk gandingan emas bersama Nordin Sabaruddin dan Malik Samsuddin mengakui sepak takraw hari ini hilang aura dan tidak semeriah seperti era 1970, 1980 dan 1990-an dengan pelbagai pertandingan yang mampu menarik minat orang ramai menyaksikannya.

"Siapakah yang patut dipersalahkan dengan perkembangan hari ini? Adakah PSM mahu menuding jari kepada pihak lain? Saya dan bekas-bekas pemain tidak mempunyai agenda. Kami tidak ada niat menjatuhkan sesiapa dan merampas kuasa dalam PSM.
"Apa yang kami mahu sebagai bekas pemain yang sayang dan cintakan permainan ini, hanya mahu ia segera dipulihkan. Kepimpinan yang ada sekarang patut berundur dan muka baru perlu diberi peluang untuk membuktikan kemampuan dalam mengangkat semula martabat permainan ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan