Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


KOM perlu muka baru

Posted: 08 Dec 2011 07:29 AM PST

KEPINCANGAN dalam pentadbiran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) semakin tiada jalan penyelesaiannya andai masih tiada tindakan drastik dilakukan pucuk pimpinannya.

Bekas atlet 1980-an negara, Zaki Sadri (gambar) nyata kecewa dengan kemelut dalam KOM kerana mangsanya adalah atlet dan jika berterusan tidak mustahil olahraga akan terkubur apabila KOM tidak dapat lagi melahirkan atlet berbakat dan hanya mengharapkan pencapaian di peringkat Asia Tenggara.


"Langkah pertama yang harus diambil andainya mahu melihat olahraga kembali bergemerlapan adalah menggantikan semua pemimpin atasan dalam KOM dan mereka harus berundur dengan cara terhormat dengan meletak jawatan dan memohon maaf kerana gagal menerajui badan induk itu selepas sekian lama," tegasnya.

Itu pandangan ikhlas Zaki, jaguh lompat kijang negara selepas melihat apa yang berlaku antaranya luahan rasa kecewa Noraseela Khalid, atlet melarikan diri dari ujian dadah, nasib kuartet 4x400m negara serta kesanggupan Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil alih tugas KOM.


Biarpun sudah 18 tahun meninggalkan arena olahraga negara, dia sentiasa mengikuti perkembangan sukan itu kerana menyifatkan olahraga sudah menjadi sebahagian daripada darah dagingnya. Justeru kemelut yang dihadapi KOM tidak boleh dipandang begitu saja.


Kecewa dengan apa yang berlaku dalam pucuk pimpinan KOM, Zaki meluahkan pandangannya dan sudah sampai masa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan wajar andai ingin melihat olahraga berjaya dan bukannya kerana agenda peribadi.

Katanya, cara pemilihan baru perlu dilaksanakan dengan kelayakan khusus bagi sukan olahraga bukan dengan cara undian seperti yang dilakukan sekarang iaitu undian daripada setiap wakil negeri.


"KOM perlu menukar proses pemilihan itu kerana cara undian seperti sebelum ini akan menyebabkan kes beli undi dan merosakkan persatuan. Orang berkepentingan dan ada wang akan menawarkan diri untuk jadi popular dan bukan untuk membangunkan sukan ini.

"Struktur KOM mestilah seperti sebuah agensi korporat yang berusaha mencari penaja dan bukan 100 peratus meminta ehsan kerajaan semata-mata," katanya.


Rekod Zaki dalam lompat kijang berusia 22 tahun yang dilakar atlet itu pada 21 Ogos 1989 di temasya Sukan Sea, Kuala Lumpur, hingga kini belum dapat dipecahkan dan itu sudah mampu menggambarkan kepincangan KOM yang terus gagal mencari pelapis baru.


Lebih malang, tiada pengganti dalam acara itu dan seharusnya KOM tahu tanggungjawab mereka mencari dan membentuk lebih banyak atlet dan bukan mengharapkan atlet sedia ada.

Full content generated by Get Full RSS.

Habuan RM1 juta?

Posted: 08 Dec 2011 07:27 AM PST

ADA ganjaran lebih menarik menyusul buat skuad bawah 23 tahun negara yang menjuarai pingat emas Sukan Sea Indonesia bulan lalu apabila mereka dijangka menerima insentif daripada Telekom Malaysia (TM).

Jika berpandukan kepada janji TM sebelum ini ketika majlis menandatangani perjanjian sebagai Rakan Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 8 Julai lalu, skuad muda negara kendalian Ong Kim Swee itu bakal menerima insentif RM1 juta.


Bagaimanapun selepas hampir sebulan 'ibu emas' dibawa pulang ke tanah air dari Jakarta, masih belum ada sebarang perkembangan mengenai habuan itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan jumlah sebenar insentif itu mungkin akan diketahui selepas Jawatankuasa Kewangan FAM bermesyuarat esok.


"Telekom menjanjikan RM1 juta sebagai insentif untuk beberapa kejohanan dalam tempoh setahun dan selepas mesyuarat Sabtu ini (esok), baru kami bentangkan jumlah sebenar untuk skuad Sukan SEA," kata Azzuddin.


Sementara itu, bagi Kim Swee, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan dan menyifatkan sebarang sumbangan daripada pihak swasta bakal menaikkan lagi semangat pemain.

"Saya amat mengalu-alukan sebarang bentuk insentif kepada pasukan kerana ia boleh menjadi perangsang kepada pemain untuk lebih berusaha pada masa depan.


"Saya tidak fikir pemain akan lupa diri, sekurang-kurangnya ia boleh menarik minat mereka untuk terus kekal bersama pasukan walaupun mereka kini mula dipancing persatuan negeri atau kelab dengan tawaran gaji lumayan," katanya. Sebelum ini, semua pemain dan pegawai skuad Sukan Sea negara menerima ganjaran RM30,000 setiap seorang daripada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah atas kejayaan mereka mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos 2009.

Sementara itu, Kim Swee semalam mengumumkan senarai 23 pemain yang akan menyertai skuad Olimpik negara bagi siri latihan dan perlawanan persahabatan di Sydney menentang kelab Liga Australia, Sydney FC pada 13 Disember, Central Coast Mariners (15 Disember) dan Newcastle United Jets (19 Disember).

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan