Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Elak malapetaka - Soon Kit

Posted:

Elak malapetaka - Soon Kit

Elak malapetaka - Soon Kit

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my


BEREGU utama negara, Koo Kien Keat (belakang) dan Tan Boon Heong semakin merosot dan ini mungkin menjejaskan peluang Malaysia pada Kelayakan Piala Thomas bulan depan.


KUALA LUMPUR - Hakikat bahawa Malaysia berada dalam kedudukan yang amat bahaya dan berisiko gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas buat kali pertama, turut mengundang keresahan beberapa legenda badminton negara.

Terlalu bergantung kepada jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan ketiadaan pemain berkaliber lain, termasuk beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menunjukkan prestasi terumbang ambing, mengundang keraguan terhadap kemampuan skuad kita di Macau, 14-19 Februari ini.

Bekas pakar beregu yang menjadi tonggak Malaysia ketika menjulang Piala Thomas buat kali terakhir pada 1992, Cheah Soon Kit mengakui, tiada apa lagi boleh dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk merubah hakikat bahawa kita tampil dengan kekuatan paling minimum.

Begitupun, BAM boleh menggunakan tempoh kurang 20 hari sebelum kejohanan bermula untuk menyiapkan pemain ke tahap terbaik bagi meminumkan kelemahan kita apabila beraksi di Macau nanti.

"Saya rasa BAM terlalu memberi tumpuan kepada Sukan Olimpik hingga terlepas pandang Piala Thomas, jadi bila kejohanan sudah dekat barulah mereka sedar kita sebenarnya sudah tidak ada pemain.

"Sekarang kita sudah tiada pilihan. Ini saja pemain yang kita ada, jadi tempoh kurang sebulan perlu digunakan dengan sebijaknya untuk menyiapkan pemain sebelum berlepas ke Macau, harap kita dapat layak," kata Soon Kit.

Soon Kit, 44, yang hadir pada Malam Penghargaan Jasamu Dikenang BAM kelmarin berkata, seandainya Malaysia gagal melayakkan diri buat kali pertama, ia akan menjadi perkara paling menyedihkan buatnya sebagai seorang bekas pemain dan tonggak yang pernah menghadiahkan Piala Thomas buat negara.

Ketika ditanya adakah ia satu malapetaka buat Malaysia andai perkara itu berlaku, dia menjelaskan: "Saya tidak boleh kata begitu sekarang, ia bergantung bagaimana dan dengan siapa kita kalah. Tetapi kalau itu berlaku, BAM kena ambil iktibar dan jangan lagi terlepas pandang Piala Thomas kerana ia juga sama prestijnya dengan Olimpik."

Legenda badminton negara, Datuk Eddy Choong pula berkata, tindakan BAM lambat mengetengahkan pemain muda ke kejohanan senior antara faktor yang menyebabkan berlaku jurang besar di antara pemain muda dan Chong Wei.

Mengakui, misi membawa pulang Piala Thomas kini tidak lagi relevan kerana kita hanya bergantung kepada Chong Wei, namun beliau percaya, belum terlalu lewat untuk menyiapkan pasukan dua tahun dari sekarang.

"Sekarang BAM perlu pandang jauh dengan menyiapkan pasukan akan datang lebih awal. Mereka perlu menaikkan pemain-pemain remaja. Mereka tidak boleh lagi hantar pemain remaja ke kejohanan peringkat umur tetapi beberapa pemain terpilih perlu diberi pendedahan pada kejohanan bertaraf senior.

"Bersaing sesama remaja tahapnya lebih rendah. Walaupun lawan lebih hebat daripada pemain kita di peringkat umur, jika pemain kita diberi peluang beraksi dengan pemain senior antarabangsa mereka cepat matang, jika kita guna pendekatan ini tidak timbul isu tiada pengganti Chong Wei," katanya.

Tonggak perseorangan Malaysia pada Piala Thomas 1992, Foo Kok Keong pula mengakui, peluang untuk memenangi pingat emas Olimpik kini lebih relevan berbanding Piala Thomas kerana semua sandaran hanya kepada Chong Wei.

"Pada masa ini, Chong Wei ada peluang yang besar pada Sukan Olimpik tetapi peluang kita untuk Piala Thomas sukar kerana hanya ada seorang perseorangan saja," katanya.

Selain Chong Wei, cabaran perseorangan negara di Macau turut dipikul Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Mohd. Arif Latif, manakala dalam beregu lelaki, Kien Keat-Boon Heong mengetuai saingan bersama Lim Khim Wah, Goh V Shem, Hoon Thien How dan Teo Kok Siang.

Pasukan negara akan memulakan latihan pusat di Stadium Juara, Bukit Kiara dari 30 Januari hingga 4 Februari, sebelum mengadakan latihan fasa kedua di Kota Kinabalu dari 6-10 Februari. Mereka akan berlepas ke Macau 11 Februari.

Hanya empat pasukan terbaik dari kelayakan zon Asia layak bertanding pada pusingan akhir di Wuhan, 20-27 Mei. Biarpun sudah 19 tahun Malaysia tidak merangkul Piala Thomas, namun kita tidak pernah gagal melayakkan diri pusingan akhir sejak format baru kejohanan diperkenalkan pada 1984.

Pasukan negara kini bukan saja boleh kalah kepada kuasa badminton dunia seperti China, Indonesia dan Korea, malah tanpa ramai pemain berkualiti kita telah diaibkan oleh Jepun (2-3 pada Piala Thomas 2010) dan Thailand (2-3 pada Sukan Asia 2010).

Full content generated by Get Full RSS.

Chong Wei keseorangan lagi

Posted:

Chong Wei keseorangan lagi

Chong Wei keseorangan lagi

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my


LEE Chong Wei meraikan kejayaan menumpaskan jaguh muda Jepun, Kenichi Tago pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil kelmarin.


KUALA LUMPUR - Jika ada yang menutup peluang Datuk Lee Chong Wei untuk memenangi emas Olimpik gara-gara tiga kekalahan yang dialami menuju penutup 2011, kejayaannya menjuarai Terbuka Malaysia buat kali kelapan dan menjinakkan dua jaguh China, Lin Dan serta Chen Long dalam tempoh seminggu, mampu merubah persepsi mereka.

Jaguh No. 1 dunia berusia 29 tahun itu membuktikan dia masih pencabar utama emas pada Temasya London dengan melakar kejuaraan Siri Super ke-25, iaitu seminggu selepas menjuarai Terbuka Korea. Malah, kemenangan kelmarin meletakkan Chong Wei sebaris legenda badminton negara, Wong Peng Soon apabila menyamai rekod kejuaraan lapan kali.

Lawannya di final, Kenichi Tago langsung tidak berpeluang mengalahkan jaguh Malaysia itu sejak awal permainan. Dia kalah mudah 6-21, 13-21 iaitu kekalahan ke-11 daripada 11 pertemuan dengan Chong Wei. Melihat perlawanan akhir, jelas Chong Wei berada dalam kelas berbeza, iaitu kelas yang hanya boleh disaingi Lin Dan dan Chen Long.

Jadi, berjaya menumpaskan kedua-dua jaguh China itu dalam tempoh seminggu melonjakkan keyakinannya ke tahap tertinggi untuk menghadapi Sukan Olimpik London, 27 Julai hingga 12 Ogos ini.

"Dua kemenangan ini telah memadam kerisauan saya tentang tiga kekalahan terakhir, apatah lagi saya mengalahkan Lin Dan dan Chen Long dalam kedua-dua kejohanan. Saya gembira memasuki 2012 dengan baik kerana ini adalah tahun yang amat penting dengan Sukan Olimpik akan menanti,'' ujar Chong Wei sejurus kemenangannya.

Malangnya, apabila kita bercakap tentang perkara positif dalam Terbuka Malaysia, ia hanya mengenai Chong Wei, Chong Wei dan Chong Wei. Seolah-olah, pemain Malaysia lain tidak wujud.

Selepas lapan kali bergelar juara, Chong Wei masih gagal disaingi pemain muda negara yang lain atau sekurang-kurangnya mempunyai calon pengganti. Tahun depan, dia berhajat untuk menggantung raket dan mahu satu lagi gelaran Terbuka Malaysia sebagai hadiah persaraan, tetapi apa akan jadi selepas ketiadaannya ?.

"Saya akui bukan mudah hendak berada di tempat saya, ia perlu kerja keras dan pengorbanan, saya harap ada pemain muda yang bekerja keras untuk mengisi kekosongan saya."

Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan lelaki ketika pertandingan baru memasuki pusingan kedua. Dua pemain bebas, Muhammad Hafiz Hashim dan Wong Choong Hann kalah di pusingan pertama, begitu juga pemain muda, Liew Daren yang kalah tanpa melawan 8-21, 11-21 di tangan Chong Wei. Mohd. Arif Abdul Latif pula tewas di kelayakan.

Lebih mengecewakan adalah kegagalan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menggunakan kejohanan di tempat sendiri sebagai pentas kebangkitan. Mereka terus hambar hingga diejek penonton sejurus kekalahan 16-21, 21-18, 16-21 kepada beregu bukanpilihan Korea, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang.

Chong Wei turut terpanggil untuk menasihati pasangan itu. "Saya rasa permainan mereka tiada masalah sangat, cuma ada yang tidak kena dengan mentaliti mereka hingga terlalu menekan diri sendiri ketika beraksi,'' kata Chong Wei.

Turut mara ke pusingan kedua Mak Hee Chun-Ong Soon Hock, manakala Goh V Shem-Lim Kim Wah, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen, Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari, Ong Jian Guo-Teo Kok Siang tumpas di pusingan pertama.

Mohd. Lutfi Zaim Abdul Khalid-Vountus Indra Mawan, Ow Yao Han-Tan Wee Kiong, Chooi Kah Ming-Yew Hong Kheng, Nelson Wei-Teo Ee Yi dan Tan Wee Tat-Tan Yip Jiun semuanya kandas di pusingan kelayakan.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan