PERUBAHAN jadual pada saat akhir oleh penganjur, akhirnya memakan diri sendiri apabila dua pelumba negara yang beraksi dalam acara pecut di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), terlepas peluang keemasan untuk menambah kutipan pingat emas negara.
Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa yang turun dalam acara pecut akhir hanya memiliki kurang setengah jam untuk memanas badan apabila jadual ditukar penganjur secara mengejut mengakibatkan mereka tidak bersedia sepenuhnya.
Kedua-dua pelumba negara akhirnya terpaksa akur apabila Azizul tewas kepada pesaing utama, Kanuzuri Watanabe dari Jepun manakala hasrat Fatehah menundukkan pelumba handalan Hong Kong, Lee Wai Sze tidak kesampaian.
"Bila saya bangun pagi memang saya sasarkan untuk menang emas sebab semua ahli keluarga saya datang menyaksikan saya beraksi. Tapi bila tiba di venue, saya dimaklumkan jurulatih, John Besleay yang jadual ditukar dan perlumbaan diadakan lebih awal.
"Memang saya tak sempat nak memanaskan badan. Tempoh kurang setengah jam tak cukup. Rasa kaki saya pun tidak seperti semalam. Kalau ada masa cukup saya yakin boleh dapat emas," katanya yang memerlukan masa sekurang-kurangnya dua jam untuk memanaskan badan.
Ratu pecut negara, Fatehah juga mengalami situasi sama ketika lawan sebelum itu sudah terlebih dulu turun beraksi dalam acara pecut berpasukan wanita.
"Kalau mereka mahukan kami memberikan pingat, mereka tidak boleh menukar jadual sesuka hati. Bukan kami saja yang merungut perkara ini tapi pelumba lain juga tidak puas hati sejak hari pertama lagi.
"Kaki saya memang berat, saya tidak boleh buat apa-apa. Memang sukar. Tapi Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik dalam keirin," kata Fatehah yang nyata kecewa dengan kegagalannya menyumbangkan emas acara pecut untuk mengukuhkan kedudukannya ke Olimpik.
Azizul dan Fatehah tiba di venue pertandingan pada jam 9.30 pagi kerana mengikut jadual asal perlumbaan akhir akan berlangsung jam 11.30 pagi sebelum jadual dipercepatkan satu jam.
Tidak mahu menjadikan apa yang terjadi membelenggu fikiran, Azizul dan Fatehah bertekad menebus kegagalan dalam acara keirin hari ini.
Presiden Komisar Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Frederich Chan bangkit mempertahankan keputusannya berhubung perubahan jadual di saat akhir.
Katanya, beliau terpaksa menukar jadual kerana perlumbaan sesi pagi perlu ditamatkan lebih awal kerana sembahyang Jumaat dan semua perubahan jadual itu sudah dimaklumkan malam kelmarin.
0 ulasan:
Catat Ulasan