Utusan Online - Sukan |
KOM, atlet 4x400 meter perlu jelaskan - Shabery Posted: KOM, atlet 4x400 meter perlu jelaskan - ShaberyOleh ABDUL HAFIZ AHMAD Ahmad Shabery Cheek (dua dari kanan) bersama pemimpin dan belia dari seluruh negara pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. KUALA LUMPUR - Atlet 4x400 meter olahraga pemenang pingat emas Sukan SEA, November lalu yang masih disahkan positif dadah dengan sampel B air kencingnya kelmarin, tetap akan diberikan hak dan peluang yang sewajarnya untuk menjelaskan bagaimana dan siapa yang turut terlibat dalam kejadian yang menimpanya. Sekalipun kesal, dukacita dan menyifatkannya satu kesalahan serius dan memalukan negara apatah lagi selepas pingat emasnya dikalungkan Perdana Menteri di sini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) juga perlu memikul tanggungjawab itu. ''Saya minta persatuan berkenaan, mengambil tindakan tegas tetapi ia diharap tidak dilihat sebagai satu penganiayaan kepada atlet berkenaan yang berhak menjelaskan kepada masyarakat tentang bagaimana dia boleh terlibat. "Adakah dia secara sukarela mengambilnya, kerana disarankan jurulatih atau ada doktor lain yang tidak diiktiraf tetapi turut menyarankannya. Latar belakang ini perlu diketahui. "Ia tidak boleh dipandang ringan malah ganjaran (Skim Hadiah Kemenangan - Shakam) yang diberikan (Disember lalu) boleh ditarik balik dan pingat emasnya perlu diserahkan semula," kata Ahmad Shabery pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran kementerian di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi yang mengesahkan sudah dihubungi mengenai keputusan itu menerusi telefon, Khamis lalu. Sementara itu, Ahmad Shabery menyasarkan kemaraan sekurang- kurangnya ke perlawanan akhir Kelayakan Piala Thomas buat skuad lelaki negara yang diketuai pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang berlepas ke Macau, semalam menjelang aksi sulung Kumpulan D mereka. "Chong Wei mampu menjadi inspirasi dan motivasi buat rakan sepasukannya untuk melepasi pusingan kelayakan ini dalam apa juga keadaan sekalipun," katanya, merujuk ahli lain skuad ini seperti Hafiz Hashim, Liew Daren, Arif Latif, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Lim Khim Wah-Goh V Shem dan Teo Kok Siang-Hoon Thien How. |
Josiah, Azizul ke separuh akhir Posted: Josiah, Azizul ke separuh akhirOleh FERZALFIE FAUZI Azizulhasni mendahului perlumbaan repechage keirin pada Kejohanan Berbasikal Asia di Velodrom Kuala Lumpur, semalam KUALA LUMPUR – Velodrom Kuala Lumpur dekat Cheras menjadi saksi kehebatan pelumba berbasikal trek negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 selepas tiga pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Mohd. Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Fatehah Mustapa mara ke separuh akhir acara keirin, semalam. Bagaimanapun, kedua-dua pelumba elit lelaki Azizulhasni dan Josiah memberi debaran kepada penonton yang hadir selepas gagal melayakkan diri secara automatik pada pusingan pertama dan terpaksa bersaing di repechage. Azizulhasni menduduki tempat ketiga pada pusingan pertama dan memperbaikinya dengan memenangi tempat pertama di repechage, manakala Josiah pula menduduki tempat kedua di pusingan pertama, namun kedudukannya dibatalkan oleh komisar perlumbaan kerana melanggar peraturan. Pengalaman yang dimiliki oleh Josiah tidak menghalangnya untuk mara ke separuh akhir apabila menduduki tempat pertama repechage seterusnya mengiringi Azizulhasni. Sementara itu, Fatehah pula tidak berdepan masalah apabila menduduki tempat kedua pusingan pertama seterusnya mara secara automatik ke separuh akhir yang akan dilangsungkan hari ini. Menurut Josiah, pada pusingan pertama dan repechage itu dia hanya kayuh seperti memanaskan badan apa yang penting dapat melayakkan diri ke separuh akhir. "Apa yang penting saya boleh mengawal perlumbaan dengan baik, kita perlu bekerja semasa di atas trek saling bantu antara satu sama lain, seperti mana yang saya lakukan bersama Kazunari Watanabe pada pusingan pertama. "Dia bekerja untuk saya, saya pula bertindak untuk menghalang pelumba lain bagaimanapun saya dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan, apa yang penting ialah mara ke saingan separuh akhir," kata pelumba berusia 31 tahun itu. Sementara itu, dalam kategori remaja, dua pelumba lelaki negara, Muhammad Fauzan Nor Azman dan Malek Marcus McCrone turut layak ke separuh akhir acara keirin. Turut menempah tiket ke separuh akhir ialah pemenang pingat perak acara pecut remaja wanita kelmarin, Ummi Hamimah Mohamad. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan