Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Soal dalang hanya alasan

Posted: 23 Feb 2012 08:10 AM PST

"SEBENARNYA tidak timbul soal dalang, cuma beliau cuba melarikan diri daripada isu sebenar yang berlaku ketika ini."

Demikian nada agak keras Hamberi Mahat yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa ada individu lain terbabit dalam isu doping dan penyerahan petisyen 16 jurulatih dan 42 atlet olahraga kepadanya baru-baru ini.


Sambil menganggap tuduhan itu tidak berasas, Hamberi yang mengetuai penyerahan petisyen itu berkata, hasrat semua jurulatih dan atlet yang menandatangani petisyen itu adalah jelas - mahukan Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim disingkirkan seperti dinyatakan dalam petisyen itu.

Cuma ketika ini katanya, Shahidan seolah-olah cuba melarikan diri daripada perkara pokok iaitu isu doping membabitkan atlet 4x400 meter, Muhammad Yunus Lasaleh serta seakan-akan terlalu liat mahu menyingkirkan orang nombor dua KOM itu hingga pada satu tahap Karim seperti tidak bersalah meskipun pelbagai bukti sudah jelas menunjukkan beliau terbabit dengan isu pemberian dadah kepada Muhammad Yunus hingga menyebabkan atlet itu berdepan kemungkinan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Sea Indonesia lalu, ditarik balik.


"Kami mengambil inisiatif menghantar petisyen ini dan ia mendapat sokongan semua jurulatih dan atlet kecuali Lee Hup Wei yang ketika itu berada di Jerman.


"Kalau sudah semua jurulatih dan atlet sebulat suara menandatangani petisyen ini, bermakna 99.9 peratus setuju Karim disingkirkan. Cuma masalah sekarang ini, Datuk Seri seolah-olah sering mempertahankan Karim.

"Orang bersalah tidak dikenakan hukuman, sebaliknya mereka yang tidak bersalah seperti Harun Rasheed (bekas jurulatih) pula yang dihukum.


"Anda sendiri tak perasan ke sampai sekarang, tidak ada satupun tindakan atau hukuman dikenakan kepada Karim? Sebaliknya mahu tubuhkan macam-macam jawatankuasa termasuk nak ambil tindakan terhadap atlet. Apa semua ini? Apa sebenarnya agenda beliau?" katanya.

Semalam, Shahidan menerusi laporan Arena Metro menafikan dia 'dibisukan' timbalannya itu selepas didakwa terhutang budi kepada Karim.


Beliau juga menyatakan ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari atlet yang menyatakan sudah menarik balik kenyataan dalam petisyen yang diberikan kepadanya serta memohon maaf atas apa yang berlaku sambil mendakwa ada individu lain terbabit dalam kemelut itu.


Sementara itu, Hamberi menambah, dia tidak yakin KOM mampu menyelesaikan masalah itu, sebaliknya berharap pihak luar termasuk Pesuruhjaya Sukan serta Menteri Belia dan Sukan campur tangan.


"Saya bimbang atlet tidak akan diadili dengan baik. Sebab itu saya harap ada campur tangan pihak luar termasuk menteri. Tolonglah selesaikan masalah ini sebaik-baiknya," katanya.



Butler direhat serta-merta

Posted: 23 Feb 2012 08:01 AM PST

KETIKA ramai menyangka isu berkaitan jurulatih Kelantan, Peter James Butler sudah selesai, timbul tanda tanya mengenai nasib jurulatih berusia 46 tahun itu apabila beliau direhatkan berkuat kuasa semalam.

Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena apabila jurulatih berasal dari England itu tiba-tiba direhatkan, sedangkan skuad Kijang baru saja menewaskan Sarawak untuk layak ke pusingan kedua saingan Piala FA.


Tinjauan Harian Metro ketika pemain The Red Warriors menjalani latihan petang semalam, mendapati kelibat Butler tidak kelihatan, sebaliknya penolong jurulatih, Sidek Samsuddin yang mengawasi pemain.

Bagaimanapun, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim ketika dihubungi tenang menjelaskan Butler hanya direhatkan dan bukannya digantung sebagai ketua jurulatih Kelantan.


Katanya, Butler masih ketua jurulatih Kelantan dan tetap menikmati faedah seperti dalam kontrak perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).


"Dia (Butler) tidak digantung tapi hanya direhatkan seketika untuk menyelesaikan beberapa persoalan yang ditimbulkannya dan Kafa juga akan mendengar penjelasan terhadap rasa tidak puas hatinya dengan pihak pengurusan.

"Kita ambil kira semua aspek sebelum membuat apa-apa keputusan, malah kita harap sewaktu beliau direhatkan, perkara ini tidak akan menjejaskan persiapan pemain untuk menghadapi perlawanan akan datang," katanya.


Menurut Azman, Kafa akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis yang timbul di antara Butler dengan pengurusan Kafa selain mengharapkan jurulatih itu perlu berhati-hati ketika menyuarakan perasaan tidak puas hatinya.

"Bukan soal kita tidak senang dikritik, namun beliau perlu menjelaskan masalahnya dengan pihak pengurusan kerana jika tidak, masalah dibangkitkan tidak akan selesai sampai bila-bila," katanya.


Sebelum ini, selepas perlawanan Kelantan menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, Butler meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemilihan pemain import.


Butler mendakwa tidak tahu-menahu mengenai pemain import baru Kelantan, Nwoha Onyekachi yang diturunkan dalam perlawanan itu, selain menyatakan dia tidak tahu apa fungsinya sebagai jurulatih jika perkara itu tidak diberitahu kepadanya.


Bagaimanapun, isu tidak sehaluan itu dianggap selesai apabila Butler membuat perjumpaan dengan Azman pada 17 Febuari lalu dan memilih untuk memberi perhatian terhadap membimbing pasukan.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan