Utusan Online - Sukan |
Harapkan perseorangan jadi hero jumpa Korea Posted: Harapkan perseorangan jadi hero jumpa KoreaOleh TAN MING WAI
KUALA LUMPUR - Andai skuad Piala Thomas mahu mengharapkan satu mata daripada sama ada perseorangan kedua atau ketiga dalam perlawanan penentuan juara Kumpulan D menentang Korea Selatan hari ini, baik fikir semula. Bukan mahu bersikap pesimis, namun dua acara itulah yang gagal menyumbang mata dalam kemenangan tipis 3-2 ke atas Hong Kong dalam aksi pembukaan pusingan kelayakkan zon Asia di Macau semalam. Harus diingat, menang kalah sesebuah pasukan adalah ditentukan menerusi mata getir salah satu daripada dua acara itu. Mata perseorangan kedua penting untuk mengesahkan kemenangan pasukan yang mendahului 2-0, atau pun memberikan nafas baru kepada pasukan yang ketinggalan 0-2. Jika perlawanan diheret sehingga terikat 2-2, maka pada situasi itulah betapa pentingnya pemain perseorangan ketiga harus tampil menjadi hero. Ketiadaan pemain perseorangan berwibawa untuk menggalas cabaran Malaysia dalam dua acara tersebut sememangnya bukan lagi menjadi rahsia. Bertemu Hong Kong semalam sudah pun mula memperlihatkan kelemahan ketara menerusi kekalahan Muhammad Hafiz Hashim dan Liew Daren yang masing-masing diturunkan selaku perseorangan kedua dan terakhir. Hafiz yang diharapkan mampu menghadiahkan mata kemenangan selepas Datuk Lee Chong Wei dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sebelum itu meletakkan negara selesa mendahului 3-0, tumpas di tangan Hu Yun 20-22, 18-21. Hafiz perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal memenangi set pertama meskipun berada di ambang kemenangan pada kedudukan 20-18. Sebaliknya dia membenarkan lawan mengutip empat mata berturut-turut untuk menang 22-20. Mujur pasangan muda, Lim Khim Wah-Goh V Shem, yang membuat penampilan sulung Piala Thomas melegakan kem Malaysia dengan kemenangan 21-14, 21-16 ke atas Wong Wai Hong-Lee Chun Hei dalam perlawanan beregu kedua. Pada kedudukan 3-1 yang sepatutnya tidak mendatangkan sebarang tekanan buat Daren yang turun dalam perlawanan terakhir tetap tidak berupaya menang. Biarpun menang set pertama 21-17, dia tidak dapat meneruskan kecemerlangan itu dan tunduk dalam dua set berikutnya kepada lawannya, Chan Yan Kit 16-21, 19-21 dalam pertarungan yang memakan masa hampir sejam. Terdahulu, pemain No. 1 dunia Chong Wei, selaku kapten pasukan juga sedikit mencemaskan persembahannya ketika turun menentang perseorangan utama Hong Kong, Wong Wing Ki. Wing Ki yang pernah mengejutkan Lin Dan pada Terbuka Denmark tahun lalu, memaksa Chong Wei bekerja keras sebelum menyerah 18-21, 20-22 dalam tempoh 41 minit. Malah pada satu ketika, Chong Wei ketinggalan 1-8 pada awal set kedua, namun berjaya bangkit merapatkan semula jurang kepada 12-13. Begitu pun, pemain No. 21 dunia itu masih mampu memastikan dia menjarakkan diri tiga mata di depan Chong Wei. Chong Wei bagaimanapun kembali mendapat rentak selepas itu untuk mengutip empat mata berturut-turut tetapi Wing Ki memaksa deuce pada kedudukan 20-20. "Bukan sesuatu yang luar biasa untuk lambat memperolehi rentak, ia adalah dijangka. Apa yang penting adalah kita bermula dengan kemenangan," ujar Chong Wei. Kien Keat-Boon Heong seperti diramal mudah mengetepikan Lo Lok Kei-Leung Chun Yiu 21-9,21-14 dalam tempoh hanya 21 minit. Kemenangan tipis 3-2 ke atas Hong Kong sudah memadai buat Malaysia menempah tiket ke suku akhir, namun wajib menang ke atas Korea hari ini untuk mengelak bertemu Indonesia yang mengesahkan status selaku juara Kumpulan B semalam selepas membenam Singapura untuk kemenangan keduanya. | ||
Rekod bersih Kelantan akhirnya lebur Posted: Rekod bersih Kelantan akhirnya leburPemain Selangor, Fitri Shazwan berjaya melepasi asakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Wan dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/Mohd. Azim Abd. Rahman KUALA LUMPUR - Rekod tanpa kalah pendahulu Liga Super, Kelantan akhirnya lebur di tangan musuh ketat, Selangor dengan kekalahan 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. Skuad Red Giants berjaya menurunkan penyerang import baru, Bosko Balaban setelah memperoleh sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pada tengah hari semalam dan bekas penyerang antarabangsa Croatia itu ternyata berjaya menunjukkan impak kepada jentera serangan Selangor. Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Selangor tidak perlu menunggu lama sebaik bermula babak kedua melalui sepakan kencang Safiq Rahim pada minit ke-46. Ketika Kelantan sedang leka mengasak dalam usaha mencari gol penyamaan, tuan rumah menghukum kealpaan pertahanan Red Warriors dengan Balaban bijak melepasi perangkap ofsaid setelah menerima lambungan cantik dari Safiq sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-76. Skuad bimbingan Peter Butler akhirnya mendapat gol saguhati pada minit ke-90 menerusi pertahanan, S. Subramaniam ketika situasi kelam kabut di depan pintu gol Selangor tetapi ia sudah terlambat buat Kelantan dalam usaha meraih sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan berkenaan. Prestasi merudum Terengganu berterusan apabila gagal mengutip kemenangan buat kali ketiga berturut-turut apabila seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Pemain sayap Terengganu, Asaari Samsudin meletakkan tuan rumah pada minit ke-45, namun dapat disamakan oleh Khyril Muhymeen pada minit ke-73. Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Sarawak mengejutkan tuan rumah, Johor FC dengan kemenangan 2-1. Tuan rumah terlebih dahulu membolosi gawang lawan pada minit ke-21 hasil sepakan percuma pemain import dari Brazil, Athur Henrique, namun pasukan pelawat mendapat gol penyamaan apabila ketua pasukan, Guy Bwele berjaya merembat kencang gol penyamaan pada minit ke-34, juga melalui situasi sepakan percuma. Memasuki separuh masa kedua, perlawanan dilihat seimbang namun bekas pemain Johor FC, Azizan Baba berjaya menyudahkan peluang hasil sepakan penjuru pada minit ke-74 untuk memberikan tiga mata berharga kepada Sarawak di tempat lawan. Di Stadium Perak, skuad Seladang terus mengalami kekalahan apabila kalah 1-2 kepada Lions XII dengan ketua pasukan, Shahril Ishak menjadi duri dalam daging kepada Perak menerusi dua jaringan pada minit ke-35 dan 74 sementara gol tunggal Perak disumbangkan Michael Kubala, minit ke-54 melalui sepakan penalti. Negeri Sembilan pula gagal mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan PKNS di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Skuad yang dikenali dengan nama jolokan Semut Api itu terlebih dahulu di hadapan melalui sepakan penalti Paulo Sergio Ferreira pada minit ke-43, namun Jean Emmanuel Effa Owona menyelamatkan maruah Sang Rusa dengan gol penyamaan pada minit ke-45. Sabah memastikan derita Kuala Lumpur terus berpanjangan apabila meraih tiga mata penuh dengan kemenangan 2-0 di Stadium Likas hasil jaringan Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-36 dan minit ke-46 oleh pemain import dari Australia, Michael Baird. Di Stadium Hang Jebat, Felda gagal mengambil kesempatan dengan kekurangan seorang pemain T-Team ketika ketinggalan satu jaringan kepada pasukan pelawat apabila tewas 3-0. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan