Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Kami mahu menang’

Posted: 14 Mar 2012 10:12 AM PDT

PENYERANG skuad hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menegaskan, misi pertemuan dengan Korea cukup jelas iaitu untuk meraih kemenangan dan bukan sekadar seri atau pun tewas yang sekali gus bakal menjejaskan peluang skuad negara untuk melangkah ke pentas final.

"Kami tidak mahu seri atau kalah, kami main untuk menang. Saya sedar walaupun sukar, kami perlu memikul tugas ini dengan sebaik-baiknya. Kami perlu mencuri mata daripada Korea walau apapun yang berlaku.


"Jumlah jaringan tidak penting, asalkan kami menang. Tapi jika ada peluang untuk menjaringkan gol, kami perlu memanfaatkan peluang itu dengan sebaik-baiknya, terutama menerusi pukulan sudut penalti.

"Bermain dengan Korea juga memerlukan kesabaran. Kami tidak boleh terus ghairah untuk mencari ruang menjaringkan gol pada awal permainan kerana untuk memasuki ruang mereka, kami memerlukan perancangan yang rapi," katanya.


Sejak diturunkan pada perlawanan pertama menentang Chile, Tengku Ahmad hanya dapat menamatkan kemarau jaringan gol pada perlawanan ketiga bertemu Ukraine kelmarin dan penyerang negara itu teruja untuk meledak gol lagi, terutama perlawanan dengan Korea.


"Kalau saya diturunkan sudah tentu saya akan berusaha untuk menjaringkan gol, tapi itu semua bergantung kepada keadaan dan peluang ketika berlangsungnya permainan," katanya.

Ketika pertemuan dengan Russia pada perlawanan kedua sebelum ini, Tengku Ahmad dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.



Misi perkukuh aksi

Posted: 14 Mar 2012 10:06 AM PDT

ATLET terjun negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee tiba di Dubai untuk bertanding Siri Kejohanan Dunia, esok.

Siri Dunia berlangsung 16 Mac-21 April ini di ibarat medan utama buat Pandelela dan Mun Yee merapatkan jurang dengan seteru utama mereka Chen Roulin dan Wang Hau dari China.


Membabitkan empat saingan, kejohanan membuka tirai di Dubai (16-17 Mac) sebelum ke Beijing (23-24 Mac), Moscow (13-14 April) dan berakhir di Tijuana, Mexico, (20-21 April).

"Kami semakin hampir dengan China tapi Tembok Besar mereka masih kukuh untuk dirobohkan. Maka, skuad perlu berusaha lebih gigih terutama di Siri Dunia ini sekiranya ingin merealisasikan impian negara meraih pingat pertama di Olimpik. "Berbekalkan persiapan rapi serta kekal konsisten di kejohanan dunia seperti ini, tidak mustahil penerjun Malaysia mampu mengejar kedudukan lawan lain, terutama China," kata jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang.


Selain bergandingan dengan Mun Yee di Dubai, Pandelela yang menduduki ranking keempat dunia sekali lagi berdepan seteru utamanya yang juga juara dunia, Roulin dalam acara 10 meter platform individu.


Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Edwin Chong berkata pastinya persiapan ke Olimpik lebih penting tetapi kemenangan di Siri Dunia juga dianggap bonus.

"Kami tidak meletakkan tekanan kepada Pandelela dan Mun Yee, tapi saya yakin kedua-dua atlet ini mampu melakar kejayaan.


"Sememangnya ini adalah saingan berterusan buat Pandelela dan Mun Yee kerana selepas berakhirnya siri di Mexico, mereka akan menyertai rakan seangkatan ke Grand Prix Dunia," katanya yang optimis skuad terjun negara bakal menyerlah di Olimpik kerana dihidangkan persiapan mencukupi menjelang temasya berprestij itu.

Sejurus tamat saingan siri Kejohanan Dunia, skuad terjun negara akan beraksi di dua kejohanan Grand Prix, pertama di Montreal, Kanada (3-6 Mei) dan kedua, di Fort Lauderdale, Amerika Syarikat (10-13 Mei) sebelum ke London.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan