Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Fatehah lakar sejarah

Posted:

Fatehah lakar sejarah

Fatehah lakar sejarah

Oleh NORZASRUDIN
MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

FATEHAH akan beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan dalam acara keirin wanita.


RATU pecut negara, Fatehah Mustapa ada sebab untuk berasa gembira meskipun gagal memenangi sebarang pingat dalam acara keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di Velodrom Hisense Arena, Melbourne semalam.

Biarpun sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11, Fatehah masih mampu melakar sejarah apabila menjadi pelumba wanita Malaysia pertama yang layak beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan.

"Nasib saya kurang baik hari ini (semalam). Ada sedikit masalah pada aksi separuh akhir. Saya sepatutnya mengekori pelumba Perancis (Clara Sanchez) tetapi saya tidak melakukannya. Itu adalah kesilapan besar yang saya buat.

"Alhamdulillah, saya dapat juga No. 11 daripada langsung tidak masuk peringkat separuh akhir.

"Saya akan belajar daripada kesilapan dan selepas ini, saya akan baiki kelemahan. Saya akan tengok semula rakaman video perlumbaan-perlumbaan sebelum ini.

"Kini, saya akan fokus untuk Sukan Olimpik pula," kata Fatehah menerusi laman sosial, Facebook miliknya semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, kejayaan Fatehah melayakkan diri ke temasya Olimpik dalam acara keirin wanita adalah sesuatu yang membanggakan.

"Pada perlumbaan hari ini (semalam), Fatehah berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua meskipun diberi tentangan yang hebat daripada beberapa pelumba terbaik dunia.

"Selain sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 tetapi keputusan itu sudah memadai buatnya melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London.

"Satu sejarah baharu tercatat apabila Fatehah menjadi pelumba wanita pertama negara yang layak ke temasya itu," kata Naim ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, Fatehah berjaya merakamkan masa peribadi terbaik dan memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara pecut 200 meter meskipun gagal melayakkan diri ke pusingan pertama.

Pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu mencatat masa 11.487 saat bagi memadam catatan sebelum ini - 11.5s yang dilakukannya pada Siri Piala Dunia Klasik di London, Februari lalu.

Awal Februari lalu, Fatehah turut mencipta sejarah apabila muncul pelumba wanita pertama memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

Tumpuan di Velodrom Hisense Arena hari ini pasti terarah kepada dua pelumba sensasi negara - Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng.

Kedua-dua pelumba itu akan turun dalam acara kegemaran mereka - keirin lelaki selepas Malaysia telah mengesahkan telah satu slot ke Sukan Olimpik 2012.

Naim berkata, keputusan kedua-dua pelumba itu akan menjadi 'kayu pengukur' untuk menghadapi temasya di London nanti.

"Sebelum ini, kita telah layak ke Olimpik dalam acara pecut dan keirin.

"Jadi keputusan esok (hari ini) tidak diambil kira bagi menentukan siapa pelumba yang akan menyertai acara pecut dan keirin di London nanti," tambah Naim yang juga pengurus skuad lumba basikal trek negara.

Tengku Abdullah simpati nasib Annuar

Posted:

Tengku Abdullah simpati nasib Annuar

Tengku Abdullah simpati nasib Annuar


IMBAS KEMBALI... Tengku Abdullah (kiri) dan Annuar ketika sidang media mesyuarat Exco FAM di Wima FAM pada 2 Januari 2011.


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa simpati baginda kepada Tan Sri Annuar Musa yang dikenakan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan daripada melibatkan sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri.

Rabu lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Taufik Abdul Razak memutuskan bahawa Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM bersalah membuat kenyataan kepada pihak media dengan mengkritik skuad kebangsaan pada 12 Februari lalu.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan kepada pihak media semalam, Tengku Abdullah menyatakan kekesalan baginda dengan apa yang telah berlaku.

"Saya bersimpati dengan Tan Sri Annuar dan saya pasti bahawa kenyataannya dibuat mengikut perasaan terhadap situasi tersebut, satu keadaan yang kami semua pernah alami.

"Minat yang amat mendalam dalam bidang bola sepak boleh menyebabkan seseorang bertindak sedemikian. Mungkin ini adalah masa bagi kami untuk menyemak semula apa yang mungkin tidak lagi penting bagi masa depan pembangunan bola sepak.

"Begitupun, saya pasti Jawatankuasa Tatatertib telah menjalankan penyiasatan yang lengkap terhadap tuduhan-tuduhan yang dikenakan (ke atas Annuar) dan mengenakan tindakan disiplin yang sesuai dengan cara yang telus dan mengikut undang-undang FAM.

"Saya sesungguhnya mempercayai bahawa proses undang-undang yang sewajarnya telah dipatuhi," jelasnya.

Tengku Abdullah menambah, kenyataan yang dibuat baginda pada 4 Februari lalu tidak sepatutnya diinterpretasikan sebagai satu arahan.

"Memandangkan saya berada di luar negara semasa peristiwa ini (kes penggantungan Annuar) berlaku, saya tidak mempunyai pengetahuan terperinci mengenai kejadian tersebut atau mengenai pendengaran yang diadakan pada 4 April 2012.

"Kenyataan yang dibuat oleh saya pada 4 Februari 2012 tidak sepatutnya diinterpretasikan sebagai satu arahan tetapi hanya semata-mata sebagai satu nasihat kepada semua pegawai-pegawai di FAM .

"Maka kita mesti mempunyai sikap memandang jauh dan menumpukan perhatian ke atas apa yang sebenarnya penting kemajuan bola sepak Malaysia.

"Perhatian semestinya ditumpukan ke atas bola sepak semata-mata dan bukan perkara remeh-temeh," ujar Tengku Abdullah.

Tengku Abdullah turut menyatakan kesediaan baginda untuk menjadi pengantara bagi menamatkan isu hukuman yang dikenakan ke atas Annuar.

"Kita mesti akui dan menghargai sumbangan-sumbangan dan usaha-usaha yang diberikan oleh Tan Sri Annuar untuk membangunkan sukan bola sepak di Malaysia khususnya bola sepak di Kelantan.

"Kita juga perlu mengkaji adakah keputusan ini akan merosakkan kerja-kerja baik yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar demi membangunkan bola sepak di Kelantan dan adakah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengalami kesan buruk daripadanya.

"Adalah menjadi harapan saya bahawa kita boleh memberi tumpuan kepada faktor-faktor mitigasi yang wujud dan menyelesaikan perkara ini secara damai demi kebaikan bola sepak Malaysia," kata baginda.

Annuar harus tanggung kos mesyuarat RM2,124

Posted:

Annuar harus tanggung kos mesyuarat RM2,124

Annuar harus tanggung kos mesyuarat RM2,124

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

IBARAT kata pepatah, 'Sudah jatuh ditimpa tangga.'

Begitulah nasib yang dialami Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa sejak kebelakangan ini.

Selepas dijatuhkan hukuman dua tahun enam bulan, semalam badan induk itu mengarahkan Annuar membayar kos perbelanjaan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang pada 4 April lalu.

Annuar dalam entri terbaharu akaun Facebook miliknya berkata, beliau dikehendaki membayar perbelanjaan tersebut yang berjumlah RM2,124.

"Baru buka emel dan menerima surat (daripada) Setiausaha Agung FAM mengenai hukuman yang dikenakan kepada saya, penggantungan dua tahun setengah.

"Saya juga dikehendaki bayar perbelanjaan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin (agaknya elaun-elaun jawatankuasa dan makan minum) berjumlah 2,124. Saya terima dengan redha dan akan bayar insya Allah," katanya semalam.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (gambar) berkata: "Amalan mengenakan kos (pada) mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib ke atas pihak tertuduh telah lama diamalkan sejak 2010.

"Bayaran kos itu dikenakan ke atas semua pihak iaitu pemain, pegawai dan pasukan yang kalah kes atau didapati bersalah, macam kes terbaharu (kes Annuar).

"Ini bukan satu perkara yang baharu, ia telah diluluskan oleh Exco FAM. Tan Sri Annuar yang turut memegang salah satu jawatan Exco FAM sendiri meluluskan peruntukan tersebut.

"Peruntukan itu dimuatkan dalam Kod Tatatertib FAM dan ia diluluskan pada Mesyuarat Exco FAM pada 12 Julai 2010.

"Perlu dinyatakan bahawa peruntukan itu selari dengan peraturan yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," ujar Azzuddin.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan