KATSSUAKI Fujiwara membuktikan statusnya sebagai juara bertahan apabila muncul pelumba terpantas kedua-dua sesi latihan masa kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan), semalam.
Catatan terpantas 1 minit 06.268 saat milik pelumba Manual Tech BEET Kawasaki Racing itu yang dilakukan pada sesi Latihan Masa 1 di sebelah pagi turut menjadi rekod baru litar memadam catatannya sendiri, 1:06.538s yang dicatatkan tahun lalu.
Fujiwara turut mendahului sesi Latihan Masa 2 pada sebelah petang apabila melakukan catatan 1:06.326s.
Pelumba Boon Siew Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman muncul pelumba kedua terpantas, 1:06.548s dilakukan pada sesi Latihan Masa 2 manakala rakan sepasukan Fujiwara, M Fadli Immammuddin, ketiga (1:06.671s).
Yakin dengan kemampuannya untuk berada di barisan hadapan, Fujiwara berkata: "Catatan masa terpantas banyak dibantu penggunaan jentera baru dan jelas ianya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan jentera musim lepas.
"Ini memberikan keyakinan kepada saya untuk berada di barisan hadapan terutama pada sesi kelayakan esok (hari ini)." Mengulas penggunaan sistem satu pusingan kelayakan saja pada musim ini, Fujiwara berkata, ia bagus untuk pelumba di Asia kerana secara tidak langsung mereka dapat mendekatkan diri dengan pelumba antarabangsa lain.
Sementara itu, Azlan pula menjelaskan pasukannya lebih banyak menumpukan kepada pencarian suspensi dan 'mapping' terbaik pada kedua-dua sesi latihan masa.
"Sebenarnya saya hanya menggunakan sepasang tayar saja pada kedua-dua sesi latihan menyebabkan keadaan tayar saya sudah agak teruk pada sesi Latihan Masa 2.
"Dengan menggunakan tayar baru, saya yakin mampu mencatat masa lebih baik pada sesi kelayakan esok," katanya.
Sementara itu, Mohd Amirul Ariff Musa dan Mohd Iskandar Raduan menceriakan kontinjen Malaysia apabila berada di kedudukan teratas sesi latihan masa bagi kategori Underbone 115cc.
Amirul dari pasukan Pachie Yuzy Honda Racing mencatat masa terpantas 1:22.624s sekali gus memadam rekod terpantas litar milik Rafid Topan Sucipto, 1:23.096s pada 2011.
Pelumba wildcard negara, Iskandar yang mewakili Petronas Syntium Moto Yamaha AHM mencatatkan 1:22.814s diikuti pelumba Indonesia, Rey Ratukore (Nissin R9 KHT Federal Oil BRT), 1:23.193s.
Dalam kategori Piala Asia Dream (ADC) yang diperkenal buat pertama kali musim ini, pelumba Jepun, Hiroki Ono muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:20.543s mengatasi rakan senegara, Hikari Okubo, 1:21.4166s.
Pelumba Indonesia, Denny Triyugo Laksono ketiga (1:22.004s) manakala S Sasitharen muncul pelumba terbaik Malaysia di kedudukan kelima (1:22.208s).
0 ulasan:
Catat Ulasan