Sukan
NADZMI (kanan) dan Arshad menunjuk logo Maxis sambil diperhati sebahagian pemain badminton negara pada majlis penajaan, semalam.
'Kami harap mereka dapat tingkat semangat Guangzhou' KETIKA semangat berpasukan skuad Piala Thomas negara dipersoalkan tatkala saingan piala keagungan badminton dunia itu berbaki lapan hari sebelum disingkap tirainya di Wuhan China, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan ia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh menegaskan, beliau tidak melihat ia satu masalah walaupun badan induk berkenaan mensasarkan skuad diterajui Lee Chong Wei itu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir. "Saya tidak lihat sebarang masalah kerana pemain sudah mengenali antara satu sama lain. Lagipun, mereka sudah berlatih bersama dalam tempoh lama," katanya selepas majlis penajaan Maxis Berhad selaku penaja telekomunikasi rasmi BAM yang turut dihadiri Pengerusi Maxis Berhad, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda di Menara Maxis, Kuala Lumpur, semalam.
Dalam latihan pusat di Stadium Juara, Bukit Kiara yang bermula Selasa lalu, skuad negara hanya menjalani latihan rutin biasa dengan pemain perseorangan berlatih dalam kelompok mereka, manakala pemain beregu berlatih berasingan.
Situasi itu jelas menimbulkan persoalan sejauh mana semangat berpasukan di kalangan pemain kerana faktor itu menjadi elemen penting untuk memburu kegemilangan dan menghadapi kejohanan berpasukan paling berprestij itu.
Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai pula berkata, skuad negara akan memfokuskan tumpuan dalam membina semangat berpasukan sebaik mereka menjalani latihan pusat fasa kedua di Guangzhou, bermula esok.
"Kami harap mereka dapat mempertingkatkan semangat berpasukan kerana di Guangzhou nanti mereka bukan saja menjalani latihan bersama, tetapi juga akan tinggal dan makan serta minum bersama," katanya.
Sementara itu, Mohd Nadzmi mengalu-alukan kesediaan Maxis menjadi penaja sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan BAM dalam usaha merancakkan program pembangunan akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pemain berpotensi di seluruh negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan