Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Congak pentas final

Posted:

Congak pentas final

Congak pentas final

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my

FAIZAL (depan) menjadi senjata utama skuad negara bagi merobek gawang India pada aksi separuh akhir hari ini.


SELEPAS berjaya mengesahkan slot pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India, skuad negara mula memasang hajat bergelar juara Asia di bumi sendiri.

Ketika ini, skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu tampak berada pada kemuncak prestasi selepas berjaya melayakkan diri ke saingan separuh akhir.

Dengan India menjadi halangan pada aksi separuh akhir, skuad Projek 2013 negara itu tidak mahu langkah mereka terhenti begitu sahaja.

Justeru, Dharma sudah memasang strategi terbaik bagi memerangkap India pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium MBMB, Bukit Serindit, Melaka hari ini (5.30 petang).

Menurut Dharma, walaupun menjangka perlawanan tersebut bakal berlangsung sengit, namun beliau tetap yakin kemenangan akan memihak kepada anak-anak buahnya.

"India tidak sehebat seperti yang diuar-uarkan sebelum ini dan mereka juga mempunyai beberapa kekurangan, antaranya tidak mempunyai pakar pukulan sudut penalti bertaraf dunia.

"Sebaliknya, skuad negara mempunyai dua pakar pukulan sudut penalti bertaraf dunia (Muhammad Noor Faeez Ibrahim dan Faizal Saari) yang mampu menyempurnakan dengan baik pukulan sudut penalti," kata Dharma ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, kemenangan besar 11-0 India ketika menentang Sri Lanka sebelum ini juga bukan menjadi ukuran sebenar kekuatan lawan mereka itu.

"Para pemain saya tidak perlu takut dengan rekod kemenangan besar India ke atas Sri Lanka kerana Sri Lanka bukan merupakan negara yang kuat dalam sukan hoki.

"Kami juga telah mengkaji perlawanan India menentang Pakistan serta China dan saya mendapati, mereka mempunyai beberapa kelemahan.

"Disebabkan itu, saya yakin kita akan layak ke perlawanan akhir nanti," katanya.

Dharma turut mengakui, beliau masih belum berasa puas dengan kejayaan anak-anak buahnya melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja tahun hadapan.

"Walaupun gembira telah layak ke Piala Dunia Remaja, saya masih belum puas sehingga kita menjadi juara pada kejohanan ini.

"Ini adalah sasaran kita sejak awal, saya akan merasa kesal jika ia tidak dapat dicapai kerana banyak pergorbanan telah dilakukan sejak tiga tahun lalu, termasuk terpaksa berjauhan dengan keluarga masing-masing," katanya.

Diintai kelab Portugal

Posted:

Diintai kelab Portugal

Diintai kelab Portugal

fazli.yadi@kosmo.com.my

NAZMI bakal menjalani sesi pemilihan bersama kelab Portugal, Beira-Mar minggu depan.


KELIBAT bintang muda dalam pembikinan, Muhammad Nazmi Faiz Mansor mula menggamit tumpuan.

Biarpun hanya membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Muda A musim ini, Nazmi sudah berjaya menambat hati kelab Eropah.

Kelab Divisyen Satu Portugal, S. C Beira-Mar menjadi kelab Eropah pertama yang menunjukkan minat untuk melamar pemain berusia 18 tahun itu.

Jika tiada sebarang masalah, Nazmi akan menjalani sesi pemilihan (trial) bersama skuad utama Beira-Mar selama seminggu mulai 16 Mei ini.

Mengulas mengenai pemilihan Nazmi untuk menjalani pemilihan itu, pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee menjadi individu paling gembira dengan perkhabaran tersebut.

"Ia adalah satu berita yang baik yang mana Nazmi dinilai sendiri melalui ejen dan pencari bakat kelab itu sendiri.

"Mereka telah datang untuk mengemukakan tawaran secara rasmi supaya meminta Nazmi hadir bagi sesi pemilihan tersebut.

"Lebih membanggakan, ia hasil daripada usaha Nazmi sendiri dan kelab tersebut sendiri yakin dengan bakat semula jadi yang ada dalam diri Nazmi," kata Kim Swee di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Menurut Kim Swee, Nazmi mampu menjadi 'produk' pertama negara untuk membuka ruang kepada pemain-pemain lain beraksi di luar negara terutama di benua Eropah.

"Ia merupakan satu perkembangan yang cukup positif untuk bola sepak negara dan saya harap Nazmi dapat mengambil peluang sebaik mungkin untuk mendapatkan kontrak beraksi bersama skuad utama Beira-Mar.

"Sekiranya 'produk' kita berjaya di sana (Portugal), tidak mustahil pemain-pemain lain akan menyusul mengikuti jejak Nazmi," katanya.

Sementara itu, Nazmi berkata, dia akan memberikan aksi terbaik sepanjang menjalani sesi ujian pemilihan tersebut.

"Sudah tentu ia merupakan satu penghormatan apabila mereka berminat untuk menguji kebolehan saya.

"Saya akan berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan dapat memikat jurulatih kelab itu dan bersedia untuk menimba ilmu di Eropah," ujarnya.

Nazmi akan berlepas ke Portugal Ahad ini dengan ditemani bapanya, Mansor Mustapha.

City fokus aksi menentang QPR

Posted:

City fokus aksi menentang QPR

City fokus aksi menentang QPR


MANCINI (tengah) meraikan kejayaan City menewaskan Newcastle 2-0 pada aksi Liga Perdana England, Ahad lalu.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memberi amaran kepada para pemain supaya tidak terlalu yakin untuk menjulang trofi Liga Perdana England musim ini.

Peluang City untuk memenangi gelaran pertama sejak 44 tahun lalu semakin cerah selepas menewaskan Manchester United 1-0 diikuti dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United, Ahad lalu.

Bagaimanapun, City perlu menewaskan Queens Park Rangers (QPR) di Stadium Etihad, Ahad ini sekiranya berhasrat untuk merampas trofi itu daripada United.

Mancini berkata, masih terlalu awal untuk para pemain dan kru pasukan meraikan kejayaan itu.

"Hari untuk kami menjulang trofi sudah semakin dekat tetapi ia masih belum pasti kerana kami mempunyai satu lagi perlawanan yang sangat sukar.

"Perasaan saya dan para pemain semakin baik setelah City menewaskan Newcastle tetapi kami perlu beraksi dalam situasi yang lebih baik apabila menentang QPR," kata Mancini.

Bagaimanapun, Mancini perlu memastikan semua pemain membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi pasukan yang dibimbing bekas pengurus City, Mark Hughes itu.

Beliau merancang untuk menjalani latihan seperti biasa menjelang aksi terakhir musim ini.

Pengurus kelahiran Itali itu bimbang sekiranya tumpuan para pemain terganggu sepanjang minggu ini, misi utama mereka untuk meraih gelaran liga akan menjadi semakin sukar.

"Kami berjaya meletakkan semua pemain pada tahap terbaik. Kami pernah melakukannya sebelum ini (menentang United).

"Kemudian kami mengulangi perkara yang sama minggu lalu sebelum menghadapi Newcastle. Kami tidak mengubah apa-apa.

"Jika kami tidak mengekalkan konsentrasi pasukan dan melakukan persediaan yang baik, saya pasti perlawanan ini (menentang QPR) akan menjadi lebih sukar dan memusnahkan harapan pasukan," kata Mancini. - Agensi

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan