Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Peluang Kelantan himpit kedudukan Lions XII

Posted:

Peluang Kelantan himpit kedudukan Lions XII

Peluang Kelantan himpit kedudukan Lions XII

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

BARISAN pemain Kelantan sedia menggempur Johor FC di Pasir Gudang malam ini.


SELEPAS berjaya merangkul Piala FA dan melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kelantan mahu terus menambah koleksi kejuaraan dan mengekalkan status sebagai penyandang juara Liga Super.

Aksi menentang Johor FC malam ini di Pasir Gudang merupakan peluang terbaik buat The Red Warriors untuk menekan kedudukan pendahulu, Lions XII yang mengungguli persada liga dengan kelebihan tujuh mata.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim bagaimanapun mahu para pemainnya memandang serius pertemuan malam ini biarpun prestasi semasa tidak begitu menyebelahi pasukan kelab dari selatan tanah air itu.

Menurutnya, Johor FC dibarisi beberapa pemain berpengalaman seperti Khaironisam Shahbudin, Azi Shahril Azmi, Edy Helmi Manan dan ramai lagi yang mampu mengancam kedudukan Kelantan.

"Atas kertas, tugas kita nampaknya seperti mudah jika prestasi semasa Johor FC diambil kira, namun saya tidak melihat itu sebagai kelebihan kepada kita, sebaliknya kita perlu beraksi dengan baik sekiranya mahu menang.

"Sasaran kita adalah untuk memenangi perlawanan tersebut bagi merapatkan jurang mata dengan Lions XII," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, sistem penggiliran pemain yang dilakukan oleh jurulatih setakat ini berfungsi dengan baik walaupun pemain terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat.

Katanya, jurulatih kini sedang mengenal pasti beberapa kelemahan, terutamanya dari segi kekuatan mental selepas mereka hampir menerima padah ketika menang tipis ke atas Terengganu pada pusingan kedua Piala AFC baru- baru ini.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihak pengurusan mungkin akan menambah seorang lagi pemain import bagi memenuhi kuota bagi saingan Piala AFC selepas kontrak Onyekachi Nwoha tamat kelmarin.

Jelasnya, sehingga kini masih belum ada calon yang sesuai, namun pemain import baharu itu kelak perlu memenuhi beberapa kriteria bagi memperkuatkan pasukan dalam menghadapi saingan suku akhir pada September ini.

Serah kepada PKBM

Posted:

Serah kepada PKBM

Serah kepada PKBM

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my


ANUAR menyerahkan kepada PKBM mengenai peluangnya untuk beraksi di London.


PELUMBA sensasi negara, Anuar Manan enggan melayan spekulasi mengenai peluangnya yang semakin tipis beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.

Sebaliknya, pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu mahu memberi fokus terhadap impiannya beraksi pada kejohanan lumba basikal Jelajah Perancis pada 30 Jun hingga 22 Julai depan bersama pasukannya, Champion System.

Anuar, 26, merupakan antara lima calon yang disenaraikan untuk mengisi dua slot acara lebuh raya di London kelak oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersama-sama Muhd. Adiq Husainie Othman, Mohd. Harrif Salleh, Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Zamri Salleh.

Ketika rakan sepasukannya di Champion System, Adiq telah pun menjadi pilihan utama, slot bagi pelumba kedua kini dikatakan menjadi rebutan antara Anuar dan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif.

Pengesahan nama dua pelumba yang bakal menggalas cabaran negara itu akan diumumkan PKBM pada 18 Jun depan.

"Kalau saya tidak terpilih ke Sukan Olimpik London, sudah tentu perasaan terkilan itu tetap ada tetapi saya lebih suka bersikap profesional," kata Anuar ketika dihubungi menerusi laman sosial Facebook semalam.

"Seandainya tidak terpilih ke London, apa boleh buat. Saya sudah berusaha cuma keputusan di tangan mereka (PKBM).

"Apa pun, saya akan buat seperti biasa sahaja kerana sasaran saya adalah untuk beraksi dalam Jelajah Perancis, Jun depan. Itu impian sebenar saya selepas Olimpik," jelasnya lagi.

Reputasi Anuar sebagai pelumba pecut negara kini kian tercalar selepas prestasinya dikatakan mula merosot selain turut berdepan isu disiplin ketika bersama kem negara.

"Saya rasa prestasi saya semakin baik, cuma apabila memasuki perlumbaan bertaraf pro tour, agak sukar untuk menang seperti pada peringkat Asia," katanya.

Rentap Futsal 3 makin rancak

Posted:

Rentap Futsal 3 makin rancak

Rentap Futsal 3 makin rancak

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


AKSI antara pasukan Glory B (jersi hitam) ketika menentang pasukan IKBN Naka B dalam aksi peringkat kumpulan kategori Terbuka Lelaki pada Rentap Futsal 3 Putrajaya di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya semalam.


RENTAP Futsal 3 Putrajaya meneruskan kemeriahannya semalam apabila kumpulan pertama bagi kategori Terbuka Lelaki yang terdiri daripada 180 pasukan, turun ke gelanggang memulakan cabaran.

Saingan bagi kategori Terbuka Lelaki membuka tirainya di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18 Putrajaya semalam dan seperti dijangka, pasukan-pasukan yang bertarung menampilkan aksi menarik dengan harapan berjaya meneruskan saingan ke pusingan kedua dan seterusnya ke peringkat suku akhir bermula hari ini.

Saingan bagi kategori Terbuka Lelaki menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 untuk pasukan yang muncul juara.

Hari ini, kumpulan kedua terdiri daripada 180 lagi pasukan akan turun beraksi berserta dengan kategori Terbuka Wanita yang turut membuka langkah di gelanggang.

Kategori Lelaki Bawah 12 dan 18 Tahun sudah melabuhkan tirainya kelmarin yang menyaksikan Nato Gato Junior muncul juara kategori B-12, manakala pasukan Akid Idraki meraih gelaran juara bagi kategori B-18.

Sejumlah 650 pasukan tampil menyahut cabaran pada Rentap Futsal 3 Putra- jaya kali ini yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang meninjau perjalanan kejohanan tersebut semalam menjelaskan bahawa pihaknya akan mempertimbangkan cadangan untuk menukar nama Rentap Futsal kepada Rentap Bola Padang pada edisi akan datang.

Ahmad Shabery berkata demikian selepas melihat pemain muda kini yang semakin memperlihatkan kebolehan dalam bola sepak padang.

Beliau menyifatkan kejayaan pemain Harimau Muda, Muhamad Nazmi Faiz Mansor yang dipilih untuk beraksi dengan kelab Portugal, S.C. Beira-Mar sebagai satu titik permulaan dalam pembangunan bola sepak negara.

"Kami akan mempertimbangkan cadangan untuk menukar nama kejohanan ini kepada Rentap Bola Padang, memandangkan KBS perlu mengkaji format pertandingan yang akan diguna pakai," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan