Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Rooney yakin

Posted: 07 Jun 2012 01:39 PM PDT

KRAKOW (Poland): Wayne Rooney menegaskan England masih mampu melaungkan cabaran hebat di Euro meskipun skuad pimpinan Roy Hodgson itu agak suram akibat dihimpit isu kecederaan.

Dengan isu kecederaan menghimpit pemain utama dan ditambah penggantungan pemain hingga Rooney terpaksa disisihkan daripada beraksi dua perlawanan pertama, banyak pemerhati tampil menyatakan anak buah Hodgson perlu bekerja keras sekiranya mahu melepasi peringkat Kumpulan D.


Bagaimanapun bintang Manchester United, Rooney enggan mematikan semangat rakan seangkatannya ketika pasukan sedang bersiap sedia menjalani persiapan menentang Perancis sejurus tiba di kem pusat Krakow, semalam.

"Kami sedang berusaha melakukan yang terbaik dan jangan sesiapa memikirkan England mengalah. Kadang kala bila berdepan kekalahan, kita akan menyerah. Namun, bila melihat pada skuad, saya nampak tiada sebab mengapa kami tidak akan memenangi perlawanan ini.


"Tidak dinafikan ada banyak perubahan pada pasukan tapi saya meletakkan jangkaan lebih besar. Jika ada yang mengatakan tidak pada kemampuan pasukan maka terpulang pada mereka. Yang penting, kami cukup baik untuk layak ke separuh akhir dan final. Itu adalah sasaran pasukan," katanya.


Rooney dipinggirkan daripada beraksi pada perlawanan menentang Perancis dan Sweden akibat tindakan kasarnya ketika perlawanan terakhir pusingan kelayakan menentang Montenegro tahun lalu. Dia dilayangkan kad merah selepas mencela pemain pertahanan lawan.

Kali pertama dia beraksi di Euro adalah pada 2004 dan Rooney berkata, dia menerima dengan baik hukuman yang dikenakan ke atasnya. Daripada tiga, Rooney menerima pergantungan untuk dua perlawanan saja selepas rayuannya berhasil.


"Hukuman itu setimpal atas kesalahan yang saya lakukan. Saya perlu menerimanya dan hanya melengkapkan diri sejurus kembali nanti untuk menjadi pasukan juara," katanya. - AFP




Bakal raih kilau emas

Posted: 07 Jun 2012 01:35 PM PDT

MUNGKIN mereka masih mentah, namun barisan pertama pelapis negara optimis, selain badminton, senarai awal 27 atlet yang berjaya menempah tiket ke Olimpik akan membawa pulang pingat emas pertama Malaysia di London, bulan depan.

Lima atlet pelapis yang disenaraikan sebagai barisan pertama oleh Majlis Sukan Negara (MSN) ini adalah Megan Elizabeth Teoh@Piper bagi sukan terjun, Mohd Fauzan Nor Azman (berbasikal), Zairul Zaimi Mohd Arsad (lawan pedang), Cheam June Wei (badminton) dan Atiq Bazil Bakri (memanah).


Bagi mereka, tidak mustahil ratu terjun negara, Pandelela Rinong bersama pasangannya Leong Mun Yee mampu meraih pingat emas pertama negara malah, Azizulhasni Awang selaku raja berbasikal turut tidak ketinggalan.

"Saya sering menyaksikan skuad elit terjun menjalani latihan intensif di Bukit Jalil serta meletakkan angan-angan agar dapat ke Olimpik seperti mereka suatu hari nanti.


"Sememangnya saya masih muda, tetapi bersandarkan mutu latihan mereka yang sungguh menakjubkan, saya yakin mereka akan menyumbang pingat emas terutama Lela dan Mun Yee," kata Megan ketika sesi rakaman Siaran Komersial Impian Emas Negara di Studio 2, ntv7, Glenmarie Industrial Park, semalam.


Lima atlet itu dipilih MSN untuk mewakili atlet dalam sukan yang layak ke Olimpik dengan siaran komersial berkenaan akan ditayangkan bulan depan.

Megan yang baru berusia 11 tahun itu nyata memberi sokongan padu pada kakak dan abangnya dengan mengatakan bahawa kejayaan mereka ke Olimpik semakin menyuntik semangat pelapis sepertinya untuk beraksi lebih baik sekali gus menaikkan lagi mutu sukan Malaysia akan datang.


Fauzan, 18, pula berkata, selain Azizulhasni, dia turut meletakkan kepercayaan pada Fatehah Mustapha yang baru pertama kali ke Olimpik.

"Dengan kayuhan matang yang dipamerkannya (Azizulhasni), saya percaya dia akan memenangi pingat. Kita kena yakin dengan jurulatih (John Beasley). Bagi Fatehah yang baru pertama kali ke Olimpik, saya juga percaya dia mampu beraksi baik," katanya.


Bersempena dengan penganjuran sukan terbesar dunia yang berbaki kurang 50 hari saja lagi, Media Prima Berhad (MPB) menyiarkan beberapa segmen berkaitan Olimpik di saluran ntv7, 8TV, TV3, TV9 dan saluran radio. Antara segmennya adalah 'Spirit of London' (ntv7) dan 'Lets Go! Dream Team' (8TV).


Senarai 27 atlet itu merangkumi lapan atlit terjun, badminton (6), memanah (4), berbasikal trek (3), berbasikal lebuh raya (2) manakala lawan pedang, perahu layar, menembak dan angkat berat dengan satu penyertaan.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan