Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


La Roja harap Silva

Posted: 26 Jun 2012 10:10 AM PDT

DONETSK (Ukraine): Lapan gol dalam empat perlawanan, termasuk separuh daripadanya ketika menentang Ireland, Sepanyol kini makin hampir mencapai sasaran menggenggam gelaran utama dunia ketiga berturut-turut.

Skuad Furia Roja kini berada di penghujung cabaran dan memiliki tugas mempertahankan reputasi sebagai pakar hantaran bola sepak moden.


Pasukan Sepanyol berkongsi falsafah dengan Barcelona meskipun perbezaan utama antara kedua-dua pasukan itu adalah skuad bimbingan Vicente Del Bosque tidak memiliki penyerang Argentina, Lionel Messi.

Seperti Barca, Del Bosque cuba menggunakan Cesc Fabregas sebagai pemain nombor sembilan, tapi definisi Barcelona mengenai peranan itu agak berbeza kerana Messi diberikan lesen untuk bebas berkeliaran di kawasan lawan.


Fabregas menjaringkan dua gol di Euro tapi di Barca, dia membiarkan peranan itu dipikul Messi. Justeru, kelab Catalan itu mempunyai kelebihan untuk menggunakan kedua-dua pemain itu mencorak permainan.


Del Bosque berkata, jika Sepanyol ingin pemain seperti Messi, sudah tentu orangnya bukan Fabregas yang turut menolak persamaan antara mereka.

"David Silva sebenarnya Messi Sepanyol," kata Del Bosque baru-baru ini walaupun beliau tidak mengarahkan pemain sayap Manchester City itu memainkan peranan sama kerana mahukannya beraksi seperti di kelabnya.


Silva yang memikul tanggungjawab itu menjaringkan dua gol pada perlawanan kelayakan menentang Scotland, Oktober tahun lalu.

Di Barcelona, jurulatih Pep Guardiola menggunakan Fabregas dengan jayanya pada awal musim lalu tapi kemudian memindahkannya ke posisi asal kerana Messi mula mengkucar-kacirkan kubu lawan dengan 50 gol liga, satu rekod kelab.


Selepas kemenangan suku akhir ke atas Perancis, Fabregas menegaskan, dia tidak sepatutnya dibandingkan dengan Messi.


"Saya tidak pernah banding diri sendiri dengan Messi, ia nampak bodoh. Saya bermain di mana jurulatih arahkan.


"Saya juga berpendapat kita tidak sepatutnya bercakap mengenai Messi kerana dia tidak berada di sini selain kami pemain berbeza," katanya. - AFP


Pamer aksi bertenaga

Posted: 26 Jun 2012 09:38 AM PDT

AKSI penuh bertenaga dua pasukan terbaik Bawah 16 Tahun, membabitkan SMK Guar Perahu dan SMK Tiak membuktikan kualiti sukan futsal di tahap terbaik pada siri ke-11 Karnival Futsal Milo Bola 2012 yang berlangsung di Safira Sports Planet, Seberang Prai.

Kelebihan bermain di tempat sendiri digunakan sepenuhnya skuad SMK Guar Perahu apabila berjaya membenam pasukan lawan yang berpangkalan di Kupang, Kedah itu, 3-1.


Saingan Bawah 12 Tahun menyaksikan pasukan TU Excellent A dari Kedah tidak menghadapi masalah membenam cabaran pasukan Meor Bistro Kids dari Klang, Selangor 4-0 pada final.

Eksekutif Pemasaran Sukan, Nestle Prodcuts Sdn Bhd-Milo, Kerwin Lim menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.


SMK GP, SMK Tiak, TU Excellent A dan Meor Bistro Kids mewakili Pulau Pinang ke grand final di Kompleks Futsal Sports Planet, Ampang, Selangor pada 16 September ini.


Juara grand final bakal menerima RM15,000, pingat barangan Figos manakala naib juara menerima RM10,000. Tempat ketiga/keempat masing-masing menerima RM7,000.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle, Ng Ping Loong berkata, pihaknya terharu dengan sambutan hangat siri ke-11 dengan pertambahan penyertaan berbanding tahun lalu.


"Saya puas hati dengan sambutan yang baik dan peningkatan penyertaan berbanding tahun dulu. Ini satu petanda menggalakkan untuk mempertingkatkan kualiti futsal remaja pada masa depan," katanya.

Siri ke-12 akan berlangsung di Kota Bharu Sports Arena, Kelantan, Sabtu ini. Borang penyertaan boleh didapati di semua venue atau layari www.milo.com.my www. syoknyasukan.com atau hubungi menerusi talian 019-3519934 dan 019-9444334.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan