Kosmo Online - Sukan |
Posted: Ireland akhiri cabaran
GDANSK, Poland - Jurulatih Republik Ireland, Giovanni Trapattoni mengakui bahawa pasukan itu melakukan terlalu banyak kesilapan mudah pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012. Situasi itu menjadi punca yang menyebabkan dibelasah 0-4 oleh juara bertahan, Sepanyol di Stadium PGE Arena awal pagi semalam, sekali gus menjadi pasukan pertama yang terpaksa meninggalkan bumi Poland. Kekalahan itu hadir beberapa hari selepas Ireland tewas 1-3 kepada Croatia pada aksi sulung Kumpulan C. "Saya tidak nampak tekanan seperti ini semasa sesi latihan tetapi ini adalah simptom yang sangat jelas apabila kamu menghadapi sesuatu kejohanan dengan perasaan tertekan atau bimbang. "Situasi itu menyebabkan kamu melakukan kesilapan. "Ia berlaku ketika menentang Croatia dan berlaku sekali lagi petang ini (awal pagi semalam). Saya akan bertanya kepada para pemain bagaimana situasi ini boleh berlaku," kata Trapattoni. Trapattoni berkata, sukar untuk menjelaskan situasi mengenai benteng pertahanan Ireland yang dianggap sangat mantap pada kempen kelayakan tetapi menjadi rapuh di Poland. Ireland hanya memboloskan tiga gol daripada 14 perlawanan pada pusingan kelayakan dan tetapi kini, mereka sudah bolos tujuh gol meskipun baharu bermain dua kali pada Euro 2012. "Sesuatu telah berubah. Corak permainan kami sangat berbeza ketika bermain pada sesi kelayakan dan kejohanan sebenar. "Ketakutan dan tekanan telah menyebabkan kami melakukan kesilapan yang tidak pernah kami lakukan pada sesi kelayakan. Kamu boleh lihat tekanan dan bebanan yang perlu digalas para pemain," kata pengendali kelahiran Itali itu. Trapattoni, 73, yang mempunyai kontrak bersama pasukan itu sehingga Piala Dunia 2014 berkata, beliau akan menggunakan perlawanan terakhir Kumpulan C menentang Itali untuk menguji barisan pemain muda seperti pemain sayap, James McClean yang membuat penampilan pertama ketika tewas kepada Sepanyol. "Ia adalah masa yang paling sesuai untuk memberi pendedahan. Apabila seseorang pemain beraksi dalam perlawanan seperti ini, dia akan memahami situasi sebenar permainan bola sepak di pentas antarabangsa," katanya. - AFP | |
Posted: Misi berbeza Greece, RusiaPEMAIN-PEMAIN Greece berehat seketika selepas menjalani sesi latihan di Stadium Municipal Legionowo kelmarin. WARSAW, Poland - Greece dan Rusia mempunyai misi berbeza pada aksi terakhir Kumpulan A kempen kejohanan bola sepak Eropah (Euro 2012) di Stadium Municipal Wroclaw awal pagi esok. Berbeza dengan Rusia yang hanya memerlukan satu mata untuk mara ke peringkat kalah mati, Greece tidak ada pilihan lain selain mencatat kemenangan. "Ia bakal menjadi satu perlawanan yang sengit antara kedua-dua pasukan. "Mereka perlu menang manakala kami hanya perlu seri," kata jurulatih Rusia, Dick Advocaat. Berdasarkan rekod, tuah tidak memihak kepada Greece selepas tewas kepada Rusia pada dua kejohanan terakhir Euro. Rusia muncul satu-satunya pasukan yang menewaskan Greece sebelum bangkit memenangi gelaran juara Euro 2004. Pada Euro 2012, Rusia mengungguli kedudukan teratas dalam Kumpulan A selepas mengumpul empat mata dan menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan pertama. Sementara itu, jurulatih Greece, Fernando Santos memberitahu, beliau yakin Rusia tetap akan mengekalkan corak permainan menyerang yang dimiliki. "Mereka (Rusia) hanya perlukan seri tetapi saya tidak lihat skuad itu akan mengubah corak permainan mereka. "Selalunya, pasukan-pasukan besar tidak akan risau dengan perkara seperti ini. Mereka memiliki barisan penyerang yang hebat dan pemain yang berkualiti," kata Santos. Dalam pada itu, Santos mengakui beliau akan melakukan perubahan dalam kesebelasan utama pasukan itu. "Kami akan menurunkan pemain baharu pada pertemuan menentang Rusia. Kami memiliki pemain yang boleh berhadapan dengan situasi sukar ini," katanya. Greece kehilangan penjaga gol utama, Costas Chalkias dan pemain pertahanan, Avraam Papadopoulos kerana masalah kecederaan manakala pertahanan utama, Sokratis Papastathopoulos kembali daripada pergantungan selepas dilayangkan kad merah pada aksi pertama, 8 Jun lalu. - AFP | |
Posted: Poland kekal strategiSMUDA (tengah) menyampaikan amanat kepada para pemain Poland pada sesi latihan pasukan menjelang aksi menentang Republik Czech di Stadium Municipal Wroclaw awal pagi esok. WROCLAW - Poland dijangka akan menerapkan corak permainan bertahan dan serangan balas yang pantas pada aksi terakhir Kumpulan A menentang Republik Czech pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 di Stadium Municipal Wroclaw awal pagi esok. Jurulatih Poland, Franciszek Smuda berkata, corak permainan itu menjadi kunci utama kejayaan pasukan tersebut pada tahun 1970 dan 1980. Strategi itu turut digunakan oleh anak-anak buah Smuda ketika seri 1-1 dengan Rusia pada aksi sulung, 8 Jun lalu. Smuda pasti akan mengekalkan strategi itu meskipun mereka tahu pasukan pelawat tidak mungkin akan terperangkap dengan umpan Poland setelah Czech bangkit menewaskan Greece 2-1 selepas dibelasah 1-4 oleh Rusia. "Kami tidak perlu mengutamakan serangan. Pasukan Itali hanya bermain secara bertahan dan mereka juga mampu menang. Kenapa kami tidak boleh?" kata Smuda. Rusia menduduki tempat teratas dalam Kumpulan A selepas mengumpul empat mata setelah seri dengan Poland manakala Republik Czech berada ditangga kedua (3 mata) diikuti Poland (2 mata) dan Greece (1 mata). Aksi cemerlang yang dipamerkan pasukan itu ketika seri dengan Rusia telah menaikkan kembali keyakinan untuk mencatat keputusan yang lebih baik, sekali gus muncul juara. "Kami tahu, Czech akan mara sekiranya seri dalam perlawanan ini tetapi kami perlu menang. Prestasi pasukan semakin baik, malah mempamerkan aksi yang baik pada setiap perlawanan. "Jadi kami harap perlawanan ketiga akan lebih memihak kepada Poland," kata penyerang, Robert Lewandowski. Meskipun dihantui dengan masalah kecederaan pemain, Poland masih bernasib baik berbanding Czech yang bakal kehilangan khidmat ketua pasukan, Tomas Rosicky. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan