Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Jepun buat kejutan ke atas Sepanyol

Posted: 26 Jul 2012 01:46 PM PDT

Glasgow: Jepun melakukan kejutan terbesar dalam sejarah bola sepak Olimpik selepas menundukkan juara dunia dan Eropah, Sepanyol 1-0 di Hampden Park, malam tadi.

Jaringan babak pertama daripada Yuki Otsu memastikan Jepun mencatat kemenangan bersejarah itu sekali gus mengulangi kejayaan negara Matahari Terbit itu mengejutkan pasukan pilihan Brazil pada temasya Atlanta 1996.

Dibarisi pemain muda berbakat dan dibantu Jordi Alba dan Juan Mata, yang menganggotai skuad yang menjuarai Euro 2012, Sepanyol sepatutnya tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D.
Bagaimanapun, di sebalik penguasaan 65 peratus perlawanan berbanding 35 peratus lawan, Sepanyol dihukum dengan permainan bersemangat Jepun untuk membolehkan pasukan Asia itu mencatat kemenangan berharga.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Maghribi yang beraksi dengan 10 pemain berkongsi mata dengan Honduras selepas seri 2-2.

Sementara itu, Korea Selatan mensia-siakan banyak peluang menjaringkan gol menentang Mexico yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di St James Park.

Dengan penyerang Giovani Dos Santos berada di bangku simpanan sejak mula sebelum masuk menggantikan Oribe Peralta pada minit ke-66, Mexico gagal mempamerkan perwatakan mereka sebagai pencabar utama memenangi pingat emas selepas lawan dari Asia itu menguasai perlawanan. Agensi

Semua atlit Malaysia kena jalani ujian dadah

Posted: 26 Jul 2012 12:55 PM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 5,000 termasuk atlit Malaysia yang bertanding di Sukan Olimpik London 2012 diwajibkan menjalani ujian dadah dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) sepanjang temasya yang disingkap secara rasmi awal pagi esok.

Bagi membuktikan tiada kompromi terhadap penggunaan bahan larangan, IOC dan WADA juga buat pertama kali akan melakukan ujian doping ke atas atlit yang menamatkan saingan dalam kelompok lima teratas setiap acara pada temasya terulung itu.

Ujian ketat itu jelas membuktikan tanda 'peperangan' kepada penipu dadah walaupun di Beijing 2008, IOC dan WADA hanya menjalankan 4,133 ujian sepanjang temasya, tetapi hanya empat kes positif dikesan dan satu pun tidak membabitkan di kalangan 205 pemenang pingat emas.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pengerusi Perubatan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Anti Doping Komanwel dan Asia, Tan Sri Dr M Jegathesan malam kelmarin.

"Maknanya, 50 peratus daripada jumlah keseluruhan atlit yang bertanding pada temasya ini akan diuji. Turut tidak akan terlepas daripada ujian itu adalah atlit yang menduduki lima kedudukan terbaik dalam setiap acara.

"Jadi, selain jaguh perseorangan negara (Lee) Chong Wei, atlit kita yang lain berkemungkinan turut akan diuji," katanya mengulas tindakan WADA yang datang mengejut ke pangkalan latihan skuad badminton negara di Bath University untuk menjalankan ujian doping ke atas Chong Wei, Selasa lalu.

Sementara itu, Chong Wei yang ditemui di Wembley Arena semalam, jelas tidak mahu terganggu dengan isu itu sebaliknya lebih gemar membicarakan permulaan kempen acara perseorangan lelaki dengan status selaku pilihan pertama.
"Saya mahu mendapatkan suasana pertandingan dulu," katanya selepas kerap diajukan persoalan mengenai prospek pingat emas badminton dalam temasya kali ini.

Pemain berusia 30 tahun dari Bukit Mertajam menganggap ujian itu sebagai amalan biasa apa lagi dia adalah antara pemain ternama dalam disiplin ini.

"Apa yang pasti saya sudah terasa sesuatu yang baik selepas tiga hari berlatih di sini. Fokus saya untuk melepasi halangan pertama dan itulah yang mahu saya bereskan dulu.

"Saya mahu mendapatkan suasana pertandingan kerana sudah dua setengah bulan tidak berlatih selepas kecederaan," katanya selepas menamatkan sesi latihan bersama rakan sepasukan.

Dalam perlawanan peringkat kumpulan , pemenang pingat perak Olimpik 2008 itu akan menentang pemain Finland, Ville Lang - lawan yang sudah dikalahkan tujuh kali sebelum ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan