Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


QPR memukau

Posted: 17 Jul 2012 09:16 AM PDT

PASUKAN Queens Park Rangers (QPR) dalam siri Jelajah Asia berjaya menjinakkan pasukan Pilihan Sabah dengan kemenangan besar 5-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Pada perlawanan menarik dan menghiburkan itu, aksi bekas pemain Manchester United, Park Ji Sung yang mengetuai QPR pada babak pertama, turut mencuri tumpuan peminat bola sepak yang hadir hampir 20,000 orang.


Perlawanan babak pertama agak hambar apabila QPR mula mengasak kubu kental Pilihan Sabah sebaik wisel permulaan ditiupkan.

QPR mendapat peluang pertama apabila Andy Johnson melakukan percubaan dari dalam kotak penalti namun berjaya ditepis penjaga gol Sabah, Irwan Jamil pada minit kelima.


Asakan QPR berhasil apabila Bobby Zamora merembat masuk bola pada minit kelapan selepas tandukan Anton Ferdinand terlepas daripada dakapan penjaga gol Sabah, Irwan.


QPR sekali lagi mendapat peluang keemasan apabila pemain sayap kiri, Shaun Wright-Phillips berjaya melepasi pertahanan Sabah untuk aksi satu lawan satu bersama Irwan namun gagal menghasilkan gol pada minit ke-16.

Beberapa percubaan pemain import skuad Pilihan Sabah pada aksi babak pertama, Octavianus Maniani dan Titus John Londow Bonai berjaya dihalang dan ditampan penjaga gol QPR, Brian Murphy.


Aksi babak kedua lebih tersusun selepas QPR berpeluang mendapat jaringan kedua apabila Djibril Cisse menanduk bola ke gawang Pilihan Sabah namun berjaya dihalang oleh Irwan dan melewati palang Sabah yang berpunca hasil hantaran lintang Fabio Da Silva pada minit ke-48.

Pemain QPR, Matt Connolly berjaya menjaringkan gol kedua selepas menerima bola hasil hantaran Cisse yang berhadapan satu lawan satu sebelum itu dengan Irwan pada minit ke-63.


Enam minit kemudian, Pilihan Sabah sekali dikecewakan dengan gol ketiga QPR selepas Jamie Mackie merembat masuk dari dalam kotak penalti pada minit ke-69.


Pilihan Sabah sekali lagi kecewa apabila gol keempat QPR menyusul hasil tendangan lambung Cisse pada minit ke-73 melepasi jangkauan penjaga gol gantian Pilihan Sabah, Endry S Tipay.


QPR meneruskan aksi menarik dan menghiburkan apabila berjaya menjinakkan Endry untuk gol kelima hasil jaringan Cisse pada minit ke-81 yang menerima lorongan Fabio.


Pada perlawanan itu, Cisse diumumkan sebagai pemain terbaik QPR dan Octavianus sebagai pemain terbaik Pilihan Sabah yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif Pengurusan QPR, Tan Sri Tony Fernandes.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17


Berkobar-kobar

Posted: 17 Jul 2012 09:05 AM PDT

SEBANYAK 138 pasukan seluruh tanah air berkampung di Sports Planet Subang Grand mencongak strategi bagi memenuhi kouta 64 pasukan terbaik kedua-dua kategori dan menempah tiket ke Grand Final.

Namun hanya lapan slot saja perlu diisi untuk ke peringkat berprestij itu, empat untuk Bawah 12 Tahun dan empat lagi untuk Bawah 16 Tahun.


Mungkin kejayaan skuad Kelantan mengungguli Liga Super baru-baru ini menjadi penyuntik semangat buat Cola Junior B dari Kota Bharu untuk menjuarai Karnival Futsal Milo Hidup Bola kategori B-12.

Cola Junior B tidak menghadapi kesukaran menumpaskan Johor Bahru Kids A 3-0 pada perlawanan akhir. Tempat ketiga dan keempat disandang Misai FC dan KPF United.


Kategori B-16 dimenangi Court Soccer A dari Selangor selepas menumpaskan PFPC FC dari Kemaman, Terengganu 3-2 melalui penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 dalam permainan sebenar. Tempat ketiga dimenangi KPF United manakala keempat milik Perantau B.


Cola Junior B, Johor Bahru Kids A, Misai FC, KPF United (B-12), Court Soccer A, PFPC FC, KPF United dan Perantau B mengesahkan tempat mereka di Grand Final, 16 September depan. Seperti sedia maklum juara Grand Final bakal menerima RM15,000, naib juara (RM10,000), ketiga (RM7,000) dan keempat (RM7,000). Lapan pasukan terbaik peringkat itu turut menerima hadiah iringan berupa barangan sukan Figos dan Milo.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan