Kosmo Online - Sukan |
Posted: Karim bidas KOMOleh HELMI TALKAH
SETELAH sekian lama mendiamkan diri, Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim kembali bersuara. Karim yang terbabit dalam pelbagai kontroversi, menganggap keputusan KOM berhubung penyenaraian jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei dan ratu 400 meter lari berpagar, Noraseela Mohd. Khalid ke temasya Sukan Olimpik 2012 menerusi tiket wild card yang diberikan oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) adalah tidak tepat. Karim menganggap pengurus skuad olahraga ke Sukan Olimpik 2012 iaitu Datuk R. Annamalai dan Pengurus Besar KOM, Anthony Samy Silvarajoo yang menguruskan slot wild card atlet olahraga ke London perlu memperbetulkan kesilapan tersebut. Katanya, berdasarkan pungutan mata yang dikeluarkan IAAF, atlet 110 meter lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian dan ratu lompat bergalah, Roslida Samsu lebih layak untuk beraksi pada temasya berprestij di dunia itu. Katanya, Rayzam Shah mengumpul mata tertinggi bagi atlet lelaki iaitu sebanyak 1103 mata diikuti Hup Wei (1073 mata) manakala Roslinda mengetuai kategori atlet wanita (1055 mata) dan Noraseela (1043 mata). "Memang pada mesyuarat ahli majlis penghujung Mei lalu, semua telah bersetuju untuk memilih Hup Wei dan Noraseela ke Sukan Olimpik. Namun, jika terdapat atlet lain yang lebih layak sebelum tarikh tutup penyertaan pada 9 Julai lalu, atlet itulah yang perlu diberi peluang untuk bertanding. "Dua perkara penting yang diambil kira ialah catatan masa terkini dan pungutan mata dalam ranking IAAF sebelum tarikh tutup penyertaan. "Sepatutnya Annamalai dan Anthony memaklumkan mengenai perkara ini kepada semua atlet yang terlibat. Namun, ia tidak berlaku, sekali gus mencetuskan masalah ini. "Saya bukan mahu menyebelahi mana-mana atlet tetapi keputusan ini bagi saya tidak betul. Lagipun, Rayzam Shah tidak pernah menyertai Sukan Olimpik dan dia perlu diberi keutamaan," kata Karim ketika dihubungi Kosmo! semalam. Mengulas lanjut, Karim mahu Annamalai yang juga Naib Presiden KOM dan Anthony bertanggungjawab serta memberi penjelasan yang sepatutnya berhubung masalah yang timbul itu. "Kedua-dua mereka yang bertanggungjawab menghantar surat kepada IAAF berhubung slot wild card ke Sukan Olimpik. Jadi, mereka perlu jelaskan bagi membetulkan keadaan. Saya bukan mahu menuding jari kepada mereka tetapi dalam hal ini mereka lebih tahu," ujar Karim. Menurut beliau, masih ada masa dan peluang untuk memperbetulkan semula keadaan serta menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam KOM ketika ini. "Kebiasaannya, IAAF masih boleh menerima sebarang perubahan terhadap senarai atlet yang akan beraksi pada Sukan Olimpik dua minggu sebelum acara olahraga bermula. "Acara olahraga akan bermula pada 3 Ogos. Jadi, ada tempoh lebih kurang tiga minggu dari sekarang untuk membuat perubahan," kata Karim. | |
Posted: Karim yakin pertahan jawatanOleh HELMI TALKAH TIMBALAN Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim (gambar) memberi bayangan untuk mempertahankan jawatannya pada Mesyuarat Agung Tahunan badan induk itu pada 23 September depan. Begitupun, Karim berkata, segala-galanya kini terletak di tangan ahli majlis KOM sama ada mahu beliau kekal memegang jawatan selaku pemimpin kedua tertinggi KOM itu. Katanya, beliau bersedia sepenuhnya jika ada persatuan-persatuan negeri yang mahu mencalonkan dirinya untuk terus bertanding bagi mempertahankan jawatan tersebut. "Dalam hal ini, saya serahkan kepada ahli majlis untuk membuat keputusan. Biar mereka yang tentukan kedudukan saya. "Saya masih timbalan presiden KOM sehingga AGM diadakan semula pada 23 September depan. Jika ahli majlis sudah tidak mahu saya, saya sedia berundur diri untuk memberi peluang kepada orang baharu," kata Karim ketika dihubungi Kosmo! semalam. Malah, Karim menganggap beliau masih mendapat sokongan yang kuat daripada ahli majlis. "Ya, memang ada beberapa ahli majlis berjumpa saya dan bertanya sama ada masih berminat untuk bertanding pada AGM akan datang. "Namun, saya masih belum membuat sebarang keputusan. Apa yang saya boleh katakan, sokongan ahli majlis terhadap saya masih kuat kerana mereka tahu cara saya menjalankan tugas dan cara saya buat kerja," jelas Karim. Karim ketika ini berdepan dengan situasi yang boleh dianggap 'kritikal' bagi mempertahankan jawatannya sebagai pemimpin kedua tertinggi dalam KOM ekoran dipalit pelbagai kontroversi. Pada 13 Februari lalu, sekumpulan jurulatih dan atlet olahraga negara menyerahkan petisyen setebal 23 muka surat yang bertajuk Laporan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim. Petisyen yang ditandatangani oleh 42 atlet dan 16 jurulatih olahraga negara itu meminta KOM menyingkirkan Karim yang didakwa sebagai dalang utama terhadap segala masalah yang menimpa KOM sebelum ini. Ia termasuklah isu membabitkan pelari, Mohd. Yunus Lasaleh yang gagal dalam ujian anti-doping ketika memenangi pingat emas dalam acara 4x400 meter lelaki pada temasya Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia, November tahun lalu. Mengulas mengenai kontroversi-kontroversi yang membabitkan dirinya itu, Karim menjelaskan bahawa beliau telah pun memberi penjelasan kepada panel jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi menjalankan siasatan ketika sesi pendengaran yang berlangsung bulan lalu dan awal bulan ini. "Baik saya, jurulatih mahupun atlet, kami semua telah diberi peluang yang adil untuk memberikan penjelasan. Kini, kita tunggu sahaja keputusan yang akan dibuat oleh panel jawatankuasa siasatan," kata Karim. Panel jawatankuasa siasatan itu diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V.C. George. | |
Posted: Adiq pada tahap terbaikOleh SHANIKA ABDULLATIB PRESTASI pelumba lebuh raya negara, Muhamad Adiq Husainie Othman berada pada tahap yang menyakinkan selepas menyertai beberapa kejohanan di Belgium baru-baru ini. Keyakinan itu disuarakan sendiri oleh Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad. "Hasil laporan yang saya terima, Adiq mencatat keputusan yang baik dalam beberapa kejohanan yang disertai," kata Naim berdasarkan perlumbaan di Harlue, Belgium. Dalam pada itu, ketua jurulatih, John Beasley tetap yakin dengan kemampuan Adiq dan Amir Mustafa Rosli meskipun mengakui tidak berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukan mereka. Ketika ini, Adiq berada di Ghent, Belgium bersama-sama barisan pelumba trek negara bagi mengadakan latihan intensif serta persiapan lain untuk menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London penghujung musim ini. "Adiq berjaya mempamerkan kayuhan bertenaga walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk mengejar kelompok pelumba hadapan. "Namun, selepas bincang dengannya dan mencari punca masalah, saya berharap dia mampu melakukan yang lebih baik nanti," kata Beasley. Bagaimanapun, pengendali dari Australia itu memuji prestasi yang ditunjukkan Amir Mustafa. "Amir sentiasa berada dalam kelompok utama dalam hampir keseluruhan perlumbaan. Namun, masalah tayar pancit yang dihadapi menyebabkan dia sedikit ketinggalan. "Begitupun, dia berusaha untuk kembali berada dalam kelompok depan," kata Beasley mengenai pelumba berusia 25 tahun itu. Sementara itu, Zamri Salleh (pelumba simpanan) menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri. "Jika dia (Zamri) dapat memberi kayuhan untuk berada kelompok depan mungkin ia akan menjadi lebih mudah," kata Beasley. Sementara itu, barisan pelumba basikal negara sudah bersedia untuk menguji venue utama perlumbaan pada Sukan Olimpik 2012 di London penghujung bulan ini. Naim berkata, keyakinan itu semakin melonjak selepas menjalani latihan intensif selama dua minggu di Belgium. "Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng serta pelumba wanita tunggal negara, Fatehah Mustapa akan mula menguji Velodrome Olimpik di London pada 24 Julai ini dan mereka dilaporkan sudah cukup bersedia untuk melakukannya," kata Naim. "Latihan untuk acara keirin dan pecut berjalan lancar. Sehingga kini, saya tidak menerima berita yang mendakwa mereka mengalami masalah sepanjang berlatih di Belgium. "Meskipun pada mulanya Beasley tidak berpuas hati, secara dasarnya, prestasi mereka meningkat setiap hari." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan