Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Terengganu tidak tercabar

Posted:

Terengganu tidak tercabar

TERENGGANU terus membuktikan reputasi sebagai kuasa sukan negara pada Sukma ke-15.


KONTINJEN Terengganu hanya menunggu masa untuk dimahkotakan selaku juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang.

Tampil selaku juara tiga edisi berturut-turut (2008 di Terengganu, 2010 di Melaka dan 2011 di Kuala Lumpur), Terengganu hampir pasti muncul juara keseluruhan Sukma tahun ini.

Tatkala hanya lapan pingat emas (empat dalam acara gimnastik berirama, dua petanque dan dua skuasy) menjadi rebutan pada hari terakhir yang akan melabuhkan tirai di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini, Terengganu dilihat cukup selesa mendahului barisan pencabar mereka.

Hanya kontinjen Selangor dianggap sebagai satu-satunya pencabar utama yang mampu mengakhiri dominasi Terengganu dalam tiga temasya Sukma sebelum ini.

Hakikat itu diakui Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail kepada Kosmo! semalam.

"Jika dibuat penilaian setakat ini, saya lihat kontinjen Selangor masih menjadi pencabar utama kami (Terengganu).

"Mengikut perkiraan atas kertas, Selangor mungkin mampu menambah kutipan pingat emas pada hari terakhir Sukma esok (hari ini).

"Walaupun kontinjen Terengganu berpeluang cerah meraih gelaran juara keseluruhan Sukma tetapi saya telah mengingatkan setiap atlet untuk terus memburu pingat emas," jelas Wan Nawawi.

Skuad lumba basikal Terengganu muncul antara penyumbang terbesar buat kontinjen yang terkenal dengan jolokan 'Terengganu Hanelang' itu pada Sukma kali ini apabila membawa pulang 12 pingat emas.

Skuad olahraga Terengganu sekali lagi menampilkan prestasi mengagumkan apabila menyambar lapan pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan dalam acara tersebut.

"Mungkin ada yang terlepas pandang bahawa Terengganu juga muncul juara keseluruhan bagi acara memanah apabila kami meraih sembilan pingat emas.

"Kejayaan cemerlang dalam ketiga-tiga acara itu (lumba basikal, olahraga dan menanah) menjadi antara faktor kejayaan kontinjen Terengganu muncul pendahulu keseluruhan setakat ini," katanya.

Menurut Wan Nawawi, beliau berasa gembira dan berpuas hati apabila kontinjen Terengganu telah melepasi sasaran pingat emas pada Sukma kali ini.

"Sebelum hadir ke sini (Kuantan), kami menetapkan sasaran 47 pingat emas tetapi setakat hari ini (semalam) kami telah melepasi 50 emas.

"Saya bersyukur kerana sasaran awal kami telah tercapai. Dalam keadaan kami tidak berjaya meraih pingat dalam acara akuatik, acara kenu pula tidak dipertandingkan, kami masih mampu melepasi sasaran 47 emas," jelasnya.

Setakat pukul 10.30 malam tadi, kontinjen Terengganu selesa mengungguli carta pungutan pingat dengan merekodkan 61 pingat emas, 24 perak dan 30 gangsa.

Selangor yang muncul juara Sukma tujuh kali, mengekori rapat di belakang Terengganu apabila mengumpul keseluruhan 47 pingat emas, 53 perak dan 57 gangsa.

Kontinjen tuan rumah, Pahang berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik apabila mengutip 44 pingat emas, 37 perak dan 37 gangsa.

Sebagai rekod, Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Sukma buat kali pertama pada edisi 2008 yang menyaksikan mereka meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan selaku juara apabila memungut 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Tahun lalu, Terengganu melakar hatrik dengan mengungguli temasya Sukma buat kali ketiga berturut-turut selepas membawa pulang 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa.

Zulfadli tepati ramalan

Posted:

Zulfadli tepati ramalan

PEMAIN Wilayah Persekutuan, Zulfadli Zulkiffli mencipta sejarah peribadi apabila mengungguli pingat emas pertama acara badminton setelah menewaskan Tan Kian Meng dari Johor pada perlawanan akhir semalam.

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Kuantan tersebut menyaksikan juara remaja dunia itu menundukkan Kian Meng 21-14, 13-21, 21-7 untuk dinobatkan sebagai pemenang acara perseorangan lelaki pada temasya kali ini.

Zulfadli yang ketinggalan lapan mata pada set kedua perlawanan mengakui pencabarnya itu turut mempamerkan corak yang hebat sehingga memaksanya bekerja keras sebelum bangkit pada set penentuan.

"Perlawanan final memang sengit, strategi juga agak sama. Tetapi faktor fizikal dan mental memberi kelebihan kepada saya.

"Pada set ketiga saya dapati dia (Kian Meng) sudah letih dan saya gunakan kesempatan itu untuk memungut mata.

"Ini merupakan pertemuan kedua kami. Sebelum ini saya pernah tewaskannya pada (pusingan kalah mati) Grand Prix Final Remaja Kebangsaan 2011 di Bukit Kiara," katanya yang beraksi buat kali ketiga pada Sukma.

Pingat gangsa pula diraih seorang lagi pemain Johor, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang menewaskan Lim Yu Fu dari Sabah 21-16, 21-18.

Sementara itu, emas bagi acara perseorangan wanita pula menjadi milik pemain Selangor, Yang Li Lian yang mene- waskan Sonia Cheah Su Ya dari Wilayah Persekutuan (12-21, 21-8, 21-13) pada aksi final semalam.

Selangor turut meraih pingat gangsa bagi acara wanita menerusi Thinaah Muralitharan yang menewaskan Lim Chiew Sien dari Johor 21-19, 21-7 pada aksi perebutan tempat ketiga.

Pingat emas bagi kategori beregu lelaki pula diraih pasangan Melaka, Ow Yao Han- Tai An Khang yang menewaskan pasangan Kedah, Goh Jian Hao-Pang Zheng Lin 21-12, 21-15 pada perlawanan akhir.

Bagi beregu wanita pula, Chow Mei Kuan-Shevon Lai Jemie dari Wilayah Persekutuan menewaskan pemain Negeri Sembilan, Kisona Selvaduray-Ng Hui Ern 21-14, 21-18 untuk mengungguli emas acara tersebut.

Emas bagi acara beregu campuran pula dimenangi tuan rumah menerusi Chooi Kah Ming-Lai Pei Jing yang menewaskan pemain Negeri Sembilan, Low Juan Shen- Ng Hui Ern 19-21, 21-19, 21-17.

Sarawak capai sasaran memanah

Posted:

Sarawak capai sasaran memanah

PEMANAH Sarawak yang meraih emas pada Sukma Pahang (dari kiri) Lau Ngie Cheon, Allan Ronga dan Wong Cheng Teck.


KETUA jurulatih Sarawak, Chong Yap Lee berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya yang berjaya mencapai sasaran tiga emas bagi acara memanah semalam.

Beliau yang telah membimbing pasukan memanah Sarawak sejak tahun 2007 memberitahu, para pemanahnya hanya mampu menyesuaikan diri dengan keadaan di Lapang Sasar Memanah Politeknik Sultan Haji Ahmah Shah, Kuantan selepas hari kedua pertandingan.

"Hampir tujuh daripada 13 pemanah Sarawak beraksi buat kali pertama pada temasya ini dan mereka masih gementar pada dua hari pertama pertandingan.

"Namun, saya seperti tidak percaya apabila bermulanya Pusingan Olimpik pada hari ketiga, mereka bangkit memenangi dua pingat emas dan hari ini (semalam), mereka tambah satu lagi emas," katanya sebaik tamat saingan acara memanah semalam.

Tambahnya lagi, Sarawak mula mencuri tumpuan pada pertandingan tersebut apabila meraih dua emas pada Pusingan Olimpik perseorangan recurve wanita individu (Cheryl Rudang Goh Pei Loke) dan compound lelaki (Wong Cheng Teck) kelmarin.

Emas ketiga pula menerusi Wong Cheng Teck, Lau Ngie Cheon dan Allan Ronga bagi acara acara memanah untuk pertarungan compound lelaki berpasukan sekali gus melengkapkan sasaran kontijen negeri memungut emas terakhir semalam.

Trio Sarawak itu menewaskan pasukan Perak terdiri daripada Muhamad Hasanuddin Abd. Majid, Zulkifli Mohamed Yusof dan Abdul Muaz Abdul Razak dalam persaingan sengit yang menyaksikan keputusan 215-212.

Pingat gangsa pula diraih oleh Pulau Pinang yang mempertaruhkan Zulfadhli Ruslan, Lee Chiang Shen dan Tan Chin Hong.

Sementara itu, pasukan Terengganu mengungguli emas acara compound wanita menerusi Nurul Iryani Muda, Rosshaida Hayati Mohd dan Umi Syeda Nadia Mohd. Sulaiman.

Terengganu mencatatkan keputusan 218-210 untuk mengatasi Sarawak yang membariskan Lau Jiun Sien, Chai Oni Yii dan Roniza Syafiqah Ronnie Ong.

Pemanah Sabah, Alyssa Edmond, Camilly Cynthia Louis dan Chang Li Sean sekadar meraih pingat gangsa.

Bagi acara recurve pula, Terengganu meraih pingat emas pada aksi Pusingan Olimpik lelaki berpasukan setelah menewaskan Pulau Pinang yang berada di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan sekadar gangsa.

Kategori wanita pula dikuasai pasukan Kelantan, diikuti Pulau Pinang, manakala Johor di tangga ketiga.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan