Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Terengganu juara

Posted:

Terengganu juara

TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang telah melabuhkan tirainya di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi jelas sekali meninggalkan 1,001 kenangan buat tuan rumah, Pahang.

Bagaimanapun, tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut.

Pada edisi kali ini, Terengganu sekali lagi berada dalam kelas tersendiri apabila merekodkan 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Ia dianggap kejayaan terbaik yang dilakar Terengganu yang meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa ketika kali pertama kontinjen yang digelar Terengganu Hanelang itu muncul juara kali pertama Sukma pada edisi 2008 di bumi sendiri.

Sementara itu, juara Sukma tujuh kali, Selangor pula terpaksa berpuas hati di tangga kedua apabila mengumpul 47 pingat emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Tampil selaku tuan rumah, Pahang masih boleh berbangga apabila menempatkan diri dalam kelompok tiga kontinjen terbaik selepas mengutip 45 pingat emas, 50 perak dan 38 gangsa.

Selain kejayaan Terengganu mengungguli temasya Sukma buat kali keempat berturut-turut, dua atlet angkat berat, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus (Sabah) masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukma kali ini.

Pihak penganjur sebulat suara memilih Abdul Mubin dan Frenceay berdasarkan kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori masing-masing.

Selaku penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sukma ke-15, Abdul Mubin dan Frenceay membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi.

Selain Abdul Mubin dan Frenceay, perenang Wilayah Persekutuan, Ian James Barr turut muncul sebagai atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsan pada Sukma kali ini menerusi acara 200 meter rampaian individu lelaki.

Selain tiga rekod kebangsaan, sebanyak 33 rekod Sukma berjaya diperbaharui, seterusnya meninggalkan memori indah buat kesemua 15 kontijen termasuk Brunei yang bertanding pada temasya kali ini.

Pada majlis penutup Sukma ke-15 malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan upacara itu dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dengan disaksikan lebih 30,000 penonton.

Najib dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar temasya seperti Sukma dapat diperluaskan di peringkat daerah bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu.

"Saya harap Sukma dapat berterusan menjadi 'kilang' atlet sukan negara berjuang pada temasya lebih besar seperti Olimpik. Jadi kita perlu lakukan sesuatu di peringkat daerah.

"Tahniah saya ucapkan kepada kontinjen Terengganu kerana muncul juara Sukma kali keempat berturut-turut selain pujian buat Pahang yang berlaku adil dalam setiap acara yang dipertandingkan," katanya.

Majlis itu diakhiri dengan penyerahan bendera temasya yang menyaksikan Perlis bakal mengambil giliran menjadi tuan rumah Sukma 2014.

Sebaik menerima bendera Sukma daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Najib kemudiannya menyerahkan bendera itu kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

Tidak mustahil

Posted:

Tidak mustahil


ROZAIMI kini berada dalam radar jurulatih skuad harimau Muda, Ong Kim Swee.


"TIDAK mustahil tetapi bukan sekarang."Demikian respons pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee mengenai kemungkinan penyerang muda Sabah, Rozaimi Abdul Rahman menyertai skuadnya secara tetap selepas ini.

Membayangkan ia suatu perkara yang cukup positif, Kim Swee berharap ia mampu dilaksanakan segera bagi membentuk persefahaman yang mantap antara kesemua pemainnya menjelang mana-mana kejohanan utama.

Begitupun katanya, ia mungkin sukar dilaksanakan dalam tempoh terdekat memandangkan Rozaimi, 20, masih terikat dengan kontrak bersama Sabah.

"Saya menghormati kontrak antara Rozaimi dengan Sabah, jadi saya rasa agak sukar menyerap masuk Rozaimi dalam skuad Harimau Muda dengan kadar segera.

"Benda ini sebenarnya boleh dibawa berbincang. Sekiranya majikan Rozaimi bersetuju melepaskannya, sudah tentu ia memberikan manfaat kepada skuad muda negara.

"Lagi cepat lagi bagus, jadi saya harap mudah-mudahan ia dapat dilaksanakan selewat-lewatnya sebelum saingan Liga Singapura (Liga S) bermula musim depan," kata Kim Swee kepada Kosmo!.

Nama Rozaimi sebelum ini meniti di bibir bola sepak tempatan apabila meledak 10 gol ketika membantu Harimau Muda menempuh kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun di Yangon, Myanmar baru-baru ini.

Anak jati Bongawan yang bakal dipinjamkan ke Selangor bagi mengharungi kempen Piala Malaysia itu juga dilihat turut menyinar apabila membantu skuad Sukan Malaysia (Sukma) Sabah meraih emas pada temasya kali ini.

Selain itu, Rozaimi juga bakal menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana selama seminggu sebaik membantu Selangor selepas ini.

Selain Rozaimi, antara 'pemain luar' yang turut membantu skuad Harimau Muda di Yangon tempoh hari ialah Ashri Chuchu (Sarawak), Ariff Farhan Md Isa (Sekolah Sukan Bukit Jalil), Azrif Nasrul- haq Badrul Hisham dan Aminuddin Mohd. Noor dari PKNS.

Untuk rekod, Harimau Muda yang kembali mengharungi saingan Liga S selepas ditunjukkan jalan keluar pada kelayakan Piala AFC baru-baru ini berjaya menewaskan Tanjong Pagar United dengan keputusan 2-0, Jumaat lalu, sekali gus menduduki tangga kelima dengan 26 mata, kurang empat mata di belakang pendahulu Liga S, Albirex Niigata yang begitupun beraksi lebih dua perlawanan.

Pahang ukir sejarah baharu

Posted:

Pahang ukir sejarah baharu

Oleh AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI
azizulfahmi.zabidi@kosmo.com.my

ACARA angkat berat yang agak menyerlah pada Sukma kali ini dianjurkan di Pekan.


PAHANG mengukir sejarah tersendiri apabila buat kali kedua diberi penghormatan menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma).

Sebaik Sukma ke-14 melabuhkan tirainya di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 19 Jun 2010, Pahang secara rasmi diumumkan sebagai hos temasya edisi ke-15 tahun ini.

Bersandarkan pengalaman menjadi tuan rumah Sukma edisi keenam pada 1996, Pahang dilihat tidak mempunyai banyak masalah untuk menganjurkan temasya kali ini dengan noktah kejayaan.

Sebagai tuan rumah, Pahang menawarkan keseluruhan 379 pingat emas daripada 24 acara yang berlangsung di 24 gelanggang pertandingan dengan Kuantan menjadi venue utama selain Temerloh dan Pekan.

Temasya Sukma kali ini juga menampilkan penyertaan 4,964 atlet serta pegawai daripada 15 negeri termasuk Brunei.

Dengan kos keseluruhan berjumlah RM238 juta, Pahang sekali lagi boleh berbangga kerana dilihat berjaya menganjurkan temasya edisi ke-15 ini yang menutup tirainya malam tadi.

Biarpun Sukma ke-15 secara rasmi bermula 7 Julai lalu, beberapa acara telah berlangsung lebih awal iaitu karate, taekwondo, perahu layar, hoki, bola sepak dan lumba basikal.

"Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan penganjuran Sukma kali ini.

"Walaupun timbul beberapa kelemahan pada peringkat awal tetapi pihak penganjur tetap berjaya mengatasinya.

"Saya mewakili sekretariat Sukma ke-15 ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar (Datuk Seri Adnan Yaakob), Exco Belia dan Sukan negeri (Datuk Wan Adnan Wan Mamat), Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Muhammad Safian Ismail).

"Tidak lupa juga kepada semua wakil jabatan dan agensi kerajaan terlibat serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN)," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sukma ke-15 Pahang, Ahmad Hairi Hussain kepada Kosmo! semalam.

Mengimbas gerak kerja penganjuran Sukma ke-15 Pahang, Ahmad Hairi berkata, ia bermula selepas berakhirnya Sukma ke-14 di Melaka.

"Selepas dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Sukma ke-15 Pahang) pada September 2010, gerak kerja mula dilakukan. Pada November 2010, kami telah menubuhkan sekretariat Sukma.

"Ketika itu, seramai 33 staf telah dilantik dan kami mewujudkan Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Adnan serta 26 buah jawatankuasa kecil.

"Bermula dari situ, kami mula menjalankan tugas masingmasing termasuk menyediakan kertas kerja kepada pihak kerajaan bagi memohon bajet.

"Syukur alhamdulillah, tidak lama kemudian permohonan kami diluluskan dan ia memudahkan lagi tugas kami untuk melaksanakan setiap perkara yang telah dirancang," jelas Ahmad Hairi.

Pada masa yang sama, Ahmad Hairi berkata, pihaknya turut mendapatkan sumber penajaan daripada syarikat-syarikat korporat.

"Kami mendapat tajaan berjumlah kira-kira RM4 juta dan antara penaja utama Sukma kali ini ialah Resort World, DRB Hicom, Tenaga Nasional dan Telekom Malaysia (TM)," katanya.

Menurut Ahmad Hairi, pihaknya mula bergerak aktif pada pertengahan 2011 dengan memberi tumpuan utama kepada projek- projek pembangunan prasarana sukan.

"Antara venue yang dinaik taraf ialah Stadium Darul Makmur, Kompleks Renang Wisma Belia, PIEP (Pahang International Endurance Park) serta Stadium Hoki Wisma Belia.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 29 projek (pembangunan) telah dinaik taraf bagi memastikan kelancaran temasya Sukma di Pahang yang melibatkan tiga venue iaitu Kuantan, Pekan dan Temerloh," ujar beliau.

Ahmad Hairi berkata, daripada jumlah keseluruhan RM238 juta bagi penganjuran Sukma kali ini, sejumlah RM159 juta diperuntukkan bagi pembangunan prasarana sukan dan RM69 juta untuk pengurusan operasi.

"Baki daripada jumlah itu, kami peruntukkan bagi pembelian peralatan teknikal yang berjumlah hampir RM10 juta.

"Ingin saya jelaskan juga, pengurusan operasi melibatkan majlis perasmian dan penutup Sukma selain perbelanjaan lain iaitu penginapan, makan minum setiap kontinjen, pegawai- pegawai teknikal, para pengadil dan juri serta pihak media.

"Bagi Stadium Darul Makmur sahaja, kos membaik pulih berjumlah RM18.5 juta.

"Jumlah tersebut termasuk menukar trek baharu dan kebanyakan fasiliti di Stadium Darul Makmur juga sudah tidak boleh dipakai.

"Sebanyak RM3.5 juta telah diperuntukkan bagi penyediaan Pusat Media di Stadium Darul Makmur bagi memberi keselesaan kepada petugas-petugas media ketika membuat liputan sepanjang temasya Sukma ke-15 berlangsung," katanya.

Selain Stadium Darul Makmur di Kuantan, antara venue yang menjadi gelanggang pertandingan pada Sukma kali ini ialah Stadium Gimnastik Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Lapang Sasar Menembak Sukpa, Gelanggang Petanque Balok, Pusat Rekreasi Air Balok dan Gelanggang Ekuestrian Tanjung Lumpur.

Dalam pada itu, Ahmad Hairi berkata, sebanyak 12 venue penginapan telah disediakan oleh pihak penganjur untuk setiap kontinjen yang bertanding kali ini.

Venue-venue penginapan atlet yang terletak di Kuantan ialah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) cawangan Gambang dan Pekan, Kolej Profesional Mara (KPM), Kolej Islam Pahang (KIPSAS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM), Kolej IKIP dan Institut Latihan Kemas.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan