Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


K. Lumpur berdepan musibah

Posted:

K. Lumpur berdepan musibah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR (jersi merah) berdepan tindakan sekiranya gagal melunaskan gaji pemain.


EPISOD malang skuad Kuala Lumpur bagaikan belum menemui titik noktah.

Selepas tersingkir daripada Liga Super, Sang Helang juga belum pasti dapat beraksi dalam Liga Premier musim depan.

Ia ekoran Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan masalah kegagalan membayar gaji pemain selama hampir tiga bulan, bakal dihalang untuk menyertai kancah bola sepak tempatan sekiranya gagal untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar kecil) menegaskan, badan induk bola sepak negara itu bersedia 'menghukum' Kuala Lumpur sekiranya gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Hamidin memberitahu, beliau telah bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Ketua Setiausaha Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikhsan bagi membincangkan kepincangan pasukan Kuala Lumpur.

Katanya, Hamidin yang mengakui rundingan tersebut masih belum menemui hasil, FAM bersedia untuk tampil sebagai 'orang tengah' bagi membantu Sang Helang terus berada dalam Liga Malaysia.

"Saya bertemu dan berbincang dengan mereka (Ahmad Phesal dan Adnan) pada Sukma ke-15 di Pahang berhubung masalah yang dihadapi Kuala Lumpur ini.

"Buat masa ini, ia masih belum menemui sebarang jalan penyelesaian dan FAM boleh mengambil tindakan ke atas Kuala Lumpur daripada menyertai liga domestik.

Ia hanya akan dilaksanakan sekiranya mereka gagal untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"FAM juga bersedia membantu untuk tampil sebagai pihak ketiga bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik dan saya berharap Kuala Lumpur akan kekal beraksi untuk bersaing di Liga Premier musim depan.

"Harapan saya agar mereka dapat menyelesaikan perkara ini sebelum musim baharu Liga Malaysia (Liga M) bermula," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan ganjaran dan insentif pasukan Liga M di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

Menurutnya sekiranya pasukan terbabit tidak membayar gaji pemain dan pegawai selama satu bulan, surat amaran akan diberikan kepada pasukan tersebut sebelum disusuli amaran terakhir jika masih gagal berbuat demikian pada bulan kedua.

Jika terus gagal, pasukan berkenaan akan digantung daripada beraksi sehingga pembayaran tunggakan gaji itu selesai.

Sementara itu, Kelantan meraih ganjaran dan insentif berjumlah RM1.07 juta selaku juara Liga Super sementara ATM membawa pulang RM460,728 sebagai ganjaran dan insentif selaku juara Liga Premier.

Penyerang import sensasi Terengganu dan Negeri Sembilan, Francis Forkey Doe dan Emmanuel Effa Owona dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super apabila berkongsi jaringan dengan meledak 15 gol pada musim ini.

Penyerang PDRM, Khairul Izuan Abdullah yang meledak 27 gol, muncul sebagai Penjaring Terbanyak Liga Premier.

Dapat restu kerajaan dulu

Posted:

Dapat restu kerajaan dulu

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) yang mencadangkan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 sepatutnya mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada umum.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, penganjuran temasya sukan besar seperti Sukan SEA perlu dibincangkan dengan teliti, khususnya mengenai implikasi kewangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Saya tidak rasa MOM mampu menganjurkan temasya tersebut tanpa bantuan kerajaan, tetapi jika MOM memang sudah mempunyai sumber kewangan yang cukup, pihak MSN akan meluluskannya dengan rasa gembira.

"MSN sudah pun mempunyai pengalaman menganjurkan temasya sukan besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan SEA, jadi ia bukanlah satu masalah bagi kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketua kontinjen bersama pengurus pasukan Paralimpik London di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan MOM pada Rabu lepas bahawa Malaysia bersetuju menganjurkan Sukan SEA 2017 setelah Brunei Darussalam yang sepatutnya menjadi tuan rumah pada tahun itu memutuskan untuk menganjurkan edisi 2019.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi reaksi negatif terhadap kenyataan MOM itu dengan menegaskan keputusan tersebut sepatutnya mendapat kelulusan Kabinet sebelum diumumkan.

Mengulas lanjut, Zolkples berkata, Malaysia juga masih kekurangan atlet handalan dalam sukan pilihan seperti judo dan gusti untuk diturunkan pada Sukan SEA 2017.

"Jika kita menjadi hos pada 2017 dan mahu menganjurkan acara sukan pilihan, kita juga perlu menyediakan atlet-atlet yang mampu memberi saingan.

"Tapi 2017 itu bukanlah lama lagi, kita tidak mempunyai cukup masa untuk berbuat demikian," katanya.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2001 dan sebelum itu pada 1989 dan 1977.

30 peratus atlet IPT wakil negara

Posted:

30 peratus atlet IPT wakil negara

HAMPIR 30 peratus atlet negara yang layak berdasarkan merit ke Sukan Olimpik 2012 di London terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Daripada 28 atlet negara yang layak berdasarkan merit, lapan daripada mereka merupakan pelajar IPT sekali gus membuktikan pusat menara gading mampu melahirkan atlet berkelas dunia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, perkembangan positif itu menunjukkan matlamat kerajaan melahirkan The Thinking Athletes mampu direalisasikan.

"Kerajaan sememangnya komited dalam program pembangunan dan pembudayaan sukan di IPT termasuk pemberian insentif, biasiswa dan geran penyelidikan berteraskan kejuruteraan sukan.

"Bagi atlet IPT yang akan berjuang di Sukan Olimpik London, saya ucapkan selamat maju jaya dan berusahalah sebaik mungkin untuk mengharumkan nama negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kejohanan Majlis Sukan Antara Universiti Malaysia (Masum) Fasa 2 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat semalam.

Pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara keseluruhan setelah memungut 12 pingat emas, lima perak dan tujuh gangsa pada kejohanan berkenaan yang membabitkan lapan acara sukan.

Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat kedua dengan tujuh pingat emas manakala tuan rumah, UTHM menduduki tempat ketiga setelah memperoleh empat pingat emas.

Sementara itu, Presiden Masum, Prof. Datuk Dr. Kasim Md. Mansur berkata, atlet IPT yang layak ke Olimpik adalah Khairulnizam Mohd. Affendi (UiTM - perahu layar), Yu Peng Kean (UPM - lawan pedang), Azizulhasni Awang (Universiti Deakin - lumba basikal) dan Cheng Chu Sian (UPM- memanah).

Turut layak, katanya, Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Bryan Lomas dan Cheong Jun Hoong, kesemuanya dari UPM dalam sukan terjun.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan