Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Nasib Seu Bock 8 September

Posted:

Nasib Seu Bock 8 September

SEU BOCK menenangkan Chong Wei selepas beraksi pada final acara perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012 London.


STATUS Tey Seu Bock sebagai jurulatih kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 8 September depan.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, Seu Bock kini masih membimbing Chong Wei dan buat masa ini, badan induk badminton negara itu tidak membuat sebarang perubahan daripada segi struktur kejurulatihan.

"Segala-galanya masih seperti sedia ada kerana belum ada mesyuarat (Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan BAM) untuk membuat perubahan.

"Mungkin (perubahan) selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan 8 September ini," kata Chin Chai semalam.

Seu Bock dipetik akhbar kelmarin sebagai berkata, beliau tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung kedudukannya sebagai jurulatih Chong Wei dan menyerahkan perkara itu kepada BAM untuk membuat keputusan.

Menurut Chin Chai, BAM akan melihat secara terperinci laporan jurulatih berhubung prestasi para pemain semasa temasya Sukan Olimpik 2012 di London baru-baru ini.

"Kami akan mengadakan mesyuarat awal bulan depan bagi mengumpul laporan daripada jurulatih dan pengurusan pasukan untuk melihat tindakan yang betul dan tindakan silap kami," katanya.

Jelasnya, BAM juga sedang merangka persediaan bagi para pemain negara menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Kedua-dua temasya itu akan berlangsung pada 2014.

ATM merendah diri

Posted:

ATM merendah diri

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TONGGAK pertahanan ATM, Azmi Muslim (belakang) mengasak pemain Kedah, Mohd. Fiqry Md. Isa pada saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam kelmarin.


JUARA Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini tampil selaku pendahulu Kumpulan B kempen Piala Malaysia.

Kejayaan itu hadir selepas ATM membenam Kedah 2-0 pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Beraksi di gelanggang lawan ternyata tidak menghalang skuad kendalian B. Sathianathan itu untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Begitupun, Sathianathan tidak mahu anak-anak buahnya terlalu cepat berpuas hati dengan kemenangan itu, sambil menganggap perjalanan pasukannya masih jauh.

"Kejayaan mendapatkan tiga mata di Kedah amat melegakan saya. Saya sangat berpuas hati dengan persembahan barisan pemain.

"Mereka menunjukkan komitmen yang begitu tinggi selepas baru sahaja menyambut Aidilfitri. Apa yang saya lihat, mereka memiliki stamina yang baik.

"Begitupun, terlalu awal untuk mengatakan ATM mampu melepasi peringkat kumpulan yang mana kami bukan pasukan pilihan," jelas Sathianathan kepada Kosmo! semalam.

Menurut Sathianathan lagi, dua lagi pencabar dalam Kumpulan B - Kelantan dan Terengganu masih dianggap sebagai pasukan pilihan.

"Atas kertas sudah membuktikan bahawa Terengganu dan Kelantan merupakan pasukan pilihan dalam Kumpulan B.

"Terengganu jelas menunjukkan kehebatan mereka selepas berjaya menewaskan Kelantan 2-0 di gelanggang sendiri semalam (kelmarin).

"Meskipun Kelantan tewas tetapi saya yakin mereka akan kembali bangkit dengan mempamerkan prestasi sebenar pada perlawanan akan datang.

"Mereka memiliki skuad yang mantap yang mana tahap keserasian mereka jelas berbeza berbanding kami yang hanya digilap dalam tempoh setahun," katanya.

Ditanya mengenai pertemuan menentang Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam esok, Sathianathan mengakui pasukannya perlu bekerja keras sekiranya berhasrat untuk mendapatkan tiga mata.

"Setiap pasukan mengidamkan tiga mata tetapi kami perlu bekerja lebih keras untuk meraih kemenangan ke atas Terengganu.

"Saya berharap beraksi di laman sendiri akan memberikan tuah kepada ATM untuk terus mencipta kemenangan kedua," katanya.

Pengajaran buat Sime Darby

Posted:

Pengajaran buat Sime Darby

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PEMAIN Sime Darby, Shoufiq Khusaini (kiri) diasak tiga pemain Perak pada saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kelmarin.


"KAMI hampir berjaya mendapatkan tiga mata tetapi terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri."

Demikian respon spontan pengendali Sime Darby, Ismail Zakaria selepas pasukannya sekadar seri 1-1 ketika menentang Perak pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Ismail berkata, anak-anak buahnya berjaya beraksi sebagaimana diarahkan sebelum mereka dihukum Perak pada lewat perlawanan.

"Beraksi menentang salah satu pasukan hebat dalam Liga Malaysia seperti Perak bukan satu tugas yang mudah.

"Kami berjaya mendahului Perak sebelum kealpaan kami mengundang padah menerusi jaringan penyamaan mereka," katanya kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu, naib juara Piala FA itu berjaya mendahului Perak menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Leandro Tiofilo pada minit ke-64.

Begitupun, Sime Darby yang hampir memungut tiga mata penuh terpaksa berputih mata apabila pemain gantian skuad Seladang, Fahrul Razi Kamaruddin menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89.

Biarpun gagal meraih kemenangan, Ismail memberitahu, beliau tetap gembira dengan persembahan barisan pemainnya pada aksi sulung itu.

"Meskipun kita gagal mendapatkan tiga mata, saya tetap berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain saya.

"Mungkin ia merupakan satu permulaan yang baik buat Sime Darby untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akan datang," ujarnya.

Ismail percaya skuadnya akan beraksi dengan lebih baik pada aksi kedua menentang Negeri Sembilan malam esok.

"Bertemu dengan Negeri Sembilan sememangnya satu lagi perlawanan sukar buat kami.

"Mereka tampil sebagai pasukan pilihan dan sudah tentu, mereka pasti akan berusaha untuk mendapatkan tiga mata berharga di hadapan penyokong sendiri.

"Saya harap barisan pemain saya mempelajari kesilapan yang mereka lakukan ketika menentang Perak," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan