Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pandelela dalam kelas tersendiri

Posted:

Pandelela dalam kelas tersendiri

RATU terjun negara, Pandelela Rinong mengesahkan statusnya selaku penerjun terbaik dunia selepas mara ke peringkat akhir dalam acara 10 meter platform wanita pada Sukan Olimpik 2012 malam tadi.

Pada aksi di Pusat Akuatik Olimpik, London itu, Pandelela menamatkan saingan di tempat kelima selepas mengumpul 352.50 mata bagi melayakkan diri ke pentas akhir.

Seperti dijangka, penerjun China, Chen Ruolin terus menguasai saingan apabila menduduki tempat pertama selepas mengumpul 407.25 mata, diikuti Meaghan Benfeito (Kanada) 359.90, Brittany Broben (Australia) 359.55 dan rakan senegaranya, Melissa Wu, 355.60.

Kini, Pandelela sudah boleh berbangga selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok 12 penerjun terbaik pada temasya di London ini.

Kejayaan penerjun berusia 19 tahun kelahiran Sarawak itu turut menghidupkan peluang Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama pada temasya berprestij di dunia ini sejak tahun 1956.

Selepas menduduki tempat kedua pada pusingan kelayakan semalam, Pandelela yang beraksi buat kali kedua pada Sukan Olimpik tampil dengan aksi yang lebih meyakinkan.

Pandelela yang meraih pingat emas acara tersebut pada Sukan Komanwel 2010, tampil konsisten tetapi mata yang dikumpulkannya agak menurun berbanding ketika beraksi pada peringkat kelayakan.

Seorang lagi penerjun negara yang beraksi dalam acara tersebut, Traisy Vivien Tukiet terkandas seawal peringkat kelayakan selepas memungut 285.00 mata untuk menduduki tempat ke-22.

Pandelela yang meraih pingat emas acara tersebut pada Sukan Komanwel 2010, nampak konsisten dengan prestasinya semalam tetapi mata yang dikumpulkannya agak menurun berbanding ketika beraksi pada peringkat kelayakan.

Pada terjunan pertama dengan tahap kesukaran 3.2, Pandelela meraih 67.50 mata, diikuti 75.40 mata pada terjunan kedua bagi membolehkannya berada di kedudukan keempat.

Pada terjunan ketiga dengan tahap kesukaran 3.3, dia berjaya meraih 70.40 mata, namun mata kutipannya menurun pada terjunan keempat apabila meraih 67.20 mata pada tahap kesukaran yang sama.

Pada terjunan terakhir dengan tahap kesukaran 3.2, dia mengumpul 72.00 mata dan turun ke tempat kelima, namun kedudukan tersebut sudah cukup untuk membolehkannya beraksi di final.

Menyingkap kejayaan Pandelela pada kejohanan peringkat antarabangsa sebelum ini, dia memiliki reputasi yang tidak kurang hebatnya dalam acara individu.

Dia mula mengukir nama pada Kejohanan Dunia pada tahun 2011 di Moscow yang menyaksikannya meraih pingat perak.

Sebelum itu pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China dia meraih pingat gangsa dan tewas di belakang dua penerjun China.

Pada temasya Sukan Olimpik Remaja 2010 di Singapura, dia berjaya meraih pingat perak.

Setakat ini, tahap kesukaran yang ditetapkan berjaya disempurnakannya dengan baik, cuma dia mengelak daripada berasa terlalu ghairah ketika melakukan entri.

Selepas selesai aksi separuh akhir semalam, media Malaysia cuba mendapatkan reaksi Pandelela, namun dia dinasihatkan oleh jurulatihnya, Yang Zhuliang agar tidak memberi sebarang kenyataan sehingga selesai final.

Hari ini, seorang lagi penerjun negara, Bryan Nickson Lomas akan memulakan cabarannya dalam acara 10m platform individu lelaki.

Tidak mustahil buat Chong Wei

Posted:

Tidak mustahil buat Chong Wei

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

CHONG WEI menunjukkan pingat perak yang dimenanginya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selasa lalu.


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar kecil) percaya Datuk Lee Chong Wei masih mampu untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Beliau berkata, sekiranya Chong Wei, 30, berjaya mengekalkan tahap kecergasan serta prestasinya, bukan sesuatu yang mustahil buat pemain badminton No. 2 dunia itu bergelar juara dunia dalam tempoh empat tahun akan datang.

"Jika kita lihat pada usia, Peter Hoeg Gade, 36, (pemain Denmark) dan Taufik Hidayat, 31, (pemain Indonesia) masih lagi beraksi pada Sukan Olimpik 2012 biarpun usia mereka sudah meningkat.

"Begitu juga dengan Chong Wei. Jika dia berasa masih boleh beraksi, tidak ada apa yang mustahil.

"Bagi saya, tempoh empat tahun masih dalam jangkauan bagi atlet yang mahu mencapai kejayaan lebih tinggi di pentas antarabangsa," kata Ahmad Shabery yang ditemui ketika majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Ahmad Shabery, berdasarkan pencabar-pencabar Chong Wei ketika ini, hanya Lin Dan, 29, dari China yang mampu menggugat kedudukan jaguh negara itu.

"Jika dibandingkan dengan Lin Dan, jurangnya tidak terlalu besar dengan Chong Wei.

"Namun, jika dengan Chen Long, 23, (pemain China) yang berada di bawah Chong Wei, ia terlalu jauh. Sebab itu, jika Chong Wei berjaya mengekalkan tahap kecergasannya, tidak mustahil dia boleh melakar kejayaan," jelasnya.

Terdahulu, Chong Wei memberi bayangan awal bahawa dia akan terus mengerah kudratnya untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2016.

Katanya, jika keadaan fizikalnya berada pada tahap terbaik, selain bebas daripada masalah kecederaan, dia mungkin akan terus membawa cabaran negara pada temasya terbesar di dunia itu.

Kenyataan Ahmad Shabery itu hadir selepas Chong Wei gagal dalam misinya merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik.

Ia ekoran kekalahan yang dialaminya di tangan seteru utamanya, Lin Dan pada aksi final acara perseorangan badminton lelaki di Arena Wembley, Ahad lalu.

Kekalahan itu menyebabkan dia sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas turut memenanginya pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

"Buat masa sekarang, bagilah Chong Wei rehat dahulu.

"Dia sudah penat berjuang untuk negara dan mungkin masih berada dalam keadaan kecewa kerana gagal memenangi pingat emas. Biarlah dia yang menentukan keputusannya," tambah Ahmad Shabery.

Naim kekal orang No. 2 PKBM

Posted:

Naim kekal orang No. 2 PKBM

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS
AZMI dan NOR AZIRAN YUNUS
sukan@kosmo.com.my

NAIM (kanan) diberi sambutan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari London semalam.


"SAYA kekal sebagai Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kerana jawatan ini hak orang ramai, mereka (ahli jawatankuasa) yang pilih dan saya tidak boleh mengecewakan mereka," kata Datuk Naim Mohamad bagi menjawab desas-desus yang mengatakan beliau mahu meninggalkan badan induk tersebut.

Naim yang juga pengurus pasukan lumba basikal negara ke Sukan Olimpik 2012 di London memberitahu, beliau hanya mahu melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Pembangunan Trek PKBM.

"Sebagai Pengerusi Pembangunan Trek, saya memohon untuk dilepaskan daripada jawatan ini supaya ada orang yang boleh dilantik bagi membuat perancangan lapan tahun (Olimpik 2016 di Brazil dan Olimpik 2020 di Jepun)," tambahnya.

Naim yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam berkata, penglibatannya dalam persatuan-persatuan lain menyebabkan beliau kesuntukan masa untuk memantau pembangunan skuad basikal trek dengan lebih rapi.

"Pengorbanan masa itu penting, ada banyak benda yang saya patut buat tetapi tidak sempat kerana terlibat dengan persatuan lain sama ada Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) atau Majlis Tindakan Ekonomi Melayu.

"Jadi, dalam tempoh empat tahun ini kita perlu rancang bagaimana kita hendak menambah kekuatan kepada Azizulhasni serta membina kekuatan mentalnya agar pada Sukan Olimpik 2016 kelak dia sudah bersedia untuk 50 meter terakhir itu.

"Saya dah 30 tahun dalam persatuan, 12 tahun menumpukan perhatian untuk membawa pulang pingat emas untuk Malaysia tetapi saya gagal.

"Jadi, kita perlu berikan laluan kepada orang lain pula yang lebih muda. Empat tahun lagi saya akan berumur 62 tahun. Kalau lilin pun sudah habis dibakar," tambahnya.

Menurut Naim, perancangan meraih pingat emas telah dilakukan, namun kegagalannya untuk membantu Azizulhasni pada aksi final membuatkannya berasa bertanggungjawab.

Sementara itu, Presiden PKBM, Abu Samah Abd. Wahab meminta agar Naim tidak meletakkan jawatan berikutan kegagalan skuad berbasikal negara meraih pingat di atas bahunya seorang diri.

"Kami (pengurusan PKBM) hanya menguruskan atlet. Yang menentukan pingat adalah usaha atlet itu sendiri kerana mereka yang menyertai pertandingan," jelasnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan