Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Vietnam lebih pantas: Raja

Posted: 11 Sep 2012 04:09 PM PDT

'Saya tak perlu berasa panik lagi

Shah Alam: "Kalah tetap kalah, saya menerimanya tanpa mahu memberi sebarang alasan. Vietnam nampak lebih bertenaga dan pantas." Itu ulasan diberikan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal selepas skuad kendaliannya dimalukan Vietnam 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Ketika peminat bola sepak tempatan yang mengharapkan persembahan mantap menjelang Piala AFF Suzuki, terus kempunan menonton aksi benar-benar meyakinkan dari pasukan negara, Rajagobal tegas menyatakan dia belum panik dengan keputusan itu.

"Saya tak perlu berasa panik lagi. Itali pun kalah sebelum ke Euro," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan. "Aksi persahabatan dan kejohanan sebenar berbeza. Kita masih di landasan terbaik, tak perlu panik dengan hanya satu kekalahan ini."
Rekod tanpa kalah skuad kebangsaan sepanjang 10 aksi antarabangsa Kelas A di gelanggang sendiri sejak 2009 lebur di hadapan kira-kira 15,000 penyokong.

Kali terakhir skuad kebangsaan tewas ialah 3-1 kepada Uzbekistan pada 18 November 2009 dan kekalahan malam tadi turut menyaksikan Malaysia pasti gagal memperbaiki ranking ke-156 dunia ketika ini tatkala Vietnam di ranking ke-146 akan dapat memperbaikinya.

Vietnam mendahului 1-0 pada minit ke-32 selepas penyerang utamanya, Le Cong Vinh menanduk kemas hantaran Lee Tan Tai untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias, lantas meleburkan rekod tanpa bolos skuad negara sepanjang aksi persahabatan Kelas A di laman sendiri, tahun ini.

Gawang negara bocor lagi

Menyedari Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbat kurang berfungsi, Rajagobal melakukan dua pertukaran memasukkan Azamuddin Akil pada minit ke-38 dan Mahali Jasuli, empat minit kemudian.

Namun hanya dua minit selepas separuh masa kedua bersambung, skuad kebangsaan tambah tertekan apabila Vietnam memperoleh gol kedua hasil sepakan pemain tengah, Phan Thanh Hung yang berjaya memerangkap Farizal.

KOM perlu ketua berwibawa

Posted: 11 Sep 2012 04:03 PM PDT

Tunku Imran beri reaksi kemelut kesatuan olahraga

Kuala Lumpur: Jangan biarkan mereka yang tidak mampu mengetuai persatuan!

Itulah kesimpulan tepat untuk menggambarkan reaksi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar terhadap Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM) yang akan diadakan pada 23 September ini.

Katanya, beliau cukup berharap supaya pemilihan nanti dapat membina satu ikatan kukuh untuk membantu mengembalikan maruah olahraga negara.
"Olahraga salah satu sukan yang cukup terkenal di dunia, tetapi prestasi pasukan kita semakin merudum, termasuk juga di serantau.

"Siapa yang menang perlu berusaha untuk tingkatkan prestasi sukan olahraga negara.

"Bukan saja kena kerja keras tetapi mereka yang dipilih perlu bekerja dengan penuh intergriti," katanya ketika ditemui pada Majlis Sukan dan Wanita 2012, semalam.

Pada majlis itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Datuk Suraya Yaacob dipilih sebagai penerima Anugerah Sukan dan Wanita 2012.

Menangguhkan pengumuman

Semalam BH Sukan melaporkan KOM terpaksa menangguhkan pengumuman senarai calon yang bakal bertanding dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu, selepas tarikh tutup berakhir jam 12 tengah hari kelmarin gara-gara ketiadaan Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dikatakan masuk hospital.

Sepatutnya, tidak perlu menunggu Shahidan, sebaliknya KOM dari awal perlu menubuhkan jawatankuasa bebas menjalankan proses pencalonan dan pemilihan bagi memastikan ia berjalan lancar serta tidak berlaku konflik kepentingan.

Dikatakan, dalam pemilihan kali ini, Shahidan akan ditentang oleh Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan, Datuk Zainal Abidin Ahmad dan bekas Naib Presiden KOM, Datuk Danyal Balagopal.

Sementara itu, bapa Pandelela, Pamg a/k Joheng, 46, dan ibunya, Hartini Lamin, 44, menerima Anugerah Perkongsian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sumbangan cemerlang mereka menjadikan ratu terjun negara itu sebagai seorang penerjun wanita terbaik dunia.

Trofi disampaikan Tunku Panglima Besar Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis Anugerah Wanita dan Sukan Tahunan MOM ke-10 di Wisma MOM, semalam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen