Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Harimau hilang taring

Posted: 11 Sep 2012 10:43 AM PDT

STATUS Harimau Malaya selaku juara Asia Tenggara tercalar apabila terkulai di laman sendiri kepada Vietnam 0-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam semalam.

Kekalahan itu memberi tamparan hebat buat Malaysia yang menyaksikan rekod tanpa kalah lima perlawanan persahabatan berstatus A tahun ini lebur ketika misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF berbaki lebih dua bulan lagi.


Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal memilih menggandingkan Mohd Zaquan Adha Abd Razak bersama Norshahrul Idlan Talaha sebelum memasukkan Mohd Safee Sali pada babak kedua.

Malah beliau memilih untuk menurunkan Christie Jayaselan bagi mengambil tempat pemain lincah S Kunanlan di bahagian sayap kiri.


Seperti keadaan padang di Stadium Shah Alam yang lembab akibat hujan yang turun sebelum perlawanan bermula, begitu jugalah aksi aksi Harimau Malaya pada babak pertama.


Sebaliknya, Vietnam, juara Piala Suzuki AFF 2008 kini dibimbing jurulatih tempatan, Phan Thanh Hung lebih menguasai permainan dengan mengatur beberapa percubaan bahaya.

Satu-satunya peluang tuan rumah hadir di minit ke-23 apabila sepakan lambung Norshahrul dalam kotak penalti melepasi palang gol.


Bagaimanapun lebih 15,000 penyokong Malaysia tersentak apabila 'anak emas' Vietnam membuktikan bisanya dengan menanduk masuk gol pertama pada minit ke-33 untuk menewaskan Mohd Farizal Marlias.

Wira Vietnam ketika menjuarai Piala AFF empat tahun lalu itu sekali lagi berpeluang menambah jaringan seminit kemudian apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid namun bola lambungannya dikeluarkan Mohd Aidil Zafuan Abd Razak ketika Farizal sudah tertewas.


Belumpun sempat anak buah Rajagobal mengatur gerakan pada babak kedua, gawang negara sekali lagi dibolosi menerusi tolakan Phan Thanh Hung di minit ke-48 untuk menghukum kelemahan benteng negara.


Menyedari kedudukan semakin sukar, Malaysia membuat tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Safee, Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar menggantikan Zaquan, Bunyamin Umar dan Christie.


Namun tiada apa yang mampu dilakukan pemain negara apabila pasukan pelawat ampuh bertahan bagi mengekalkan kelebihan jaringan dua gol.


Malaysia dan Vietnam akan membuat perhitungan sekali lagi di Hanoi pada 3 November ini sebagai persiapan terakhir sebelum Piala AFF.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12


Sharbinee disoal 2 kali

Posted: 11 Sep 2012 10:40 AM PDT

LAIN disasar, lain terkena apabila kesungguhan jurulatih Terengganu, Peter Butler yang beria-ia mahu menjalani ujian poligraf (pengesanan pembohongan) ke atas dua pemainnya, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ri bukan sekadar tidak kesampaian, sebaliknya penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli terlebih dulu menjalani ujian itu atas alasan mengatur perlawanan.

Sebelum ini, Butler bermati-matian mempertahankan keputusan menggantung dua pemain itu atas alasan pulang jam 3 pagi ke hotel penginapan dan didakwa bersama wanita sebelum masuk ke dalam bilik hinggakan jurulatih bangsa Inggeris itu sanggup membiayai segala perbelanjaan mengambil ujian itu di dalam atau luar negara.


Pantas membela diri, Ismail menyahut cabaran untuk menjalani ujian poligraf kerana katanya, ia sangat penting bagi membersihkan namanya dan Muslim yang tercemar akibat tuduhan Butler sebelum perlawanan Piala Malaysia Kumpulan B menentang Kedah, 28 Ogos lalu.

Namun di sebalik keriuhan itu, Sharbinee yang menimbulkan kontroversi apabila dia tertampan bola ke dalam gol sendiri ketika menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu empat hari kemudian, menjadi pemain pertama Terengganu terpaksa mengambil ujian poligraf.


Itupun kerana bekas penjaga gol kebangsaan berusia 26 tahun itu, mengaku tidak terbabit mengatur perlawanan dan memberitahu media, dia sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain berkata, siasatan sudah dimulakan seperti diminta Shar binee dan setakat ini lapan individu termasuk pemain itu sudah dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM negeri di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu.

Menurutnya, selain Sharbinee, antara mereka yang dipanggil memberi keterangan termasuk Butler, Muslim, Ismail, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh yang juga pengurus pasukan dan Timbalan Presiden PBSNT, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff yang juga penolong pengurus pasukan.


"Sharbinee yang dua kali disoal siasat di pejabat negeri juga diarah menjalani ujian poligraf di ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur dan setakat ini, hasil ujian itu belum kami peroleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen