Berita Harian: Sukan |
Posted: 02 Sep 2012 01:05 PM PDT » Tindakan jurulatih skuad Penyu dakwa 2 pemain itu bawa masuk perempuan ke bilik mengaibkan diri dan keluarga mereka Kuala Terengganu: Kontroversi yang berlaku antara dua pemain tonggak utama skuad Penyu, Ismail Faruqi Asha'ri dan Muslim Ahmad dengan Jurulatih Terengganu, Peter Butler, semakin panas. Ini kerana dua pemain itu bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang di atas keceluparan mulut jurulatih import dari England berkenaan.Sambil menegaskan pendiriannya, Muslim dan Ismail sudah melantik peguam dan perbincangan lanjut mengenai bentuk tindakan undang-undang ke atas tuduhan mereka membawa masuk perempuan ke bilik penginapan ketika di Alor Setar, Kedah, Selasa lalu cukup mengaibkan diri dan keluarga mereka. Pintu rundingan dan masa diberikan untuk Butler memohon maaf secara terbuka kerana menuduh kami membawa masuk perempuan ke bilik penginapan di Alor Setar, Selasa lalu sudah tertutup, kata Muslim Ahmad. "Dakwaan jurulatih kelahiran England itu sukar dimaafkan. Saya sudah berusaha untuk tidak memanjangkan kes ini, tetapi keengganan dan kedegilannya memohon maaf secara terbuka membuatkan kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. "Saya dan Ismail sekali lagi ulangi dan berani bersumpah tidak membawa masuk perempuan ke bilik penginapan. "Kami juga mencabar Butler mengemukakan bukti di atas tuduhannya itu, tetapi selepas lima hari (mulai Rabu lalu), jurulatih itu gagal menunjukkan sebarang bukti, sebaliknya terus menerus membuat tuduhan yang cukup mengaibkan kami melalui media massa," katanya. Muslim berkata, Datuk Che Mat Jusoh yang juga Presiden PBSNT memaklumkan, beliau sudah mengarahkan Butler mengemukakan bukti serta membuat laporan bertulis, tetapi sehingga petang ini (semalam), jurulatih itu masih belum berbuat demikian. Katanya, Butler menjatuhkan hukuman ke atasnya dan Ismail tanpa sebarang bukti sebab itu dia tidak dapat menyerahkan laporan seperti diarahkan pengurusan PBSNT. "Dia hanya membuat tuduhan berdasarkan maklumat orang ketiga, sebagai jurulatih profesional dia sepatutnya tidak terus menghukum kami, sebaliknya menyiasat secara terperinci terlebih dahulu. "Jalan penyelesaian antara kami sudah berakhir dan Butler akan menerima padah atas keceluparannya," katanya yang mengesahkan dia dan Ismail tidak disenaraikan dalam skuad Penyu ketika Terengganu menentang Kedah, Selasa lalu berikutan kecederaan dialami. Mengenai tindakan Butler enggan menyenaraikan namanya dalam skuad Penyu sepanjang menjadi jurulatih, Muslim yang juga bekas pemain skuad Harimau Muda A, berkata: "Saya dan Ismail bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan pengurusan itulah yang membayar gaji serta elaun kami setiap bulan. "Sebagai seorang pekerja, kami tetap akan turun menjalani latihan," katanya. |
Posted: 02 Sep 2012 12:53 PM PDT Kuala Lumpur: Hubungan buruk antara jurulatih Terengganu, Peter Butler dan beberapa pemainnya tidak akan mempengaruhi ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal dalam pemilihan skuad negara kendaliannya. Rajagobal sebelum ini menamakan pemain pertahanan Muslim Ahmad dan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli sebagai simpanan untuk skuad 25 pemain yang dipanggil bagi menghadapi Vietnam 11 September ini dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam. "Saya akan tunggu dan lihat perkembangan perkara ini," kata Rajagobal ketika ditanya berhubung isu penyingkiran Muslim, Sharbinee dan seorang lagi pemain kebangsaan, Ismail Faruqi Ashari oleh Butler."Buat masa sekarang, senarai (pemain kebangsaan) yang ada kekal dan tiada perubahan. Lagipun kedua-dua pemain itu hanya dalam senarai bersedia sekiranya ada kecederaan." Rajagobal bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai tindakan Butler mendedahkan kepada media masalah dalaman pasukan yang boleh menjejaskan masa depan pemain, terutama apabila pemain terbabit turut mewakili negara. Muslim dan Ismail sebelum ini diketepikan Butler pada perlawanan ketiga Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Darulaman selepas dikatakan pulang lewat malam serta membawa wanita masuk ke bilik sebelum hari perlawanan. Kedua-dua tonggak Terengganu itu tampil menafikan dakwaan tetapi Butler berkeras mengatakan dia mempunyai saksi, penyerang import dari Liberia, Francis Doe yang dibuang padang selepas keputusan seri 1-1 menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin. Perlawanan kedua terakhir Terengganu dalam peringkat Kumpulan B Piala Malaysia menentang Tentera di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok akan berlangsung tanpa kelibat empat pemain itu. Terengganu kini di tangga ketiga kumpulan, berkongsi empat mata dengan Kedah manakala Tentera dan Kelantan mengisi dua tangga teratas dengan masing-masing mengumpul tujuh mata. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan