Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Sharbinee malu

Posted: 02 Sep 2012 11:31 AM PDT

"BENAR saya melakukan kesilapan, tapi jangan maki-hamun dan tolak saya di depan ribuan penonton, saya juga ada maruah seperti orang lain," kata penjaga gol utama Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, ketika diminta mengulas mengenai pertelingkahannya dengan jurulatih, Peter Butler ketika pertemuan dengan Kedah malam kelmarin yang berkesudahan seri 1-1.

Sharbinee berkata, lebih memalukannya apabila jurulatih berasal dari England itu mengekorinya hingga berhampiran pintu masuk pemain sambil menuding jari ke arahnya dengan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum diredakan jurulatih penjaga gol, Zuber Ibrahim.


Tambah penjaga gol itu, dia tidak kisah dimarahi jurulatih itu kerana melakukan kesilapan menolak bola masuk ke gawangnya sendiri tapi jurulatih itu perlulah memilih tempat yang sesuai seperti dalam bilik persalinan dan bukannya di padang.

"Sebagai jurulatih berpengalaman, tindakan Butler itu jelas tidak profesional dan tidak sepatutnya dilakukan biarpun saya dapati dia begitu kecewa dengan kesilapan yang saya lakukan," katanya yang mengakui kesilapan itu kerana pada ketika angin agak kuat.


Penjaga gol berusia 25 tahun itu berkata, berikutan kesilapannya itu, dia memohon maaf kepada semua pemain termasuk kira-kira 15,000 penonton yang hadir dan bertekad akan memperagakan aksi terbaik jika masih diturunkan.


"Sebagai pemain, kesilapan sebegitu bukan kita mahu, tapi dalam sesuatu permainan, apapun boleh berlaku seperti yang terjadi malam semalam, namun saya harap peminat tidak menghukum saya sebaliknya terus memberi sokongan terutama dalam misi Terengganu melayakkan diri ke suku akhir," katanya.

Mengulas insiden itu, yang bermula selepas penjaga gol itu digantikan dengan penjaga gol kedua, Mohd Shamirza Yusof selang beberapa minit selepas penjaga gol itu menolak masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-63 hasil tendangan sudut kapten pelawat, Baddrol Baktiar.


Selepas penjaga gol kebangsaan itu dikeluarkan, Butler yang dilihat hilang sabar dengan kesilapan mudah yang dilakukan pemain itu terus menghampiri dan menghambur kata-kata kesat sambil menuding jari ke arah pemain itu sebelum diredakan Zuber.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Safee gusar

Posted: 02 Sep 2012 11:24 AM PDT

PENYERANG sensasi, Safee Sali mengakui prestasi tidak menentu gandingannya, Norshahrul Idlan Talaha menyebabkannya ketika ini menghadapi kemarau jaringan bersama skuad Harimau Malaya.

"Prestasi Mat Yo (Norshahrul) sedikit-sebanyak ada mempengaruhi permainan saya tapi yakin kami boleh mendapat rentak bagi mengembalikan detik kecemerlangan seperti sebelum ini.


"Mat Yo adalah pemain yang baik kerana bukan saja dapat menjaringkan gol tapi mampu membuka peluang kepada saya merobek gol lawan. Bagi saya keserasian kami adalah yang terbaik tapi ketika ini masing-masing mencari rentak untuk kembali ke tahap terbaik menjelang saingan Piala AFF pada hujung November depan," ujarnya.

Menyifatkan penyerang kembarnya bersama skuad kebangsaan itu adalah gandingan terbaiknya, kapten Pelita Jaya itu amat berharap prestasi mereka berdua akan mula memuncak menjelang saingan Piala AFF pada hujung November depan.


Bekas pemain Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak itu yang masih belum menjaringkan sebarang gol ketika beraksi bersama skuad kebangsaan sejak awal tahun ini berkata dia sendiri akan cuba meningkatkan prestasinya sendiri untuk kembali seperti ketika muncul penjaring terbanyak pada saingan Piala AFF 2010.


Bagaimanapun, Safee menjelaskan dia bukan mahu memperkecilkan kemampuan penyerang lain dan dia sendiri tidak kisah digandingkan dengan mana-mana pemain.

"Saya sudah lama bermain dengan Mat Yo dan sudah faham dengan corak permainannya, begitu juga dengan Safiq (Rahim).


"Diharapkan perlawanan persahabatan dengan Vietnam nanti akan mempertajamkan semula sentuhan jaringan saya," katanya.

Selain Safee dan Mat Yo, Datuk K Rajagobal turut menamakan Khyril Muhymeen Zambri (Kedah), Azamuddin Akil (Pahang), Zaquan Adha Abd Razak (Tentera), Wan Zack Haikal Wan Nor (Harimau Muda A) dan Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan) sebagai pilihan untuk posisi penyerang bagi menghadapi Vietnam pada 11 September ini.


Kemarau jaringan Safee kini menjadi perhatian ramai terutamanya selepas tiga aksi persahabatan sepanjang 12 hari kem latihan di Vienna, Austria bulan lalu.


Safee, 28, yang beraksi dalam dua daripada tiga perlawanan itu tidak mampu menamatkan kebuntuan jaringan.


Keadaan itu turut menyaksikan beberapa gandingan penyerang yang diuji Rajagobal turut gagal menjaringkan gol hingga menyaksikan Harimau Malaya tewas di tangan kelab Hungary, FC Gyirmot Gyor 0-2, seri 0-0 dengan Zalaegerszeg dan tewas 0-2 kepada kelab Slovakia, Spartak Myjava pada aksi terakhir.


Safee berkata, dia akan menyertai kem kebangsaan bermula Rabu ini dan kesempatan itu akan digunakannya untuknya mendapatkan rentaknya semula.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan