Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Tiada unsur rasuah’

Posted: 18 Sep 2012 12:55 PM PDT

PENJAGA gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramlie disahkan bebas daripada dakwaan mengatur keputusan perlawanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kertas siasatannya ditutup selepas didapati tidak wujud sebarang bukti atau dokumen menunjukkan wujud unsur rasuah ketika pasukan itu menentang Kedah, 1 September lalu.


Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain dalam kenyataannya berkata, pihaknya sudah membuat siasatan menyeluruh selepas jurulatih pasukan Peter Butler mendakwa Mohd Sharbinee menjual permainan.

"Hasil siasatan mendapati tidak ada sebarang bukti atau dokumen menunjukkan kewujudan unsur rasuah pada perlawanan itu. Malah, sepanjang siasatan dijalankan, SPRM memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan membantu siasatan.


"Ujian poligraf yang dijalankan SPRM juga menunjukkan Tiada Tindakbalas Signifikan (No Significant Reactions) yang boleh mengaitkan perlakuan rasuah seperti didakwa malah ketika rakaman ujian dijalankan, keputusan diperoleh adalah dia bercakap benar kepada soalan dikemukakan," katanya.


Md Yusoff berkata, siasatan terhadap kes itu dibuat mengikut bidang kuasa diperuntukkan Akta SPRM 2009 dan siasatan dijalankan adalah bebas, telus dan profesional.

Kontroversi itu bermula apabila Mohd Sharbinee dikatakan menjadi sasaran kemarahan Butler selepas penjaga gol terbabit melepaskan gol mudah ketika Terengganu mendahului Kedah 1-0 dalam saingan Piala Malaysia, di laman sendiri.


Mohd Sharbinee yang juga bekas penjaga gawang kebangsaan dilapor turut mengaku membuat kesilapan dan sanggup disiasat SPRM bagi menepis dakwaan kononnya ia berkait dengan isu 'menjual perlawanan'.

Berikutan itu, SPRM memulakan siasatan pada 4 September lalu dengan memanggil beberapa individu termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan penjaga gol utama pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/19


Gegaran Fiesta Futsal

Posted: 18 Sep 2012 12:52 PM PDT

FIESTA Futsal KSN kali kesembilan anjuran Kompleks Sukan Negara (KSN) dijangka lebih mencabar apabila penganjur mewujudkan dua acara sampingan, bola keranjang 3 lawan 3 dan Sukan Gusti Lengan.

Lebih menarik, kejohanan dua hari yang bakal berlangsung 22 September ini akan diadakan di venue baru iaitu di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic) dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.


Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif KSN, Wan Nor Azinah Zaniby Wan Hashim berkata, ketiga-tiga acara hanya terbuka kepada penyertaan lelaki saja.

"Objektif utama untuk menanam semangat kesukanan dan menggalakkan aktiviti berfaedah kepada orang ramai di samping mewujudkan saingan sihat. Malah, fiesta ini juga dijangka mampu mencungkil bakat baru dalam arena sukan futsal, bola keranjang atau gusti lengan.


"Kami juga ingin memperkenalkan dua gelanggang futsal baru di venue yang kami ambil alih pada 2010," katanya pada Majlis Penyerahan Tajaan di Stadium Nasional, petang semalam. Fiesta Futsal KSN menerima tajaan Figos Sdn Bhd, Nestle Product Sdn Bhd, F&N Beverage Marketing Sdn Bhd, Sports Spin Sdn Bhd dan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd.


Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Pembangunan dan Pengurusan Acara KSN, Mohd Zulqurnain Muhammad dan Ketua Pegawai Operasi Perniagaan dan Jualan, Khairul Azhar Sadar Muhammad.

Mohd Zulqurnain berkata, penyertaan dijangka meningkat berbanding tahun lalu dengan sokongan dua acara sampingan serta hadiah menarik.


Habuan lumayan membabitkan wang tunai berjumlah RM7,100 untuk Fiesta Futsal dengan pemenang turut menerima piala pusingan, piala iringan, pingat, cenderahati dan sijil.

Manakala acara 3 On 3 Basketball pula menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM2,800 dengan pemenang menerima piala iringan, pingat, cenderahati dan sijil.


Peserta gusti lengan pula turut menerima habuan menarik dengan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM1,800, pingat, cenderahati dan sijil.


Pendaftaran perlu dibuat segera dengan menghubungi talian 03-89920888 sambungan 843 atau 844 atau 012 6299617 (Haslina) / 019 3576879 (Fitri Ani). Borang boleh dimuat turun di laman web www.stadium.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/19


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan