Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Kay Kim anggap KBS tidak adil

Posted: 07 Sep 2012 01:26 PM PDT

"MEREKA (atlet Paralimpik) sebenarnya lebih layak dan berhak untuk diberi ganjaran serta pencen berbanding atlet normal."

Demikian pandangan pengkritik sukan tanah air, Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika diminta mengulas ketetapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang tidak akan memberi ganjaran skim imbuhan tetap atau pencen kepada pemenang pingat perak Sukan Paralimpik, Hasihin Sanawi seperti dinikmati atlet normal pada temasya Olimpik.


Pelik dengan situasi itu, Kay Kim menganggap keputusan itu tidak adil untuk atlet Orang Kurang Upaya (OKU) yang pada pandangannya terpaksa melalui halangan lebih sukar berbanding atlet normal dalam usaha mereka memenangi pingat.

"Sudah sampai masanya kita mengiktiraf atlet paralimpik yang berjaya setanding dengan atlet normal kerana mereka juga sudah menjadi penyumbang penting untuk mengharumkan nama negara.


"Bagi saya, usaha mereka memenangi pingat lebih sukar berbanding atlet biasa dan seharusnya mereka dilayan lebih adil, sama seperti atlet normal," katanya.


Justeru, beliau berharap pihak kerajaan, terutama menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti semula soal pencen itu berbanding hanya mengutamakan atlet normal yang pada pandangannya masih mampu menjana pendapatan selepas bersara dari dunia sukan.

"Mereka (atlet paralimpik) mesti diberi jaminan andai terbabit dengan apa-apa jenis sukan. Golongan ini yang sepatutnya diberikan pelbagai pengiktirafan, termasuk pencen," katanya.


Namun, Kay Kim juga pada masa sama tidak menolak sumbangan besar kerajaan yang sudah memberi banyak ganjaran kepada atlet negara berbanding ketika era sebelum kemerdekaan.

"Dulu skuad badminton memenangi pertandingan pada saingan antarabangsa tapi tidak mendapat sebarang ganjaran berbanding atlet masa kini," katanya.


Antara atlet normal yang mendapat pencen di bawah Skim Imbuhan Tetap Sukan Olimpik ialah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei serta ratu terjun, Pandelela Rinong selepas masing-masing meraih pingat perak dan gangsa pada pentas Olimpik.


Di bawah skim itu, atlet yang memenangi pingat di Sukan Olimpik akan menerima RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 gangsa yang akan diberikan setiap bulan untuk tempoh sepanjang hayat mereka.


Hasihin mencipta sejarah apabila merangkul perak menerusi acara recurve individu lelaki berkerusi roda W1/W2 di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, Isnin lalu sekali gus menyumbang perak pertama selepas 20 tahun.


Pada masa ini, ganjaran yang hampir pasti menantinya adalah RM200,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) tapi Ahmad Shabery menegaskan, atlet itu bakal menerima ganjaran lain selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Peacock Raja Pecut

Posted: 07 Sep 2012 01:16 PM PDT

LONDON: Pelari Britain, Jonnie Peacock muncul Raja Pecut Sukan Paralimpik awal pagi semalam, meranapkan impian Oscar Pistorius melakar satu lagi kejuaraan dengan larian cemerlang dalam acara 100 meter.

Pelari berusia 19 tahun itu, yang memegang rekod dunia 10.85 saat, sekali lagi membuktikan dia pelari cacat terbaik dunia dengan merangkul pingat emas di Stadium Olimpik dengan rekod baru Paralimpik 10.90s.


Pistorius, 25, gagal meraih sebarang pingat apabila menduduki tangga keempat, mencatat 11.17s di belakang rakan senegara dan sebilik, Arnu Fourie, yang meraih gangsa dengan masa 11.08s manakala pelari Amerika Syarikat (AS), Richard Browne memenangi perak, 11.03s.

Peacock yang tergamam menganggap kemenangan itu "amat mengagumkan" manakala Pistorius pasrah dengan kekalahannya dan berkata persembahan pelari Britain itu hanyalah satu permulaan karier gemilang.


"Saya tidak boleh bayangkan bagaimana gembiranya dia melakar kemenangan di depan penyokong sendiri," kata Pistorius.


"Tahniah, ia satu catatan masa hebat. Dia masih muda dan mempunyai masa depan lebih gemilang." Penganjur menganggap acara T44 bagi pelari kudung kaki itu sebagai perlumbaan utama temasya, menjangkakan semua lapan finalis mampu mencatat masa di bawah 11 saat buat kali pertama.

Peacock, yang kudung sebelah kaki dan dilatih Dan Pfaff yang melatih pelari Kanada, Donovan Bailey meraih kejayaan 100m Olimpik 1996, memberi bayangan awal di peringkat saringan kelmarin dengan menyamai rekod Paralimpik 11.08s.


Pistorius, juara 100, 200 dan 400m T44 di Beijing menjelaskan, dia bukannya pelari pilihan bagi acara pecut kerana dia lebih pakar dalam acara 400m. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan