Kosmo Online - Sukan |
Posted: Dedah pelumba mudaOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE PELUMBA sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang mahu mana-mana pelumba muda negara yang berpotensi diberikan pendedahan untuk menyertai Kejohanan Dunia. Menurutnya, sudah tiba masanya pelumba skuad pelapis kebangsaan diberi peluang untuk menyertai mana-mana kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa. Antara pelumba yang dilihat berpotensi, katanya, termasuklah Idrus Md. Yunus, Muhd. Arfi Qhairant, Mohd. Fattah Amri Zaid dan Malik Marcus Mcrone. "Sebelum ini, tumpuan banyak diberikan kepada saya dan Josiah Ng (dalam Kejohanan Dunia). "Jadi sekarang ini ia 'medan pertempuran' bagi pelumba muda pula untuk menggalas cabaran negara," katanya kepada pemberita semalam. Pelumba kelahiran Terengganu itu ditemui selepas menghadiri majlis perasmian jam tangan edisi baharu Oris di Suria KLCC, Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg. Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata, dia juga menetapkan fokus terbaharu supaya menyinar pada kejohanan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014. Selain itu, katanya, dia juga berhasrat mempertahankan emas Sukan Asia yang dimenangi di Guangzhou, China dua tahun lalu serta berazam menebus kekecewaan setelah dibatalkan penyertaan dalam acara keirin pada Sukan Komanwel New Delhi pada tahun yang sama. "Saya mahu mendapatkan kembali kedua-dua gelaran tersebut. Itu sasaran utama saya buat masa ini," katanya. Dalam pada itu, Azizulhasni juga berkongsi kegembiraan bersama peminat mengenai statusnya yang bakal menjadi bapa apabila isterinya, Athiah Ilyana Abdul Samat dijangka melahirkan cahaya mata pertama mereka pada awal November depan. "Hari Raya yang lepas merupakan raya pertama saya bersama keluarga selepas empat tahun beraya di Melbourne kerana menjalani latihan intensif. "Jadi kali ini saya banyak menghabiskan masa dengan mereka termasuk menemani isteri menjalani pemeriksaan kesihatan. Teruja rasanya untuk menjadi seorang bapa," katanya yang hanya akan pulang menyambung latihan di Melbourne pada Disember ini. | ||
Posted: Rozaimi doakan kejayaan rakanOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
HANYA doa mampu diungkapkan peledak muda negara, Rozaimi Abdul Rahman bagi mengiringi perjuangan Harimau Muda menjelang aksi Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala SCTV menentang skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Indonesia di Gelora Bung Karno, Jakarta malam esok. Biarpun tetap disenaraikan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee ke Jakarta, Rozaimi, 20, berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat beraksi buat kali pertama di stadium keramat itu gara-gara ibu jari kakinya didapati bengkak selepas membantu Selangor menewaskan Pahang 4-1 dalam kempen Piala Malaysia, Selasa lalu. Sebelum ini, Rozaimi juga tiada dalam senarai skuad Kim Swee ketika mempertahankan emas temasya Sukan SEA di stadium yang sama tahun lalu. Justeru, katanya, dia berharap rakan-rakan sepasukannya mampu mengulangi kejayaan malam esok biarpun ia sekadar satu kejohanan jemputan. "Sudah tentu saya kecewa (tidak dapat beraksi), tetapi inilah asam garam pemain bola sepak. "Jadi, saya harap rakan-rakan sepasukan mampu memberikan yang terbaik biarpun terpaksa beraksi di depan ribuan penyokong Indonesia," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo! Dengan ketiadaan Rozaimi, jentera penyudah Harimau Muda dijangka digalas oleh Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri malam esok. Selain Rozaimi, tiga lagi pemain iaitu Fandi Othman, Azrif Nasrulhaq Badrul dan Ashri Chuchu juga dilaporkan mengalami kecederaan sementara lima lagi pemain iaitu Mahalli Jasulli, Mohd. Fadli Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor, Gary Steven Robbat dan Zubir Azmi juga diketepikan Kim Swee kali ini kerana dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan menentang Vietnam di Stadium Shah Alam, Selasa minggu depan. Ia merupakan aksi tunggal Harimau Muda dalam kejohanan Piala SCTV itu nanti, sementara satu lagi aksi kejohanan membabitkan pertemuan antara skuad kebangsaan Indonesia dan Korea Utara juga berlangsung di stadium yang sama sehari kemudian. Dalam pada itu, Rozaimi mengakui prestasinya masih di bawah tahap sebenar ketika ini berbanding semasa meledak 10 gol bersama Harimau Muda dalam aksi kelayakan Piala AFC B-22 di Myanmar, Jun lalu. "Saya masih belum berpuas hati, bagi saya masih banyak yang perlu diperbaiki (biarpun berjaya menamatkan kemarau gol bersama Selangor tempoh hari). Saya pun tidak tahu mengapa (gagal mencetak gol buat Selangor sebelum ini), namun saya gembira kerana ia mengembalikan semula keyakinan saya. "Jadi, saya harap dapat segera pulih daripada kecederaan dan mahu mendapat semula sentuhan penyudah seperti mana di Myanmar tempoh hari. Sebagai penyerang, tugas saya ialah untuk menjaringkan gol dan itulah yang akan saya lakukan," katanya optimis. | ||
Posted: Sapura jinakkan MaybankOleh NOR AZIRAN YUNUS PEMAIN Sapura, Jiwa Mohan (kiri) cuba menyekat kemaraan pemain Maybank pada aksi di Bukit Jalil semalam. SAPURA menghidupkan peluang dalam saingan Liga Hoki Malaysia TNB apabila menewaskan Maybank 4-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam. Pemain import Sapura dari Pakistan, Muhammad Imran tampil cemerlang untuk menjaringkan gol pertama Sapura pada minit kelapan berpunca daripada pukulan sudut penalti. Mohd. Marhan Mohd. Jalil terus mengukuhkan kedudukan Sapura dengan jaringan dua gol padang pada minit ke-30 dan ke-32 perlawanan untuk menjadikan kedudukan 3-0. Namun, Maybank yang bermula agak perlahan berjaya memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti oleh Hairul Nizam Abd. Rani pada minit ke-35. Pada separuh masa kedua, Muhammad Imran menjaringkan gol keempat Sapura pada minit ke-41 manakala Hafifihafiz Hanafi menjaringkan gol kedua Maybank pada minit ke-48 perlawanan dan kedudukan 4-2 yang memihak kepada Sapura kekal sehingga tamat perlawanan. Jurulatih Sapura, V.K Balakrisnan berkata, walaupun mencapai kemenangan dan berjaya meraih tiga mata berharga tetapi masih banyak kelemahan dalam pasukannya yang perlu diperbaiki segera. "Kami perlu manfaatkan setiap peluang yang terhidang dan tidak boleh melakukan kesilapan mudah," katanya selepas perlawanan semalam. Menurutnya, selepas ini me reka akan menumpukan untuk perlawanan menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) esok dan akan memastikan kemenangan menjadi milik mereka. Sementara itu, jurulatih Maybank, Wallace Tan berkata, pemainnya bermula agak perlahan dan banyak melepaskan peluang keemasan menjaringkan gol. "Jika kami dapat menjaringkan kesemua peluang yang terhidang pasti keputusan itu berubah dan kami bermain agak baik hari ini (semalam) cuma kegagalan menjaringkan gol sahaja menjadikan perlawanan bukan milik kami," katanya. Sementara itu, perlawanan antara TNB dengan UniKL pula berkesudahan TNB menang tipis 3-2 yang menyaksikan penyerang kebangsaan, Faizal Saari meledak hatrik. Gol UniKL pula dijaringkan oleh S. Selvaraju dan Mohd. Noor Faeez Ibrahim. KLHC yang menewaskan Nur Insafi 5-0 di Ipoh semalam kini menerajui kedudukan liga dengan sembilan mata, diikuti TNB di tempat kedua dengan tujuh mata. Tempat ketiga menjadi milik Sapura dengan enam mata, manakala Nurinsafi Perak keempat dengan tiga mata. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan