Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Karim tak layak bertanding?

Posted:

Karim tak layak bertanding?

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

KERATAN Kosmo! semalam.


SAMA ada Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim layak bertanding atau tidak pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan olahraga negara itu, ia akan diketahui sebelum AGM itu berlangsung Ahad ini.

Semalam, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan beliau telah menerima laporan penuh berhubung siasatan yang dijalankan ke atas Karim namun tidak mendedahkan keputusan siasatan tersebut.

"Saya hanya boleh mengesahkan bahawa laporan itu telah diterima oleh Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar daripada jawatankuasa siasatan petang tadi (petang semalam).

"Selebihnya saya tidak boleh komen. Namun, apa yang saya difahamkan pihak KOM dan Karim juga ada menerima laporan tersebut," kata Kok Chi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Justeru, KOM perlu mengambil tindakan segera agar tidak menjejaskan proses pemilihan pada AGM badan induk itu kali ini.

Jika Karim didapati bersalah dan beliau masih boleh bertanding sudah pasti ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli majlis atau calon lain yang bertanding bagi merebut jawatan pemimpin kedua tertinggi KOM itu.

Pada AGM kali ini, Karim akan dicabar oleh dua lagi calon iaitu Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor (POAS), K. Yogeswaran.

Pada Jun dan Julai lalu, satu jawatankuasa siasatan yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V.C George telah menjalankan siasatan ke atas Karim.

Ia berikutan tindakan sekumpulan jurulatih dan atlet olahraga negara menyerahkan petisyen setebal 23 muka surat yang bertajuk Laporan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Petisyen yang ditandatangani oleh 42 atlet dan 16 jurulatih olahraga negara itu meminta KOM menyingkirkan Karim yang didakwa sebagai dalang utama terhadap segala masalah yang menimpa KOM sebelum ini.

Ia termasuklah isu membabitkan pelari Mohd. Yunus Lasaleh yang gagal dalam ujian anti-doping ketika memenangi pingat emas dalam acara 4x400 meter lelaki dalam temasya Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia pada November tahun lalu.

Sementara itu, Shahidan dan Karim gagal dihubungi

Kosmo! bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

AGM KOM akan diadakan di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil Ahad ini.

Rozaimi tekad julang Selangor

Posted:

Rozaimi tekad julang Selangor

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

ROZAIMI menanam tekad untuk membawa Selangor melangkah ke final Piala Malaysia musim ini.


MAHU menterjemahkan impian ke final menjadi realiti. Itu tekad penyerang pinjaman Selangor, Rozaimi Abdul Rahman yang berazam mahu memastikan impian Gergasi Merah menjejak pentas final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 20 Oktober depan bukan sekadar angan-angan kosong semata-mata.

Menurut Rozaimi, dia enggan menamatkan tanggungjawab sebagai pemain pinjaman Merah Kuning setakat terhenti di peringkat suku akhir.

Justeru, peledak berbisa Sabah itu mahu 'jodoh' bersama Gergasi Merah disulami memori indah muncul juara Piala Malaysia edisi kali ini, bermula ketika menentang Johor FC dalam suku akhir pertama di Stadium Pasir Gudang, Selasa depan.

"Saya percaya dengan kemampuan kami menjejaki pentas final Piala Malaysia kali ini, jadi sudah tentu saya mahu memastikan kehadiran saya bersama Selangor berakhir dengan kejayaan dan bukan setakat di suku akhir.

"Jika mendapat kepercayaan jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim), saya berazam untuk terus menjaringkan gol kerana itu tugas hakiki saya sebagai penyerang," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada masa sama, Rozaimi yang dipinjamkan ke Selangor bersama seorang lagi pemain, S. Veenod dari USM sepanjang kempen kali ini juga optimis mampu beraksi sepenuh masa dan bukan sekadar tampil selaku pemain gantian semata-mata.

"Ketika berdepan Sarawak (aksi terakhir kumpulan), saya diturunkan selama 90 minit, jadi tidak timbul soal saya kurang cergas beraksi sepenuh masa atau tidak.

"Kecederaan hamstring yang membelenggu saya sebelum ini juga sudah pulih, jadi saya harap konsentrasi saya mencetak gol ketika berdepan Johor FC selepas ini tidak lagi terjejas," katanya optimis.

Bidikan Hasli menghasilkan emas

Posted:

Bidikan Hasli menghasilkan emas

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

HASLI menepati ramalan apabila meraih pingat
emas dalam acara kegemarannya.


PENEMBAK kebangsaan, Hasli Izwan Amir Hasan menepati sasaran apabila bidikannya berjaya menyumbang pingat emas pada hari pertama Kejohanan Menembak Kebangsaan 2012.

Beraksi cemerlang dalam acara 25 meter (m) Rapid Fire Pistol Lelaki Individu, Hasli Izwan yang mewakili Perak berjaya menewaskan rakan sepasukan, Hafiz Adzha untuk berada di tempat kedua.

Meskipun meraih emas, Hasli Izwan gagal merobek rekod kebangsaan yang dilakar Hafiz sejak 2010 dengan 585 mata apabila sekadar membidik 576 mata.

Bagi acara 10m Air Rifle Lelaki Individu, kejutan dilakar oleh peserta muda Pulau Pinang, Mohd. Ashraf Izham apabila berjaya menewaskan peserta Kuala Lumpur, Muhammad Zubair Mohammad.

Bersaing sengit sejak pusingan kelayakan yang berlangsung di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, Ashraf berjaya berada di dalam zon selesa sebaik saja pusingan akhir bermula.

"Saya sekadar melakukan yang terbaik dan cuba memberi fokus sepenuhnya ke atas bidikan yang dilakukan," ujar penembak berusia 18 tahun ini yang sebelum itu turut meraih emas dalam acara yang sama dalam kategori junior.

Pernah beraksi di Sukan Malaysia (Sukma), Ashraf yang baru dua tahun berkecimpung secara aktif dalam sukan menembak menyifatkan kejohanan ini amat penting dalam meletakkan namanya sebaris penembak lain.

"Ini adalah kejohanan terakhir saya bagi tahun ini dan bagi tahun depan, saya akan menyertai lebih banyak kejohanan dan cuba menang," katanya yang menyertai kejohanan tersebut buat kali ketiga.

Sementara itu, dalam acara 50m Rifle 3 Posisi Wanita Individu, atlet kebangsaan, Nur Ayuni Farhana Abd. Halim tampil dengan bidikan kurang menyerlah.

Sekadar di tempat kelapan, Nur Ayuni terpaksa tunduk kepada ketepatan bidikan yang dilakukan Muslifah Zulkifli dari pasukan ATM.

Muslifah merangkul emas selepas menang selesa ke atas rakan sepasukan, Shahera Rahim Raja dengan keputusan 677.6 mata berbanding 673.0 mata.

Biarpun tanpa kelibat ratu menembak negara, Nur Suryani Mohd. Taibi, auranya masih terasa apabila rekod terbaiknya, 690.6 mata yang dilakar pada tahun lalu, gagal dipecahkan oleh peserta yang bertanding.

Dalam pada itu, Nur Ayuni berjaya menebus kekecewaan dalam kategori individu dengan meraih perak dalam acara berpasukan.

Bersama gandingan Aina Zahiran dan Nur Afifah Tarmizy, Nur Ayuni berjaya menyumbang perak kepada pasukan Pahang selepas kalah kepada pasukan ATM.

Secara keseluruhan, pasukan ATM berjaya mengutip tiga emas, dua perak dan satu gangsa, mengatasi pasukan Perak dengan dua emas dan satu perak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan