Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Red Warriors hebat!

Posted: 12 Oct 2012 04:26 PM PDT

Anak buah Bojan Hodak hanya selangkah lagi untuk catat kejuaraan trebel

Shah Alam: Klimaks Piala Malaysia musim ini menyaksikan pertembungan dua sang juara - juara Liga Super, Kelantan dan juara Liga Perdana, Tentera apabila kedua-dua mara ke final, 20 Oktober ini.

Di Stadium Shah Alam, malam tadi, pertaruhan angka '3' oleh Kelantan dan Selangor lebih memihak kepada jaguh Pantai Timur itu apabila merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Red Giants.

Walaupun perlawanan yang disajikan jelas seimbang tetapi segala usaha keras The Red Warriors berbalas dan kini hanya memerlukan tempoh 90 minit lagi sebagai detik penentu di pentas final untuk merangkul piala paling berprestij itu.
Selepas Piala FA dan Piala Liga Super berada dalam genggaman, kemenangan malam tadi bermakna peluang Pahlawan Merah untuk mendakap kejuaraan kali kedua Piala Malaysia hampir menjadi realiti.

Bagaimanapun, Selangor yang ketinggalan satu gol ketika tewas 0-1 di Kota Bharu, Jumaat lalu langsung tidak dihiraukan apabila terus melakukan asakan ke kubu lawan dan hasilnya seawal minit pertama, kaptennya, Safiq Rahim terlepas peluang menjaringkan gol selepas sepakan percumanya tersasar.

Permainan bertambah menghiburkan apabila penyerang pelawat, Mohammed Ghaddar melakukan percubaan 12 minit kemudian, tetapi sempat dikuis oleh penjaga gol, Norazlan Razali.

Tonggak tengah The Red Warriors, Indra Putra Mahyuddin juga tidak berupaya mengukuhkan agregat apabila sepakan 'chip' yang dilakukannya pada minit ke-38 sekali lagi dikecewakan oleh Norazlan.
Lima minit selepas itu, Selangor melakukan asakan dan rembatan kencang penyerang importnya, Bosko Balaban dari luar kotak penalti diselamatkan oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Kelincahan Ghaddar cukup menghadirkan kekacauan di benteng tuan rumah apabila berjaya melepaskan diri untuk merobek gawang, tetapi Selangor sekali lagi bernasib baik kerana Norazlan terus mengecewakan Kelantan daripada menambah jaringan.

Sebaik memasuki minit ke-84, The Red Warriors ternyata lebih layak untuk memegang status 'Red' yang sebenar apabila gerakan solo Ghaddar sebelum melakukan 'chip' berjaya melebarkan kedudukan agregat 2-0.

Dia melakukan menjaringkan gol pertama perlawanan hasil gerakan cantik menewaskan tiga pertahanan lawan.

Mohd Badhri Radzi terus menghukum kelekaan lawan apabila sepakan percumanya menerjah gawang sekali gus membawa Kelantan ke final dengan kemenangan agregat 3-0.

‘Tentera mampu cipta sejarah’

Posted: 12 Oct 2012 04:04 PM PDT

Melaka: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa skuad Tentera mampu mencipta sejarah dengan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali, musim ini.

Apa yang penting baginya, skuad kendalian B Sathianathan itu perlu turun dengan semangat berserta iltizam yang tinggi untuk memenangi perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam, 20 Oktober ini.

Tentera meranapkan impian Lions XII mara ke final Piala Malaysia apabila mencatatkan kemenangan 5-4 menerusi sepakan penalti, malam kelmarin.

Dalam bola sepak, tiada yang mustahil

Pada perlawanan pertama di Singapura, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan selepas beraksi 120 minit, aksi timbal balik turut menyaksikan keputusan sama untuk agregat terikat 2-2 sekali gus pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

"Saya tidak mempunyai sebarang keraguan langsung terhadap semangat serta iltizam setiap pemain pasukan ini untuk menjuarai Piala Malaysia.
"Jadi, Sabtu depan mereka akan 'all-out' untuk mencipta sejarah," kata Zulkifeli selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Kursus Pegawai Ikhtisas Kor Kesihatan Diraja di Kem Terendak, Sungai Udang, semalam.

Zulkifeli yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak ATM berkata, pasukan itu sudah mencipta sejarah dengan menjuarai Liga Perdana buat pertama kali pada musim ini sekali gus layak ke saingan Liga Super 2013.

"Kita juga mengulangi sejarah apabila layak ke final kali ketiga selepas melakukannya pada 1949 dan 1966.

"Bagi saya, dalam bola sepak, tiada yang mustahil dan apa yang pemain Tentera akan lakukan ialah turun dengan semangat juang tinggi serta beraksi habis-habisan untuk mencapai kemenangan," katanya.

Ditanya mengenai ganjaran jika Tentera menjuarai Piala Malaysia, Zulkifeli berkata: "Melalui pengamatan saya, soal ganjaran itu menjadi perkara kedua kerana pemain mempunyai keazaman tinggi untuk membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama ke pangkuan ATM."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan