Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Tak cuak lagi?

Posted: 27 Nov 2012 08:00 AM PST

KETIKA pemain pasukan lain fokus dalam persiapan menghadapi perlawanan kedua Piala AFF, pemain Harimau Malaya pula sibuk menguruskan isu perpindahan dengan kelab baru.

Itulah realiti yang berlaku dalam kancah bola sepak negara ini apabila ada pihak yang seakan tidak sensitif perihal mana satu keutamaan yang perlu diberikan.


Pagi semalam berlangsungnya prosiding isu perpindahan penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha dan majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) oleh Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di ibu pejabat badan induk bola sepak tanah air di Kelana Jaya.

Yang menjadi persoalannya, adakah wajar prosiding itu diadakan sehari sebelum perlawanan penting skuad kebangsaan menentang Laos hari ini ataupun perlu ditangguhkan terlebih dulu bagi memberi fokus sepenuhnya pada kejohanan Piala AFF? Walaupun kehadiran Norshahrul itu mendapat pelepasan Datuk K Rajagobal, namun ketua jurulatih kebangsaan itu tidak menafikan fokus seharusnya diberikan kepada aksi kedua Kumpulan B menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.


"Betul kata anda (wartawan), fokus pasukan Malaysia kepada perlawanan menentang Laos lebih penting," katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media semalam.


"Dia (Norshahrul) perlu menyelesaikan perkara itu pagi ini (semalam), tapi saya sudah bercakap dengannya bahawa fokus utamanya tidak boleh lari. Saya rasa ia tidak menjadi masalah kerana kita sudah lihat sendiri ketika bertemu Singapura pada perlawanan pertama, dia mempamerkan aksi mengagumkan.

"Saya akan berjumpa dengannya sekali lagi, tapi perkara ini saya pasti tidak akan mengganggu fokusnya. Saya tidak mahu terlalu mengawalnya kerana dia perlu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin, tapi ini juga tidak bermaksud saya tidak menjaga pemain saya," katanya.


Hasil prosiding itu menyaksikan Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo bebas daripada ikatan kontrak bersama Kelantan dan dibenarkan beraksi dengan pasukan lain musim depan.

Ketika nasibnya untuk berhijrah ke Johor semakin cerah, peluangnya untuk diturunkan menentang Laos pula masih samar kerana dia dilaporkan mengalami masalah jangkitan di bahagian telinga yang menyebabkannya hilang keseimbangan badan, muntah-muntah dan pening kepala.


Itu pastinya mengundang keresahan Rajagobal yang mengharapkan sentuhan Norshahrul yang beraksi baik biarpun Malaysia tewas 0-3 di tangan Singapura pada perlawanan pertama, Ahad lalu.


"Dia memang mengalami masalah kesihatan, namun ia bukanlah benda baru kerana perkara ini berlaku sejak dua minggu lalu. Apa pun saya akan bertanyakan kepada doktor mengenai tahap kesihatannya malam ini (tadi), saya harap dia tidak diketepikan daripada skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini," katanya.


Mengulas mengenai aksi menentang skuad kendalian Kokichi Kimura hari ini, Rajagobal mengulas mereka tiada pilihan lain selain memungut tiga mata penuh sebelum membuat perhitungan dengan Indonesia, Sabtu ini untuk menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan.


"Saya lihat Laos memiliki semangat melawan, kesungguhan dan bagus dalam membuat serangan balas pantas. Tapi saya yakin dengan kemampuan pemain saya dan kami perlu meraih tiga mata daripada perlawanan ini.


"Sememangnya saya akan membuat pertukaran pemain, anda hanya perlu tunggu dan lihat esok (hari ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



Napoli bangkit

Posted: 27 Nov 2012 07:57 AM PST

ROME: Napoli melonjak ke tangga kedua Serie A hasil kemenangan 1-0 ke atas pasukan di tangga tercorot Cagliari manakala pencabar kejuaraan Inter Milan mengalami kekalahan 0-1 kepada Parma semalam.

Napoli ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Juventus, terpaksa mengharapkan gol pada babak kedua menerusi Marek Hamsik (gambar) dan memintas Inter yang dikecewakan menerusi gol Nicola Sansone di penghujung permainan.


Juventus yang kalah 0-1 kepada AC Milan, kelmarin, mengumpul 32 mata daripada 14 perlawanan, Napoli pula 30 mata mendahului Fiorentina dan Inter pula dengan 28 mata.

Napoli tanpa penyerang Edinson Cavani yang digantung perlawanan dan Goran Pandev yang masih cedera, terpaksa bekerja keras untuk menumpaskan Cagliari dengan jaringan Hamsik pada minit ke-73 sudah cukup untuk mereka meraih tiga mata.


Cagliari dinafikan sepakan penalti selepas Alessandro Gamberini menjatuhkan pemain tengah Daniele Conti, yang kemudian menyambut bola sepakan sudut Thiago Ribeiro yang terkena tiang sebelum rehat.


Napoli lebih banyak bertahan pada babak kedua namun berjaya menembusi gawang lawan apabila Juan Zuniga melakukan larian ke dalam kotak penalti minit ke-72 dan mengumpan bola kepada Hamsik yang melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Michael Agazzi.

Gol itu mencetuskan rasa tidak puas hati Cagliari yang mendakwa pemain Slovakia itu dalam kedudukan ofsaid.


"Ia perlawanan yang sukar, tapi kami beraksi dengan baik," kata jurulatih Napoli, Walter Mazzarri kepada Sky Italia. "Kami bergelut seketika pada babak kedua tapi saya harus memuji persembahan pemain." Ketika ditanya mengenai peluang pasukannya memenangi Serie A, beliau berkata: "Saya langsung tidak memikirkan soal kejuaraan. Kita akan lihat di mana kita berada di penghujung musim."- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan