Kosmo Online - Sukan |
Misi Malaysia masih belum selesai Posted: Misi Malaysia masih belum selesaiOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE dan AHMAD FAZLI MOHD.YADI
MISI skuad Harimau Malaya masih belum selesai biarpun slot ke separuh akhir kembali terbuka sebaik anak-anak buah Datuk K. Rajagobal membelasah Laos 4-1 dalam aksi Kumpulan B kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Sedar atau tidak, kepantasan jentera serangan Laos yang diterajui Keoviengpheth Lithideth, Soukaphone Vongchiengkham dan Khampheng Sayavutthi ketika melakukan serangan kilat malam tadi juga sering kali 'melemaskan' benteng pertahanan negara yang diterajui Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohamad Fadhli Shas. Jika aksi kurang meyakinkan itu ditunjukkan Harimau Malaya ketika berdepan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sabtu ini, tidak mustahil 'malapetaka' bakal menanti mereka. Ini kerana Sang Garuda dilihat memiliki pemain yang jauh lebih pantas seperti Andik Vermansyah dan Oktavianos Maniani seperti mana yang dibuktikan mereka ketika mengejutkan Singapura 1-0 dalam satu lagi aksi kumpulan semalam. Analisisnya mudah. Harimau Malaya dilihat mudah kehilangan fokus apabila terlalu ghairah menyerang selain mempamerkan persembahan yang 'tidak masuk akal' apabila gagal memecah kebuntuan mahupun ketinggalan. Pada masa sama, ketumpulan penggempur yang diterajui Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha pada babak pertama juga cukup meresahkan biarpun pertahanan Laos dilihat tidak sehebat mana sebenarnya. Pada aksi malam tadi, Rajagobal akhirnya 'mendengar kata' para pengkritiknya apabila melakukan sedikit rombakan termasuk mengetepikan bakal 'Raja Sehari', Khairul Fahmi Che Mat yang digantikan Farizal Marlias selaku penjaga gol manakala Mahalli Jasuli, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd. Shakir Shaari juga tersenarai dalam kesebelasan utama. Percaturan itu pada mulanya dilihat berhasil apabila Harimau Malaya berjaya mempamerkan gerakan yang jauh lebih tersusun berbanding semasa 'dikerjakan' Singapura 0-3 dalam aksi pembuka tirai kumpulan Ahad lalu. Harimau Malaya terlebih dulu di depan menerusi sepakan percuma kapten, Safiq Rahim yang berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Laos, Sengpachan Bounthisanh pada minit ke-15. Namun, 'penyakit lama' Harimau Malaya kembali berulang apabila kesilapan Safiq melakukan hantaran lemah berjaya disambar Khampheng yang kemudiannya melorongkan bola kepada Khonesavanh Sysomvang sebelum rembatan pemain itu terkena kaki Aidil dan melepasi jangkauan Farizal untuk jaringan penyamaan Laos pada minit ke-38. Mujurlah keadaan berjaya dikawal semula oleh anak-anak buah Rajagobal sebaik babak kedua bersambung apabila Safee yang sebelum itu dicemuh 20,000 penyokong tempatan, tenang menyempurnakan hantaran Wan Zack pada minit ke-66 untuk gol kedua Harimau Malaya. Gol itu ternyata menyuntik kembali semangat Harimau Malaya yang memperoleh gol ketiga menerusi Wan Zack pada minit ke-75 sebelum pemain gantian, Khyril Muhymeen Zambri melengkapkan derita Laos menerusi gol keempat empat minit kemudian. Dengan keputusan itu, Malaysia kini berada di tempat ketiga kumpulan apabila berkongsi tiga mata dengan Singapura, namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan. Tatkala Singapura dilihat tidak berdepan masalah membenam cabaran Laos pada aksi terakhir kumpulan Sabtu ini, Malaysia sewajarnya sedar hanya kemenangan ke atas Indonesia sahaja yang mampu memastikan peluang mara ke separuh akhir sebelum boleh 'berkira-kira' sama ada mampu mempertahankan kejuaraan ataupun tidak kali ini. | |
Thailand pamer rentak sang juara Posted: Thailand pamer rentak sang juaraTEERASIL (kiri) dicabar pemain pertahanan Myanmar, Zaw Min Tun pada aksi Kumpulan A Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Rajamangala, Bangkok malam kelmarin. Thailand menang 4-0. BANGKOK - Juara tiga kali, Thailand melaungkan amaran awal kepada barisan pencabar mereka apabila muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 selepas membelasah Myanmar 4-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Rajamangala, Bangkok malam kelmarin. Kali terakhir muncul juara Piala Suzuki AFF sedekad yang lalu, anak-anak buah Winfried Schafer kini menerajui kumpulan dengan enam mata setelah menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi pembuka tirai, Sabtu lalu. Jika aksi yang dipamerkan Thailand semasa membenam Myanmar malam kelmarin dijadikan ukuran, mana-mana pasukan daripada Kumpulan B, terutamanya juara bertahan, Malaysia yang kini masih bergelut ke separuh akhir, harus lebih berwaspada. "Saya benar-benar berpuas hati dengan corak persembahan pasukan saya (malam kelmarin). "Pemain mempamerkan kekuatan mental yang tinggi serta bersemangat untuk memenangi perlawanan. "Sejujurnya, ia satu kemenangan yang cukup sempurna," kata Schafer. Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Thailand berjaya memecah kebuntuan seawal minit ke-20 menerusi jaringan cantik Teerasil Dangda. Thailand bertambah garang selepas itu, namun percubaan Jakkapan Pornsai dan Teerasil gagal menemui sasaran. Sebaik babak kedua bersambung, gol kedua tuan rumah akhirnya terjelma pada minit ke-59 menerusi tandukan Apipoo Suntornpanavej sebelum Teerasil melengkapkan mimpi ngeri Myanmar apabila meledak hatrik menerusi dua lagi gol pada minit ke-82 dan 89. Kehebatan Teerasil juga mengundang pujian Schafer yang menyifatkan penyerang Muang Thong United itu antara pemain terbaik di rantau Asia. "Teerasil merupakan pemain yang hebat. Dia bijak menyempurnakan peluang dan sentuhan penyudahnya juga berkesan. "Semua orang menyukainya di sini dan saya juga tidak terkecuali," kata Schafer. Dalam aksi terakhir Kumpulan A malam esok, Thailand bakal berdepan Veitnam di Stadium Rajamangala manakala Filipina pula wajib menewaskan Myanmar di Stadium Supachalasai jika mahu mengesahkan slot ke separuh akhir. Kedua-dua perlawanan berlangsung serentak pukul 9.20 malam waktu Malaysia. | |
Posted: Peluang kembali terbukaTONGGAK Filipina, Jason Dantes de Jong (kiri) mengasak pemain Vietnam, Pham Thanh Luong dalam aksi Kumpulan A Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Rajamangala, Bangkok kelmarin. BANGKOK - Filipina menghidupkan semula peluang ke separuh akhir kempen Piala Suzuki AFF 2012 apabila menang tipis 1-0 ke atas Vietnam dalam aksi Kumpulan A di Stadium Rajamangala, Bangkok kelmarin. Selepas dikecewakan tuan rumah, Thailand dengan keputusan 1-2 dalam aksi pembuka tirai Sabtu lalu, anak- anak buah Hans Michael Weiss begitupun terpaksa menunggu sehingga minit ke-86 sebelum mengutip tiga mata berharga. Gol tunggal pemain gantian The Azkals, Emelio Asada Caligdong menjadi pemisah kedua-dua pasukan pada perlawanan penuh dramatik itu. Keputusan itu pastinya mengecewakan Vietnam selaku semi finalis 2010 apabila turut seri 1-1 dengan Myanmar dalam aksi pembuka tirai sebelum ini. Keputusan itu juga jelas sekali melegakan jurulatih Filipina, Michael Weiss yang turut mengatasi Vietnam di peringkat kumpulan pada edisi dua tahun lalu. Weiss memberitahu, persembahan bertenaga pemain gantian dalam perlawanan itu merupakan kunci utama kejayaan The Azkals. "Keputusan ini cukup berbaloi memandangkan kedua-dua pasukan beraksi dengan cukup hebat. "Vietnam memang terkenal dengan pasukan yang mengamalkan larian pantas dan mampu menghukum kami jika terleka walau sesaat sekali pun. "Sejujurnya saya gembira strategi membawa masuk beberapa pemain gantian tampak menjadi apabila serangan pantas kami berjaya memecahkan kebuntuan. "Angel Guirado, Emelio Caligdong dan Denis Wolf berjaya mengubah perlawanan tetapi kekebalan benteng pertahanan kami juga wajar dipuji. "Masih ada satu lagi cabaran getir menanti kami iaitu menentang Myanmar selepas ini (malam esok), dan saya harap kami mampu melangkah ke separuh akhir," kata Weiss. Begitupun, Weiss terpaksa menyaksikan perlawanan itu dari tempat duduk penonton selepas diarahkan meninggalkan padang pada penghujung perlawanan ketika berdepan Thailand, Sabtu lalu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan