Kosmo Online - Sukan |
Van Persie tambah derita Arsenal Posted: Van Persie tambah derita Arsenal
LONDON - Robin van Persie meledakkan satu gol untuk membantu Manchester United menewaskan Arsenal 2-1 pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford malam tadi. Penyerang antarabangsa Belanda itu mengambil masa tiga minit untuk meletakkan United di depan sebelum Patrice Evra menambah gol kedua pada minit ke-67. Gol sagu hati skuad The Gunners hadir menerusi pemain tengah, Santi Cazorla pada masa kecederaan. Van Persie, 29, yang menentang Arsenal buat pertama kalinya sejak melengkapkan perpindahan bernilai £24 juta (RM118 juta) ke United, Ogos lalu tidak mempersia-siakan peluang yang terhidang. Dia menyumbat masuk gol pendahuluan United selepas pemain pertahanan Arsenal, Thomas Vermaelen gagal menghalang hantaran lintang Rafael. Jaringan van Persie itu adalah yang ke-10 sepanjang 13 penampilan. "Satu hari yang istimewa. Ini adalah satu perlawanan yang pantas," kata van Persie yang tidak meraikan kejayaannya menjaringkan gol itu. "Saya bertanya kepada diri sendiri kenapa saya tidak meraikan kejayaan itu? "Saya bermain selama lapan tahun bersama Arsenal dan ia adalah detik yang terindah. Saya perlu menghormati para penyokong, pengurus dan kelab." United hampir menggandakan jaringan tetapi sepakan penalti penyerang England, Wayne Rooney gagal menewaskan penjaga gol Arsenal, Vito Mannone. Kemenangan itu turut membolehkan skuad The Reds merampas kedudukan teratas liga daripada Chelsea selepas mengumpul 24 mata, sembilan mata di depan Arsenal yang menghuni tangga keenam. Arsenal yang mencatat kekalahan ketiga daripada lima perlawanan terakhir terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah, Jack Wilshere diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-69. Wilshere yang membuat penampilan kedua selepas berehat panjang kerana mengalami kecederaan, dilayangkan kad merah setelah mengasari Evra. - Agensi | |
Troli supermarket' tak tahan lama Posted: Troli supermarket' tak tahan lamaOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikata- kan betapa Johor akan kembali tampil sebagai kuasa dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Keseriusan skuad Harimau Selatan itu membentuk barisan terbaik bagi menghadapi kancah Liga M musim depan jelas tergambar apabila mereka berjaya mendapatkan beberapa tonggak skuad kebangsaan. Tonggak terbabit ialah perancang Selangor, Safiq Rahim, trio Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Azmi Muslim dan pasangan kembar, Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd. Zaquan Abdul Radzak serta pemain pertahanan Terengganu, Mohd. Muslim Ahmad. Lebih sensasi apabila skuad kendalian Fandi Ahmad itu telah berjaya menyunting khidmat bekas pemain skuad kebangsaan Sepanyol, Daniel Guiza daripada kelab Getafe. Usaha Johor bagi membentuk skuad paling ampuh tidak berhenti di situ sahaja apabila mereka masih memburu sentuhan penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha. Meskipun rundingan untuk mendapatkan Norshahrul atau Mat Yo masih belum menemui titik noktah, bayangan skuad kesebelasan Johor sudah cukup untuk menggerunkan pasukan lawan. Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) mempunyai pandangan beliau sendiri mengenai 'formula' yang digunakan Johor ketika ini. "Kita lihat ada beberapa (pasukan) negeri yang mahu kemenangan cepat dengan menggunakan kaedah 'troli supermarket' apabila jendela perpindahan pemain dibuka. "Pada pendapat saya, ia (kae- dah 'troli supermarket') tidak akan bertahan lama tetapi dalam tempoh jangka pendek, mungkin ia bagus. "Bagi saya, mungkin Johor mahu memberikan suntikan baharu kepada penyokong negeri itu," kata Ahmad Shabery semalam. Ahmad Shabery turut menyeru agar kesemua persatuan negeri (FA) atau kelab tidak terlepas pandang dengan menubuhkan program-program bola sepak dalam usaha mencungkil bakat-bakat baharu. Jelasnya, semua pihak harus memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam usaha untuk meningkatkan taraf bola sepak kepada penjenamaan yang lebih berkualiti. "Sekarang, terlalu banyak persatuan bergantung kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang melahirkan pemain pada peringkat pusat. "Justeru, saya berharap negeri-negeri perlu ada satu modul bagi membangunkan pemain-pemain mereka dalam tempoh jangka masa panjang. "FA perlu merancang pembangunan penjenamaan tersendiri sebagaimana yang dilakukan oleh Kelantan (Persatuan Bola Sepak Kelantan) pada masa kini," kata Ahmad Shabery. | |
Fauzan tampil henjutan bertenaga Posted: Fauzan tampil henjutan bertenaga
PELUMBA handalan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Fauzan Ahmad Lufti muncul juara acara ujian masa individu (ITT) elit lelaki pada Kejohanan Grand Prix Kebangsaan Sirkit Perak (GP Perak) di Mutiara Armada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak semalam. Fauzan mengetepikan tiga lagi pelumba berpengalaman - Ng Yong Li, Nik Mohd. Azwan Zulkiflie dan Mohd. Nor Rizuan Zainal - untuk muncul juara pada perlumbaan sejauh 40 kilometer (km) itu dengan catatan masa 48 minit 44.801 saat. Fauzan yang dianggap salah seorang pelumba harapan untuk mengibar cabaran skuad lebuh raya Malaysia pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, India, meninggalkan pesaing terdekatnya, Nik Mohd. Azwan dengan perbezaan masa 1:05s. Yong Li yang mewakili Kuala Lumpur, melengkapkan senarai kemenangan podium apabila menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 50:23.607s. Namun, agak mengejutkan apabila buat kali pertama semalam tiada tonggak Terengganu Cycling Team (TSG) berjaya menduduki podium apabila pencapaian terbaik hanya mampu dijelmakan oleh Muhammad Shobry Abdullah yang menduduki tempat ketujuh dengan masa 51:24.016s manakala Mohammad Saufi Mat Senan di tempat ke-12. Kemenangan Fauzan jelas melegakan ketua jurulatih skuad lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman yang menyifatkan pelumba itu berpeluang besar untuk meraih pingat menerusi acara ITT pada Sukan SEA 2013 di Myanmar. "Prestasi yang ditunjukkan Fauzan agak konsisten sepanjang tahun ini. Saya akan terus merangka program khas bagi membolehkan Fauzan mencapai tahap kemuncak di Myanmar nanti. "Saya gembira dengan prestasinya dan beberapa pelumba kebangsaan yang lain," kata Aminuddin semalam. Acara ITT elit wanita sejauh 20km pula menyaksikan berlaku kejutan apabila pendatang baharu, Nurul Suhada Zainal yang mewakili pasukan kebangsaan muncul juara dengan catatan masa 29:43.8s. Dia berjaya menewaskan pelumba berpengalaman, Mariana Mohamad dari Selangor. Paling menarik, kemenangan tersebut menyaksikan Nurul Suhada kini merampas kedudukan keseluruhan apabila mengumpul 46 mata selepas mengharungi empat sirkit GP Kebangsaan daripada seorang lagi pelumba berpengalaman dari Kedah, Masziyaton Mohd. Radzi yang sekadar menduduki tempat ketujuh semalam. "Saya sama sekali tidak menyangka akan menang hari ini (semalam). Catatan itu (29:43.8s) adalah masa terbaik saya pada jarak 20km. Sebelum ini, saya tidak boleh mencapai masa sebegitu pantas. "Untuk menang, saya fikir agak sukar kerana ada beberapa pelumba berpengalaman seperti Mariana dan Masziyaton. "Saya agak terperanjat dengan kemenangan hari ini (semalam). Kini sasaran saya untuk mengekalkan kedudukan di Melaka (Grand Finale GP Kebangsaan) bulan depan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan