SKUAD Harimau Malaya mampu mengatasi halangan Thailand dalam misi memburu tiket ke final Piala AFF namun tidak boleh terlalu ghairah khususnya pada aksi pertama separuh akhir di gelanggang sendiri Ahad ini.
Itu pendapat disuarakan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee hasil pengamatannya terhadap kekuatan Thailand yang merekod tiga kemenangan bersih dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Beliau yang berada di Bangkok untuk menyaksikan dua perlawanan awal Thailand dalam saingan Kumpulan A berkata, skuad kendalian Winfried Schafer itu nyata berbeza berbanding ketika mereka terkandas di peringkat awal dua tahun lalu.
"Saya sempat menyaksikan dua perlawanan Thailand menentang Filipina dan Myanmar. Apa yang saya dapat lihat Thailand kali ini jauh berbeza. Mereka pasukan pilihan tapi itu tidak bermakna kita tak boleh melakukan kejutan.
"Apa yang penting skuad kebangsaan perlu menggunakan kesempatan bermain di gelanggang sendiri pada pertemuan pertama, namun kita tidak boleh terlalu ghairah. Thailand bukan seperti Laos atau Indonesia, kalau tidak berhati-hati, apa yang terjadi ketika menentang Singapura tempoh hari boleh berulang kembali.
"Pemain perlu bersabar dan tidak cepat hilang penguasaan bola," katanya kepada Arena Metro semalam.
Skuad juara bertahan kendalian Datuk K Rajagobal beraksi buruk pada perlawanan pertama Kumpulan B dengan melakukan banyak kesilapan sehingga membenarkan Singapura memperoleh gol mudah untuk menang 3-0.
Namun Harimau Malaya bangkit dengan merakam kemenangan 4-1 ke atas Laos dan mengesahkan tiket ke separuh akhir dengan menewaskan Indonesia 2-0.
Berbeza pula dengan juara tiga kali Thailand yang tampak sukar digugat apabila mencatat tiga kemenangan ke atas Filipina 2-1, Myanmar 4-0 dan Vietnam 3-0 untuk muncul juara kumpulan.
Kim Swee yang membimbing skuad bawah 23 tahun negara mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Jakarta tahun lalu berkata, pemain negara perlu berusaha keras untuk menyekat penguasaan Thailand di bahagian tengah yang diketuai pemain perancang, Datsakorn Thonglao.
"Thailand memiliki pemain sayap kanan dan kiri yang bagus iaitu Theerathon Bunmathan dan Nataporn Phanrit. Datsakorn pula memiliki kepakaran dalam membuat umpanan ke dalam kotak penalti yang cukup merbahaya untuk memberi ruang kepada penyerang berbisa mereka Teerasil Dangda menjaringkan gol.
"Thailand jarang melakukan hantaran jauh kecuali ketika mahu menyerang," katanya.
Bagaimanapun Kim Swee yakin Rajagobal mampu merencana strategi terbaik untuk mengekang skuad Changsuk itu untuk mara ke final.
"Keyakinan pemain bertambah baik dan permainan mereka terus meningkat selepas mencatat kemenangan pada dua perlawanan terakhir. Tiada sebab untuk pasukan negara gagal mengulangi kejayaan dua tahun lalu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03
0 ulasan:
Catat Ulasan