Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Misi 'hidup mati' ke Belanda

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

PEMAIN-pemain hoki kebangsaan mengambil kesempatan meredakan ketegangan dengan menjalani terapi dalam kolam renang sebuah hotel di Johor Bahru, semalam sebagai persediaan berdepan Jerman dalam aksi suku akhir pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia hari ini. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Skuad kebangsaan hari ini akan menentang Jerman dalam aksi suku akhir, atau lebih diibaratkan 'hidup mati' untuk mencari tempat ke Piala Dunia di Belanda tahun depan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, tetapi jika kita mampu menundukkan Jerman, maka peluang skuad bimbingan Paul Revington untuk merebut satu slot daripada tiga yang ditawarkan pada kejohanan ini terjamin kerana dapat melangkah ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Dunia pada 2002 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun, jika gagal, pintu belum tertutup rapat, sebaliknya Malaysia tiada pilihan melainkan perlu menjuarai Piala Asia 2013 yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada Ogos ini.

Itu sahaja pilihan yang ada bagi menamatkan kemarau 11 tahun tanpa aksi di Piala Dunia.

Mencari kemenangan ke atas pasukan No. 1 dunia seperti Jerman sudah tentu bukan tugas mudah buat ketua jurulatih, Paul Revington kerana memerlukan satu percaturan yang sempurna selain komitmen penuh daripada semua pemain.

Malah, perlawanan hari ini dijangka berlangsung sengit kerana semua pemain Malaysia sepatutnya tidak memberi laluan mudah kepada Jerman.

Dalam pada itu, penolong jurulatih, Arul Selvaraj memberitahu, hanya keinginan tinggi dalam kalangan pemain untuk beraksi pada Piala Dunia 2014 sahaja mampu menjadi kunci meraih kemenangan ke atas Jerman.

"Jika pemain mempunyai keinginan tersebut sudah tentu mereka akan melakukan yang terbaik ketika menentang pasukan No. 1 dunia.

"Sewaktu berhadapan Jerman nanti pemain perlu menganggap lawan kita adalah pasukan biasa sahaja.

"Dalam masa sama juga pemain perlu percaya dengan taktikal yang bakal diarahkan oleh jurulatih. Saya juga percaya kelebihan beraksi di laman sendiri mampu membantu pasukan untuk menundukkan Jerman," kata Arul.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu Malaysia masih lagi belum berupaya memperoleh kemenangan ketika menentang Jerman.

Jerman yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 juga pasti tidak mahu membiarkan Malaysia yang ketika ini menghuni ranking ke-13 dunia mengaibkan mereka tambahan pula juara Piala Dunia dua kali itu memiliki kelebihan tersendiri.

Penyertaan Jerman pada kejohanan yang telah berlangsung sejak Sabtu lalu itu adalah dengan misi meraih kejuaraan dan keinginan mereka untuk mencapai matlamat tersebut dapat dilihat dengan barisan pemain yang dimiliki.

Ketika ini skuad Jerman memiliki dua pemain terbaik dunia iaitu pemenang Anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2012, Moritz Furste dan Pemain Remaja Terbaik FIH 2012, Florian Fuchs.

Bagaimanapun, kekuatan yang dimiliki skuad kebangsaan ketika berada di bawah bimbingan Revington tidak boleh dipandang rendah kerana banyak perubahan positif dapat dilihat selepas gagal ke Sukan Olimpik London tahun lalu.

Hari ini perlawanan suku akhir lain yang turut menjadi perhatian adalah perlawanan melibatkan gergasi Asia, Pakistan menentang pasukan kedua terbaik Asia, Korea Selatan.

Tempat kedua, Selangor, Johor DT sengit

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Pemain T-Team, Damir Ibric Yuksel (tengah) diasak pemain Selangor, Adam David Griffith dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu. Selangor menewaskan T-Team 4-1. - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi

KUALA LUMPUR - Trofi Liga Super sudah terlepas daripada genggaman Selangor, namun tiket bagi beraksi di Piala AFC buat tahun kedua berturut-turut mungkin masih mampu menjadi penawar Red Giants.

Menambahkan lagi klimaks bagi merebut tempat kedua dalam saingan liga, mereka bakal bertemu Johor Darul Takzim (Johor DT) yang kini muncul sebagai pencabar tunggal Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.

Tekanan mungkin akan memihak kepada Johor DT yang memerlukan kemenangan ekoran perbezaan jaringan yang lebih memihak kepada Selangor tetapi jurulatih Selangor, Irfan Bakti mengakui para pemainnya sudah bersedia menahan gelora 'Luaskan Kuasamu' dan yakin mampu mencipta kejutan di hadapan penyokong setia tuan rumah.

"Secara kebetulan pula terjumpa mereka (Johor DT) pada perlawanan terakhir dan pertembungan ini pasti klasik kerana tempat kedua menjadi perebutan antara kedua-dua pasukan dengan tiket Piala AFC sebagai ganjaran.

"Walaupun di atas kertas keputusan seri sudah mencukupi buat kami tetapi Selangor tetap mahukan kemenangan pada aksi terakhir di Liga Super menentang Johor DT dan kami bersedia memberikan tekanan.

"Biarpun sedar sedikit sukar beraksi di tempat lawan, saya melemparkan keyakinan dengan kemampuan para pemain saya untuk melakar kemenangan tambahan kami berada di prestasi terbaik pada masa sekarang," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pun begitu, Irfan tetap tidak mahu memperlekehkan cabaran Johor DT tambahan sedar lawan bagaikan harimau terluka ekoran gagal meraih kejuaraan dalam saingan Piala FA dan sudah tentu menjadikan kedudukan sebagai naib juara Liga Super sebagai peluang menebus maruah mereka.

"Sudah tentu Johor DT mahu kembali bangkit setelah kecewa dalam Piala FA dan mahukan sekurang-kurangnya tiket bermain di Piala AFC dengan menewaskan kami.

"Namun sudah tentu kami tidak akan berikan laluan mudah dan bersedia apa sahaja kerana kami tidak rela dipintas oleh Johor DT pada saingan terakhir liga," katanya.

Dalam kedudukan liga, Selangor dan Johor DT terikat dengan 39 mata selepas 21 perlawanan tetapi Red Giants unggul dengan perbezaan 14 jaringan berbanding Harimau Selatan yang sekadar meraih enam jaringan.

Red Giants jelas berada dalam momentum terbaik tambahan memenangi empat perlawanan terakhir liga berturut-turut sekali gus melonjakkan kedudukan mereka di tangga kedua liga setelah berada di tempat keempat sekian lama selain turut dibantu aksi tidak konsisten Johor DT dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kemenangan besar 4-1 ke atas T-Team pada Selasa lalu di Stadium Shah Alam jelas menunjukkan Red Giants semakin sukar digugat dengan aksi Mohd. Amri Yahyah bertambah meningkat dengan dua jaringan disumbangkan oleh pemain veteran ini pada minit ke-11 dan 69 sementara Mohd. Nasriq Baharom dan Francis Forkey Doe masing-masing menjaringkan satu gol (minit ke-72 dan 83).

"Pemain saya paling puji buat masa sekarang sudah tentu Amri Yahyah, dia menunjukkan satu persembahan yang cemerlang malahan salah satu jaringannya dengan T-Team cukup menarik.

"Dia sebenarnya berpeluang merakamkan hatrik, namun mungkin bukan rezekinya, aksi Nasriq juga semakin baik dan turut mendapatkan satu gol," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Lisicki garang ke separuh akhir Wimbledon

Posted: 02 Jul 2013 10:11 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Lions XII juara Liga Super

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Ketua pasukan Lions XII, Shahril Ishak mencium trofi Liga Super sambil diraikan rakan sepasukan setelah mengalahkan Felda United 4-0 pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi. Lions XII dinobatkan selaku juara lebih awal walaupun saingan musim ini masih berbaki satu perlawanan. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

SINGAPURA - Trofi Liga Super akhirnya buat pertama kali menyeberangi Tambak Johor apabila sah menjadi milik Lions XII selepas mudah membaham Felda United 4-0 di laman sendiri di Stadium Jalan Besar di sini, semalam.

Kejayaan berharga pasukan negara republik itu turut disaksikan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin yang turut menyampaikan trofi kejuaraan kepada Lions XII.

Meskipun saingan musim ini berbaki satu perlawanan, namun kelebihan empat mata yang dibawa sudah cukup untuk menjamin kejayaan Lions XII mengutip selepas mengutip 43 mata, meninggalkan dua pencabar terdekatnya, Selangor dan Johor Darul Takzim.

Kali terakhir pasukan dari Singapura memenangi kejuaraan liga adalah pada tahun 1994 ketika dikenali sebagai Liga Perdana sebelum mereka menarik diri pada tahun berikutnya dan kembali menyertai saingan Liga Malaysia pada tahun lalu.

Kemenangan bersejarah Lions XII ternyata memberi tamparan hebat kepada pasukan-pasukan tempatan lain ekoran gagal menghalang sebuah skuad yang dibarisi rata-rata pemain berusia Bawah 23 tahun.

Pengendalinya, V. Sundramoorthy menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Super 2013 itu sangat bermakna selain menyifatkan saingan musim ini sangat mencabar selain teruja dengan hasil yang diperolehi di penghujung saingan.

"Saingan musim ini sangat mencabar, tambahan pula kita mempertaruhkan banyak pemain bawah 23 tahun dan mereka berjaya melaksanakan tugasan mereka dengan baik dan seterusnya bergelar juara.

"Kehadiran Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada malam ini turut memberikan mereka semangat dan motivasi yang tinggi buat para pemain dan mereka sudah membuktikan kemampuan mereka," katanya yang ditemui selepas perlawanan, semalam.

Tuan rumah hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-15, namun jaringan itu dibatalkan apabila percubaan Hariss Harun ditanduk Fazrul Nawaz yang jelas berada dalam keadaan ofsaid.

Mereka sekali lagi hampir memecah kebuntuan apabila Shahril Ishak membuat satu lorongan cantik ke dalam kotak penalti pasukan pelawat namun gagal disudahkan Nazrul Nazari apabila penjaga gol Felda, Rozaimie Rohim berjaya menghalang gerakannya.

Detik kegembiraan tuan rumah hadir seminit sejurus babak kedua bermula apabila pemain Felda United, Mohd. Azrul Azmi tertanduk masuk percubaan sepakan percuma yang diambil Shahril ke dalam gawang sendiri.

Kedudukan Lions XII semakin selesa pada minit ke-57 apabila Shahril mudah menolak masuk hantaran Faris Ramli sebelum Fazrul Nawaz menambah penderitaan Felda United empat minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 3-0 apabila mudah menewaskan Rozaimie.

Tidak cukup dengan itu, tuan rumah memastikan kejayaan mereka menjuarai Liga Super dengan penuh bergaya apabila pemain gantian, Shafiq Ghani turut meletakkan nama selaku penjaring apabila menolak masuk gol keempat tuan rumah hasil hantaran Shahril yang layak dianggap sebagai pemain terbaik Lions XII pada musim ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Lions XII hampiri kejuaraan

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Apakah hari ini gelaran Liga Super 2013 akan menjadi milik Lions XII yang melayan kunjungan pasukan kedua tercorot Felda United di Stadium Jalan Besar, Singapura?

Andai Lions XII menang dalam perlawanan kedua terakhir liga hari ini, bermakna Selangor dan Johor Darul Takzim (Johor DT) boleh mengucapkan selamat tinggal kepada trofi Liga Super.

Melainkan Felda mampu mencipta keajaiban di Jalan Besar, segala-galanya akan kembali berubah.

Setakat ini, Lions XII berada di puncak liga dengan 40 mata dan masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang keramat mereka, melainkan seri menentang Johor DT pada 21 Jun lalu.

Selangor pula berkongsi 36 mata dengan Johor DT, dan pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu memiliki kelebihan bolos paling sedikit.

Jika dilihat dari segi kedudukan liga, tidak ada masalah buat Lions XII untuk memungut mata penuh seterusnya dinobatkan sebagai juara liga, namun Felda United sudah pasti tidak mahu kekal di tangga kedua tercorot yang akan menyebabkan mereka terhumban ke Liga Perdana musim depan.

Selasa lepas, Felda telah menunjukkan sedikit usaha untuk terus kekal di Liga Super selepas berjaya mengikat Johor DT 1-1, jadi perkara yang sama juga boleh berlaku di Stadium Jalan Besar hari ini, yang akan mengheret penentuan juara liga dibawa pada perlawanan terakhir, Sabtu ini.

Selangor bukan sahaja mahu menduduki tempat kedua liga yang membolehkan mereka beraksi di Piala AFC musim depan, mereka sudah tentu mempunyai cita-cita lebih besar dan menghalang trofi Liga Super terlepas ke pasukan jemputan.

"Saya seorang yang percaya kepada keajaiban. Orang nampak Lions XII sangat kuat dan mustahil untuk dikalahkan, tetapi saya rasa tidak mustahil Felda boleh buat kejutan kerana mereka sangat terdesak sekarang dan mahu mengelak daripada tersingkir dari Liga Super musim depan. Lagipun, Lions XII pasti lebih tertekan kerana mereka begitu menginginkan kemenangan.

"Bagi Selangor, saya tidak mahu pemain turun ke padang dengan terlalu memikirkan apa yang akan terjadi dalam satu lagi pertarungan di Jalan Besar, sebaliknya saya mahu mereka turun dengan memikirkan kita ada dua lagi misi penting untuk diharungi, menentang T-Team dan kemudian Johor DT. Kita harus menang kedua-dua perlawanan kerana kalau tidak muncul juara sekalipun, sekurang-kurangnya kita kena duduk nombor dua.

"Tahun lalu kita sekadar menghuni tangga ketiga, jadi sudah tentu kita kena memperbaiki kedudukan itu dan berada di tempat yang lebih baik," kata Irfan yang turut tidak dapat menggunakan Mohd. Bunyamin Umar and S. Veenod akibat dibelenggu kecederaan.

Sementara itu, Johor DT harus melupakan kekecewaan tewas kepada Kelantan dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu, mereka harus pandang ke depan dan berharap dapat menewaskan pasukan tangga tercorot Negeri Sembilan yang sudah tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Menurut penolong jurulatih Johor DT, Ismail Ibrahim, baki dua perlawanan Liga Super sangat penting buat mereka sekarang, sasaran mereka adalah mampu berada di kedudukan terbaik liga untuk melayakkan diri ke Piala AFC 2014

"Kami berharap dua lagi perlawanan Liga Super (termasuk hari ini) dapat berakhir dengan kemenangan dan pemain perlu memberi tumpuan sepenuhnya," katanya.

Hamidin cadang pengadil profesional

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Hamidin (kiri) dan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN, Datuk Azzuddin Ahmad mengucapkan tahniah antara satu sama lain dalam satu majlis di Wisma FAM, dekat Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Setiausaha Agung baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin akan mencadangkan kepada jawatankuasa pengadilan badan induk itu tentang perlunya mengadakan pengadil profesional.

Menurut Hamidin, perkara tersebut akan diusulkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu pada masa akan datang selepas mengambil kira pandangan daripada presiden badan bola sepak negeri untuk mewujudkan pengadil profesional.

"Jadi pengadil ini akan berkhidmat sepenuh masa dan dibayar oleh FAM. Kita perlu perubahan, tidak boleh berada di takuk lama lagi," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Kualiti pengadilan sepanjang kempen Liga Malaysia lantang dikecam sejak kebelakangan ini termasuk oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyebabkan beliau digantung enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, di samping didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, Mac lalu.

"Lima atau enam negara sudah mempunyai pengadil profesional, jika perkara ini baik untuk bola sepak negara kita, jadi kita perlu buat dan pengadil yang ada sekarang ini akan dikekalkan.

"Pengadil profesional ini boleh mengadili perlawanan mustahak. Mungkin pada awal ini kita boleh menggunakan 10 hingga 20 pengadil profesional kerana sekarang kita hanya menggunakan pengadil amatur yang mana ada di antara mereka yang bekerja sebagai guru, pegawai dan beberapa lagi kerjaya lain," katanya.

Pengadil profesional telah digunakan di beberapa negara dalam saingan domestik mereka seperti di England, Perancis, Itali, Mexico dan Brazil. Hamidin juga mencadangkan bahawa umur untuk pengadil dan gaji mereka juga perlu diselaraskan mengikut standard profesional.

Katanya, FAM perlu mencari idea baharu dan berharap Jawatankuasa Pengadilan FAM memperhalusi cadangan tersebut walaupun perkara tersebut masih belum boleh memastikan corak pengadilan di Malaysia berubah serta-merta.

"Setiap manusia memang melakukan kesilapan tetapi kalau setahun ada isu tentang pengadilan 10 hingga 20 kali jadi untuk tahun depan kita mungkin mampu mengurangkannya kepada dua atau tiga kali kesilapan, ia sudah cukup baik malah di England juga pengadil sering melakukan kesilapan.

"Pengadil yang ada kita perlu pertingkatkan corak pengadilan mereka, perubahan ini perlu dilihat dari sudut global, kita hendak melihat bagaimana negara lain buat. Ia akan mewujudkan satu persaingan sihat," katanya.

Ditanya pengadil profesional tersebut bakal ditawarkan kepada pengadil yang sedia ada atau tidak, Hamidin berkata, mereka akan mencadangkan tawaran ini dibuka kepada pengadil amatur sekarang dan juga yang baharu.

"Situasi bola sepak sekarang tidak seperti 20 tahun lalu, pengadil memainkan peranan mustahak, jika kerap melakukan kesilapan ia akan membawa kepada imej bola sepak dan FAM sendiri. Saya sudah tekankan kepada pengadil bahawa keputusan yang mereka buat di atas padang sangat penting," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan salahkan FAM!

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

keadaan sehari sebelum perlawanan akhir Piala FA kelmarin apabila kira-kira 15,000 penyokong Kelantan dan Johor DT cuba mendapatkan tiket di kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil. Kesukaran mendapatkan tiket menyebabkan sesetengah penyokong tertipu dengan tawaran 'pihak ketiga' yang menawarkan jualan tiket secara mudah.

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak harus dipersalahkan dalam kes peminat yang gagal mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim kelmarin kerana mereka membuat pembelian menerusi pihak ketiga.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundram berkata, FAM tidak pernah mewujudkan 'pihak ketiga' dalam urusan penjualan tiket, sebaliknya ia dikendalikan sepenuhnya oleh persatuan bola sepak negeri (FA) dan FAM sendiri.

"Contohnya bagi penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA tempoh hari, FAM menyerahkan 30,000 tiket kepada FA Kelantan dan 30,000 lagi tiket kepada FA Johor.

"Sepatutnya penyokong mendapatkan tiket menerusi FA negeri masing-masing.

"FAM juga membuka lapan kaunter tiket di Stadium Bukit Jalil pada hari perlawanan dan saya sendiri turun memantau penjualan tiket di sana," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai insiden penyokong Johor DT yang mengalami kerugian sebanyak RM162,600 setelah menjadi mangsa penipuan 'pihak ketiga' yang mendakwa boleh membekalkan sebanyak 3,165 tiket perlawanan akhir Piala FA.

Sehubungan itu, Sivasundram menasihatkan penyokong supaya lebih berhati-hati membeli tiket mana-mana perlawanan, khususnya perlawanan utama.

"Kalau boleh jangan minta rakan belikan tiket untuk anda, penipuan mungkin berlaku. Saya nasihatkan penyokong beli sendiri di kaunter yang sah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"FAM tidak boleh dipersalahkan jika ada individu yang ditipu pihak tidak bertanggungjawab dan insiden tersebut perlu dilaporkan kepada pihak berwajib," katanya.

Menurut Sivasundram, FAM akan melakukan kajian secara terperinci bagi memastikan insiden sama yang menimpa penyokong, tidak berulang lagi.

"Kita akan cuba melakukan beberapa penambahbaikan agar insiden sama tidak berulang dan FAM juga akan bertindak tegas bagi mengelak ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba meraih kesempatan dalam kekalutan yang berlaku," tegasnya.

'Atasi masalah penyokong sukar beli tiket'

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) mahu kaedah penjualan tiket perlawanan tumpuan dikaji semula untuk mengatasi kekecohan seperti yang berlaku pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini.

Tengku Abdullah percaya kekalutan peminat untuk mendapatkan tiket dapat diperhalusi oleh Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Kata Tengku Abdullah, masalah tiket tidak sepatutnya dialami oleh penyokong untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi seperti pada perlawanan akhir Piala FA yang melibatkan pertembungan Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

"Saya harap masalah penyokong sukar mendapatkan tiket seperti yang berlaku baru-baru ini dapat diselesaikan.

"Kita juga tidak mahu ada penyokong yang tertipu untuk mendapatkan tiket," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di sini, semalam.

Jualan tiket untuk perlawanan akhir Piala FA musim ini mencetuskan kekecohan dalam kalangan penyokong Kelantan dan Johor DT.

Khamis lalu, kekecohan tercetus di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu selepas penyokong Kelantan berang apabila mengetahui tiket perlawanan habis dijual dalam tempoh lima minit.

Mereka berang kerana setelah ada yang beratur seawal pukul 6.30 pagi untuk mendapatkan tiket, namun hampa.

Situasi sama juga berlaku di sini apabila kira-kira 2,000 penyokong Johor DT kecewa selepas gagal membeli tiket perlawanan akhir Piala FA kerana habis dijual di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Tengku Abdullah turut mengucapkan tahniah buat Kelantan dan Johor DT beraksi pada pentas akhir Piala FA, kelmarin yang dimenangi Red Warriors 1-0.

"Saya harap semua pihak dapat menerima keputusan perlawanan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kelantan pertahan kejuaraan

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my

Barisan pemain dan pegawai pengurusan pasukan Kelantan menjulang Piala FA selepas menewaskan Johor Darul Takzim 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. - Mingguan/ Noor Asrekuzairey Salim.

KUALA LUMPUR - Kelantan membuktikan masih merupakan gergasi bola sepak negara selepas berjaya mempertahankan Piala FA yang dimenangi tahun lalu dengan menumbangkan Johor Darul Takzim 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jaringan tunggal Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-16 kekal sehingga ke akhir perlawanan tanpa dapat dicabar Johor DT.

Kejuaraan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Kelantan dalam saingan Piala FA yang mula diperkenalkan sejak tahun 1990.

Sementara impian Johor DT untuk mengulangi pencapaian Johor pada tahun 1998 tidak kesampaian di samping gagal muncul kelab pertama memenangi trofi berkenaan.

Di hadapan 90,000 penonton dengan kehadiran penyokong yang seimbang antara kedua-dua pasukan, kegagahan The Red Warriors jelas terlalu sukar dicabar oleh Harimau Selatan dengan penguasaan mutlak dipamerkan bahagian tengah diketuai Mohd. Badhri Mohd. Radzi.

Serangan-serangan pantas yang diterapkan jurulatih, Bojan Hodak membuatkan Johor DT bagaikan hilang punca untuk bangkit.

Badhri dan Nor Farhan jelas menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Johor DT yang kehilangan Mohd. Aidil Zafuan, malah Kamarul Afiq Kamaruddin serta Ahmad Tharmini Saiban tidak senang duduk berdepan kesukaran mengawal pergerakan licik Dickson Nwakaeme.

Segalanya serba tidak menjadi buat Johor DT sejak awal permainan lagi, malah percaturan Fandi Ahmad mempertaruhkan Safiq Rahim di bahagian tengah sia-sia apabila ketua pasukan kebangsaan itu langsung tidak menghadirkan sebarang impak dan dikeluarkan sebaik sahaja bersambung babak kedua.

Tiada kelibat pemain import Argentina, Leonel Nunez dipertaruhkan pada permulaan perlawanan, sebaliknya Fandi Ahmad memilih Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha menerajui barisan hadapan.

Penguasaan penuh The Red Warriors pada 45 minit pertama dengan sekurang-kurangnya tujuh peluang diperoleh melalui gerakan oleh Ahmad Fakri Saarani, namun disia-siakan.

Gol yang dicari-cari oleh Kelantan akhirnya menjelma menerusi hantaran bijak Badhri yang menghidu ruang kosong kedudukan Mohd. Nor Farhan Muhammad sebelum rembatan leretnya gagal diselamatkan oleh Muhd. Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-16.

Johor DT bagaikan seolah-olah tidak beraksi pada separuh masa pertama ketika Fandi sudah terpaksa mengeluarkan Safee pada minit ke-18 dan Andrezinho, 19 minit kemudian kerana mendapat kecederaan.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang banyak berehat akhirnya terpaksa bertungkus lumus pada 30 minit terakhir permainan melalui hantaran-hantaran silang yang dicipta oleh K. Thanaraj serta Nurul Azwan Roya ketika momentum The Red Warriors sedikit menurun.

Dua sepakan percuma yang diperolehi oleh Nunez pada minit ke-78 dan 82 juga gagal memberi impak apabila gagal menepati sasaran.

Pakistan ikat Malaysia

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Penyerang Malaysia, Muhd. Marhan Jalil (tengah) diasak pemain Pakistan, Fareed Ahmed (kanan) pada aksi sulung separuh akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Malaysia dua kali mensia-siakan kelebihan mendahului tiga gol sebelum diikat 4-4 oleh gergasi hoki Asia, Pakistan dalam aksi Kumpulan B separuh akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya di sini, semalam.

Pasukan negara mendahului 3-0 sebelum Pakistan bangkit dengan gol pertama, sembilan minit sebelum aksi babak pertama berhenti rehat.

Jurulatih skuad kebangsaan, Paul Revington berkata, anak-anak buahnya telah menunjukkan peningkatan terutama aspek serangan balas.

Pukulan sudut penalti kami juga sudah semakin baik begitu juga di bahagian pertahanan.

Harapan saya pada perlawanan esok (hari ini) menentang Afrika Selatan kami mampu kekal fokus selain mempunyai 24 jam untuk persediaan," kata Revington kepada pemberita pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Pada aksi sulung Kumpulan B semalam, Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia lebih kerap melakukan serangan ke kubu Pakistan terutama pada awal separuh masa pertama.

Malah, pasukan kebangsaan tidak menunggu lama untuk membuka jaringa menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim seawal minit ketiga hasil pukulan sudut penalti. Razie turut meledak gol kedua, empat minit selepas itu.

Malaysia terus cemerlang dengan menambah gol ketiga hasil pukulan sudut penalti Muhammad Marhan Jalil minit ke-18.

Pakistan merapatkan kedudukan 3-1, sembilan minit sebelum tamat separuh masa hasil pukulan sudut penalti Abdul Haseem Khan.

Bermula babak kedua, anak-anak buah Revington melakukan serangan pantas untuk menjarakkan kedudukan 4-1 hasil jaringan padang Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil pada minit ke-38.

Pakistan yang tertekan menggandakan asakan dan berjaya menjadikan kedudukan 4-2 hasil pukulan sudut penalti minit ke-42 menerusi Muhammad Tousiq.

Dua lagi jaringan Pakistan diperoleh menerusi pukulan penalti minit ke-56 yang dimanfaatkan dengan baik oleh Shakeel Abbasi dan jaringan sudut penalti penyerang Muhammad Imran minit ke-61.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Zulfahmi kemalangan pada latihan bebas GP Assen

Posted: 28 Jun 2013 09:46 AM PDT

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Kamaruddin mengalami kemalangan semasa sesi latihan bebas terakhir di Grand Prix Assen, Belanda semalam.

Kemalangan itu menyebabkan dia yang berlumba untuk pasukan Red Bull KTM Ajo itu terpaksa dikejarkan hospital untuk menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer kerana mengalami gegaran di kepala dan peluangnya untuk berlumba pada hujung minggu bergantung kepada kebenaran yang diberikan oleh pihak hospital di sana. - UTUSAN ONLINE

Palu gendang 'perang'

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Kapten pasukan Johor DT, Kamarul Afiq Kamaruddin (kanan) bersama Mohd. Badhri memegang Piala FA yang akan menjadi rebutan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR - Perlawanan akhir impian... itulah yang mungkin boleh digambarkan pertemuan buku dengan ruas antara juara bertahan, Kelantan dan Johor Darul Takzim yang dijangka bakal menjadi aksi cukup klasik apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Sama ada The Red Warriors atau Harimau Selatan, masing-masing ada ramuan tersendiri untuk menjadi juara malahan sukar diramalkan siapakah yang akan keluar dari padang hari ini sebagai pemenang Piala FA 2013.

Merupakan juara treble musim lalu, Kelantan yang berbekalkan pengalaman beraksi di perlawanan akhir tahun lalu masih wajar dihormati walaupun kehilangan beberapa pemain penting seperti Nurul Azwan Roya, Mohammad Ghaddar dan Norshahrul Idlan Talaha, dan prestasi Kelantan agak tempang dalam saingan awal Liga Super sehingga menjejaskan keyakinan para peminat setianya.

Kepulangan pemain sayap lincah, Mohd. Faiz Subri yang baru pulih daripada kecederaan panjang dan kehadiran bintang yang berkelana di Portugal, Ahmad Fakri Saarani telah memberikan penawar kepada jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, yang sebelum ini teraba-raba mencari formula mujarab bagi mengatasi ketumpulan jentera serangan pada awal musim.

Apa yang pasti, kelibat penyerang import Nigeria, Dickson Nwakaeme, yang diberi jolokan kereta kebal kerana kekuatan fizikalnya pasti akan menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan Johor DT di samping kreativiti Indra Putra Mahayuddin dan ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd Radzi atau lebih popular dengan panggilan Piya mampu merobohkan keegoan Harimau Selatan yang mahu meluaskan kuasanya dalam perlawanan akhir.

Penghijrahan beberapa pemain utama yang saya anggap cukup pantas dalam melakukan serangan sebelum ini pada mulanya memberikan satu kesan besar kepada corak permainan pasukan kami tetapi mujurlah masalah ini dapat diselesaikan pada pertengahan musim.

Adanya Faiz Subri dan Fakri Saarani jelas memberikan satu kelegaan kepada saya, prestasi Kelantan nampak telah meningkat naik dan saya yakin kami tampil tempo permainan pantas ke atas Johor DT pada malam esok (malam ini)," katanya semalam.

Di kem Johor DT, pelaburan besar Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) ternyata tidak sia-sia apabila layak ke perlawanan akhir Piala FA pada musim pertama dan bertambah manis jika trofi berada dalam genggaman sekali gus menjadi hadiah paling bermakna buat Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-29 esok.

Di bawah perancangan bekas pemain Singapura yang tidak asing lagi di kalangan peminat bola sepak Malaysia, Fandi Ahmad, Johor DT muncul sebagai pasukan yang digeruni dalam kancah Liga Malaysa dan pada aksi akhir hari ini, memori kejayaan Piala FA pada tahun 1998 pasti akan menjadi azimat penting kepada semua pemain.

Gandingan tiga serangkai, Leonel Nunez dari Argentina yang cukup menarik perhatian ekoran fizikalnya yang sedikit gempal bersama-sama dua penyerang kebangsaan, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha pasti menjadi senjata paling ampuh kepada Harimau Selatan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Larkin kecoh

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
sukan@utusan.com.my

SEORANG wanita pengsan akibat berasak-asak untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Larkin, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam kecoh apabila penyokong Johor Darul Takzim (JDT) berasak-asak sehingga menyebabkan seorang wanita cedera akibat dirempuh.

Kira-kira 3,000 penyokong mula membanjiri pekarangan stadium tersebut, termasuk ada yang sanggup tidur di hadapan kaunter jualan seawal pukul 12 tengah malam bagi mendapatkan tiket berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat juga penyokong yang pulang dengan tangan kosong apabila tiket habis dijual apabila kaunter mula dibuka pukul 8.20 pagi.

Atas beberapa sebab, kaunter jualan terpaksa ditutup beberapa kali ekoran kesesakan di hadapan empat kaunter yang dibuka selain jumlah tiket yang dikatakan tidak mencukupi.

Seorang penyokong, Nazarudin Samsudin, 44, berkata, dia yang berasal dari Pontian tiba di stadium pukul 12.30 tengah malam semata-mata untuk memastikan dapat membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir antara JDT dan Kelantan, esok.

"Saya sangka sayalah orang terawal yang tiba, tetapi sebaliknya apabila kira-kira 100 orang sudah berada di hadapan kaunter dan ada juga yang tidur di sini.

"Nasib baik saya dapat membeli tiket kerana ramai juga yang datang pada waktu pagi tidak dapat beli tiket kerana ia sudah habis," katanya.

Nasib berbeza dialami Mohd. Razli Mohamed, 19, dari Pasir Gudang yang terpaksa pulang dengan kosong apabila tiket yang dijual dua keping setiap seorang,kehabisan.

"Saya masih fikir cara untuk mendapatkan tiket dan mungkin akan pergi ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok (hari ini) untuk beli tiket di sana pula," katanya.

Mohd. Faiz mahu dakap trofi

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Mohd. Faiz Subri

KOTA BHARU - Pemain sayap lincah, Mohd. Faiz Subri mahu penampilan sulung di pentas final Piala FA, esok memberi tuah buat The Red Warriors mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Mohd. Faiz berkata, selain membantu Kelantan, dia turut mempunyai misi peribadi iaitu mendakap kejuaraan berprestij pertama dengan menjulang kejuaraan Piala FA.

Sekiranya diberikan kepercayaan untuk beraksi pada perlawanan tersebut, penyerang berusia 23 tahun itu bertekad untuk menampilkan persembahan bertenaga bagi membantu pasukan meraih kemenangan.

"Inilah peluang terbaik buat saya untuk mendapatkan trofi kejuaraan pertama buat diri saya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Selain itu, saya mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dengan membantu pasukan membawa pulang kejuaraan tersebut.

"Beraksi buat kali pertama di pentas final pasti mengundang rasa gemuruh, namun saya telah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi situasi tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambahnya, sebagai pemain dia perlu bersedia sepenuhnya untuk menggalas harapan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan dan penyokong dengan bermain bermati-matian pada perlawanan tersebut.

Pemain kelahiran Air Hitam, Kedah itu memilih untuk berhijrah daripada pasukan T-Team dengan menyertai The Red Warriors musim ini.

Meskipun bertubuh kecil, bekas penjaring terbanyak T-Team itu telah meledakkan lima jaringan bersama The Red Warriors dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.

Larian deras, kemahiran individu yang tinggi serta gemar membuat rembatan dari luar kota penalti antara kelebihan pemain ini yang perlu diberikan oleh pihak lawan.

Sehubungan dengan itu, Mohd Faiz berharap rakan-rakan sepasukan dapat mempamerkan semangat juang tinggi bertemu dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) nanti.

Katanya, Johor DT bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan dan mereka memiliki ramai pemain berpengalaman.

"Begitupun saya dan rakan-rakan sudah bersedia untuk perlawanan ini. Harapan saya, agar penyokong dapat terus berdiri teguh di belakang kami sepanjang perlawanan berlangsung," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Penyokong JDT kecewa tiket habis

Posted: 26 Jun 2013 08:04 PM PDT

JOHOR BAHRU 27 Jun - Kira-kira 2,000 penyokong tegar Johor Darul Takzim kecewa selepas gagal membeli tiket perlawanan akhir Piala FA apabila ia habis dijual di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini.

Para penyokong sejak pukul 12 tengah malam tadi telah berada di hadapan kaunter jualan tiket, namun kaunter hanya dibuka pukul 8.20 pagi sebelum ditutup pukul 9 pagi.

Bagaimanapun, kaunter jualan tiket dibuka semula sejam kemudian namun tidak sampai lima minit ia ditutup semula apabila tiket yang disediakan sebanyak dua keping seorang itu habis dijual.

Meskipun keadaan kecoh seketika, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku dan pihak polis turut ditugaskan untuk mengawal ketenteraman. - UTUSAN

Fandi kecewa aksi anak buah

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

FANDI AHMAD

JOHOR BAHRU - Jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya yang gagal mengutip tiga mata penuh pada pertemuan menentang Felda United kelmarin meskipun bermain di laman sendiri.

Tegas Fandi, sesetengah pemain tidak beraksi baik dan gagal mengikut arahan yang diberikan sehingga menyebabkan pasukan pelawat berjaya mencuri satu mata pada pertemuan itu.

Menurut beliau, ada antara pemain tidak mempunyai semangat juang yang tinggi dan bermain mengikut emosi sehingga menjejaskan persembahan keseluruhan pasukan.

"Saya kecewa dengan keputusan ini, pemain kurang semangat dan kesungguhan. Kena guna akal untuk bermain, mereka seharusnya berikan 100 peratus atau 200 peratus apabila berada di padang.

"Ia bukan hari untuk kita, ia bukan mudah tetapi saingan masih belum tamat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Pada pertemuan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin, Johor Darul Takzim sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Felda United.

Skuad Harimau Selatan memperoleh jaringan pada minit ke-64 menerusi pemain gantian, Muhd. Haidin Azman sebelum pemain gantian Felda United, Rudie Ramli menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

Fandi mengakui persembahan Johor Darul Takzim tidak konsisten sepanjang musim ini dan dengan keputusan yang dicatatkan itu menyukarkan lagi laluan mereka untuk menjulang kejuaraan Liga Super.

Beliau berkata, para pemain seharusnya memperbaiki mutu persembahan mereka dan perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan selain mengikut arahan yang diberikan.

"Dengan keadaan seperti ini, kemungkinan pada perlawanan terakhir akan menentukan pemenang. Kita memang tidak konsisten sepanjang musim tetapi saya percaya kepada keajaiban," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Johor DT sia-sia peluang, NS tergelincir ke Liga Perdana

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI
AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 pada saingan Liga Super menentang Felda United, tatkala pendahulu liga Lions XII juga menerima nasib yang sama ditambat 1-1 bertemu Perak.

Keputusan seri itu juga menyaksikan Johor Darul Takzim hilang tempat kedua kepada Selangor yang mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas PKNS dari segi kelebihan jaringan.

Sementara itu, Negeri Sembilan tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas mereka tewas 1-2 kepada T-Team dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, meskipun tanpa enam tonggak utama, Johor DT masih mampu menguasai perlawanan dan pemain gantian mereka, Muhd. Haidin Azman menceriakan para penyokong apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-64 selepas menolak masuk bola hantaran Nurul Azwan Roya.

Bagaimanapun, harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh berkecai apabila Felda United menyamakan kedudukan pada minit ke-83 selepas pemain gantian, Rudie Ramli berjaya menanduk masuk hantaran lintang Mohd. Azmi Muslim.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah berjaya menghalang hasrat pelawat, Lions XII untuk membawa pulang tiga mata penuh, Perak berada di depan pada minit ke-59 melalui Paulo Rangel namun Shahfiq Ghani berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Lions XII pada minit ke-77.

Berlaku sedikit kekecohan di penghujung perlawanan apabila pemain kedua-dua pasukan saling tolak-menolak antara satu sama lain.

Di Stadium Shah Alam, Selangor berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 untuk melonjak ke tangga kedua namun mereka dikejutkan dengan jaringan tuan rumah, Nizad Ayub pada minit ke-14 sebelum Mohd. Raimi Mohd. Nor menambah dua gol pada minit ke-63 dan 70.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, pula Kelantan berjaya menumpaskan Pahang 2-0. Ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi menjaringkan gol pertama pada minit ke-45 dan gol kedua daripada Muhammad Zamri Ramli selepas pemain tersebut menyudahkan susulan rembatan rakan sepasukan Mohd. Nor Farhan yang berjaya diselamatkan oleh Khairul Azhar sebelum itu.

Keputusan lain menyaksikan ATM dan Terengganu seri 1-1 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, gol tuan rumah dijaringkan Christie Jayaselan pada minit ke-65 dan pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-79 melalui, Farderin Kadir.

Penyokong Kelantan mengamuk

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

SEBAHAGIAN penyokong The Red Warriors memecah masuk pintu utama Stadium Sultan Muhammad IV selepas gagal membeli tiket di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Ribuan penyokong The Red Warriors yang berang merempuh pintu utama stadium selepas tiket perlawanan akhir Piala FA habis dijual dalam tempoh lima minit sejurus kaunter jualan mula dibuka 9.30 pagi, semalam.

Situasi tersebut menimbulkan kemarahan penyokong-penyokong The Red Warriors yang kebanyakan mula beratur di kaunter jualan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini seawal pukul 6.30 pagi untuk membeli tiket tersebut.

Mereka yang ditemui meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang disifatkan tidak berlaku adil dengan tindakan tersebut.

Seorang penyokong, Mohd. Hamdan Abdul Mutalib, 37, mempersoalkan bagaimana tiket tersebut boleh habis dijual dalam tempoh lima minit sebaik sahaja kaunter jualan dibuka.

Menurutnya, dia hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan tiket mula dijual kepada penyokong mulai semalam.

Ini bukan kali pertama masalah ini berlaku. Setiap kali Kelantan beraksi pada perlawanan akhir kejadian ini pasti berulang dan saya teramat kecewa dengan tindakan KAFA ini.

Selaku penyokong saya rasa tertipu dengan tindakan ini. Saya beratur seawal pukul 7 pagi semata-mata untuk mendapatkan tiket final, namun apa yang ada hanyalah tiket perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang.

Tindakan KAFA berbuat demikian bukanlah sesuatu yang bijak. Tiket final sepatutnya dijual secara berasingan dengan perlawanan biasa, ini bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter jualan," katanya di sini, semalam.

Mohd. Hamdan mendesak KAFA memberikan penjelasan kepada penyokong berhubung insiden tersebut.

Seorang lagi penyokong, Nurul Azuan Zulkifli, 23, memberitahu apa yang mengejutkannya, ada beberapa individu yang bertindak sebagai ulat menjual tiket final dengan harga tinggi daripada harga asal.

Saya terkejut, bagaimana ulat boleh mendapat tiket-tiket final, sedangkan pengumuman yang dibuat pada pukul 10.30 pagi memberitahu tiket telah habis terjual.

Bukan itu sahaja, tiket tersebut dijual dengan harga antara RM45 hingga RM80 untuk sekeping," ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih 1,000 penyokong Kelantan beratur panjang untuk membeli tiket final, bagaimanapun gagal selepas tiket berkenaan habis dalam tempoh lima minit.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


UMNO Tanah Merah edar tiket Piala FA hari ini

Posted: 24 Jun 2013 06:09 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 Jun - UMNO Bahagian Tanah Merah akan mengedarkan secara percuma 4,000 tiket perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim mulai hari ini.

Ketuanya, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz berkata, tiket bagi menyaksikan perlawanan yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu ini boleh diperolehi di Perodua Noble Twin (M) Sdn Bhd di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur (bersebelahan LRT Jalan Jelatek) mulai pukul 10 pagi hingga 9 malam berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

Beliau berkata, pemberian tiket itu sebagai penghargaan kepada anak-anak Tanah Merah khususnya penyokong Barisan Nasional (BN) yang memastikan parti itu memenangi kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Selain itu, saya berharap pemberian tiket ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka menyaksikan perlawanan hebat tersebut tetapi juga membangkitkan semangat untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Red Warriors," katanya.

Menurut Ikmal Hisham, pemberian tiket berkenaan dilakukan melalui kerjasama Persatuan Anak-Anak Tanah Merah Di Perantauan (PERTAMA) dan Persatuan Mahasiswa Tanah Merah (PERMATA).

Katanya, sebarang pertanyaan boleh menghubungi Akmal di talian 013-2074241 atau 03-42577009. - UTUSAN

Ahli exco isi kerusi panas FAM?

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Azzuddin Ahmad (dua dari kiri) pada sidang akhbar taklimat Liga Malaysia musim lalu bersama Hamidin (dua dari kanan) dan Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud (kiri) pada Disember 2011.

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad secara rasmi dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Azzuddin berkata, beliau menerima surat pelantikan tersebut bagi menggantikan bekas Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Paul Mony Samuel, daripada Presiden AFF Sultan Ahmad Shah semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada media yang telah memberi kerjasama dan bantuan kepadanya terutama dari segi liputan sukan bola sepak negara sejak menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM pada 17 September 2007.

"Saya mengambil iktibar daripada semua kritikan yang membina dan menerima semua kritikan negatif dengan hakikat bahawa dalam apa jua isu wujudnya pendapat dan fahaman yang berlainan.

"Seterusnya, saya memohon ribuan maaf sekiranya dalam (memegang) jawatan Setiausaha Agung FAM, saya terkasar bahasa dan tersalah laku terhadap mana-mana pihak," katanya yang berharap mendapat kerjasama dan bantuan semua pihak dalam jawatan baharunya kelak.

Sepanjang berkhidmat di FAM, Azzuddin pernah memegang beberapa jawatan penting badan induk bola sepak negara itu, antaranya sebagai Anggota Jawatankuasa Bebas dari 2000 hingga 2006, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (2001-2004) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil (April-September 2006).

Sebelum ini, Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin disebut-sebut sebagai calon pilihan dan dikaitkan dengan 'kerusi panas' yang akan ditinggalkan Azzuddin itu.

Namun, sehingga kini belum ada pengesahan daripada FAM berhubung perkara itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Akar umbi masih lemah

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

B. Sathianathan

SHAH ALAM - Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi seawal umur 12 tahun di negara ini perlu diberi perhatian serius jika negara mahu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti serta mampu mencabar di saingan antarabangsa.

Jika kata-kata bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan menjadi penilaian, sistem pembangunan bola sepak di negara ini mungkin perlu dikaji semula kerana masih ada kelemahan yang membelenggu para pemain muda di negara ini untuk memajukan corak permainan mereka.

Dia yang menjadi salah seorang penilai pada Kem Bola Sepak Junior Allianz dalam memilih tiga pemain yang akan menjalani latihan di Munich, Jerman mengakui beberapa aspek asas bola sepak oleh kebanyakan para pemain muda masih berada di tahap terendah.

Semuanya berpunca ekoran kekurangan perlawanan yang kompetitif dalam tempoh satu tahun dan itu menyukarkan mereka mengasah skil serta keupayaan di tahap terbaik.

''Jika saya mahu bercakap benar, lebih 100 remaja terdiri daripada mereka yang berumur di kalangan 14, 15 dan 16 tahun yang saya temui mengakui mereka hanya bermain sebanyak tiga atau empat perlawanan kompetitif sepanjang tahun.

''Situasi ini cukup berbeza semasa saya pergi ke Jepun, pemain yang sebaya dengan usia mereka beraksi lebih kurang 40 perlawanan dalam masa satu tahun, memang kita agak sedikit ketinggalan dalam soal ini.

''Pembangunan akar umbi di peringkat sekolah ternyata perlu dinilai kembali kerana jumlah perlawanan yang mereka lalui tidak mencukupi dan memang agak sedikit," katanya yang ditemui selepas pemilihan Kem Bola Sepak Junior Allianz 2013 di Padang SUK, semalam.

Sebagai bukti, Sathianathan berkata, beberapa perkara asas bola sepak di kalangan mereka yang hadir juga tidak sebaik mana ekoran kurang pendedahan bermain di peringkat tertinggi.

''Perkara-perkara asas seperti balingan bola juga ada kelemahan malahan mereka lebih gemar bermain secara hantaran jauh kerana tidak mahir menggunakan hantaran-hantaran pendek.

''Ini semua berpunca daripada kurangnya bermain perlawanan kompetitif di samping tiada jurulatih yang bertauliah membentuk mereka," katanya.

Pada pemilihan terakhir melibatkan 25 pemain yang turun menentang pasukan Bawah 17 tahun Selangor di Padang SUK, tiga pemain yang berjaya menempah tiket ke Munich adalah S. Thinparaj, Farid Asraf Kamarozaman dan Mohamad Syawal Rosman.

Mereka akan berangkat ke sana selama enam hari bermula 7 Ogos depan dan berpeluang menemui bintang-bintang Bayern Munich malahan dapat menyaksikan perlawanan secara langsung aksi kelab gergasi Jerman itu di Allianz Arena.

Tujuh lagi pemain lain yang berada di tempat keempat hingga sepuluh akan menyertai Kem Junior Bola Sepak Asia Allianz 2013 di Phuket, Thailand dari 28 hingga 30 Jun ini.

Seramai 1,200 peserta telah hadir pada sesi uji bakat yang diadakan di Padang Kompleks Belia dan Sukan Pahang, Kuantan pada 15 Jun lalu dan Padang SUK.

Turut hadir Ketua Pegawai Esekutif Allianz Insuran Berhad, Jens Peisch dan dua bekas pemain kebangsaan, Shahrin Majid serta Rusdi Suparman yang bertindak sebagai sebagai hakim.

Hafizh rakam kejayaan podium kedua di Sepanyol

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Hafizh Syahrin menduduki tempat ketiga Kejuaraan Kebangsaan Sepanyol CEV Repsol di Litar Albacete, semalam.

KUALA LUMPUR - Pelumba sensasi Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah kian mempamerkan kehandalan dengan menaiki podium keduanya bagi musim ini dalam pusingan ketiga Kejuaraan Kebangsaan Sepanyol CEV Repsol di Litar Albacete, semalam.

Biarpun mengalami sakit otot lengan kanan, pelumba cekal Petronas Raceline ini yang layak bagi permulaan petak depan kelmarin, tetap mampu menduduki tempat ketiga selepas melengkapkan 20 pusingan.

Hafizh, 19, atau digelar El Pescao (Ikan Kecil) mencatat 31 minit 00.440 saat manakala Alejandro Marinelarena merangkul kejuaraan dengan 30'56.019s sambil diikuti oleh Roman Ramos di tangga kedua, 30'58.464s.

"Saya gembira meraih podium kedua di Albacete. Keadaan tampak baik sejak awal malah saya mampu mendahului bagi beberapa pusingan dengan dikejar rapat Daniel Rivas dan Ramos.

"Saya cuba menjauhi mereka namun kedua-dua penunggang itu cukup pantas jadi saya biarkan mereka melepasi supaya saya dapat mengambil nafas baharu.

"Sebaik sahaja mereka di depan, saya kekal bersama di situ dan kami saling mendahului beberapa kali.

"Saya berharap untuk mencapai kedudukan lebih baik kerana kederasan saya namun menuju penghujung perlumbaan, lengan kanan saya mula sakit dan saya tidak mampu mengasak lagi.

"Walau bagaimanapun saya cukup gembira dengan keputusan ini. Pasukan saya menjalankan tugas yang cemerlang jadi syabas kepada setiap orang," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS