Kosmo Online - Sukan |
Indonesia dilabel jaguh kampung Posted: Indonesia dilabel jaguh kampungOleh WAN FAKHRUL BAKAR RAJAGOBAL tidak menganggap Indonesia hebat kerana menang kesemua lima perlawanan di gelanggang sendiri iaitu Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta. JAGUH kampung. Itulah label yang sepatutnya diberikan kepada skuad bola sepak Indonesia. Biarpun para penyokong skuad garuda itu menganggap pasukan mereka yang dilatih jurulatih dari Austria, Alfred Riedl sebagai paling ampuh pada saingan Piala AFF Suzuki 2010, sebenarnya mereka tidaklah hebat mana. Memang Indonesia menang kesemua lima perlawanan yang diharungi mereka iaitu membelasah Malaysia 5-1, membelasah Laos 6-0, menundukkan Thailand 2-1 serta dua kali menewaskan Filipina 1-0 pada aksi separuh akhir. Namun kesemua kemenangan tersebut dicatat kerana mereka hanya beraksi di laman sendiri iaitu gelanggang keramat mereka, Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta. Atas faktor tersebut, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal mahu membina keyakinan di kalangan para pemain mudanya bahawa tiada apa yang perlu digentarkan sangat untuk menghadapi Indonesia pada final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini. "Apa yang memberi saya keyakinan untuk menghadapi final ini ialah kita dapat lihat bahawa inilah kali pertama skuad Indonesia beraksi di luar gelanggang mereka pada Piala AFF Suzuki kali ini. "Saya teruja untuk melihat bagaimana tahap permainan sebenar pasukan Indonesia apabila beraksi di tempat lawan kerana mereka begitu selesa dari peringkat kumpulan hingga separuh akhir beraksi di Jakarta. "Situasi ini sama sekali berbeza dengan pasukan kita. Main dua perlawanan awal menentang Indonesia dan Thailand di Jakarta kemudian bertemu pula Laos di Palembang. "Hanya sekali saja kita main di Bukit Jalil dan kemudian berdepan Vietnam di Hanoi," kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan ujian menentang Felda United di Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin. Pada perlawanan tersebut, Rajagobal menurunkan barisan pemain simpanan pada separuh masa pertama sebelum memasukkan kesebelasan utamanya pada babak kedua dan mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan Ashari Samsudin dan Safee Sali. RAJAGOBAL (kanan) dan pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal berharap para pemain tidak gentar untuk berdepan Indonesia pada perlawanan akhir pertama, Ahad ini. Seperkara lagi yang menarik tentang final kali ini, Malaysia hanya membuat persiapan suntuk untuk Piala AFF Suzuki selain dibelenggu masalah kecederaan berbanding Indonesia yang persiapannya lebih mantap. "Sudahlah ramai tonggak utama kita terpaksa diketepikan akibat kecederaan, kita juga hanya sempat berlatih seminggu saja selepas menyertai Sukan Asia di Guangzhou. "Indonesia pula, tidak menghantar langsung pasukan ke Sukan Asia kerana mereka mahu melakukan persiapan penuh bagi kejohanan ini. Apa pun, sesuatu yang boleh dibanggakan apabila kita tetap berjaya mara ke final," jelas Rajagobal. | ||
Posted: Safiq bakal cipta sejarah
ANDAI Malaysia berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, individu yang paling gembira pastinya ketua pasukan skuad kebangsaan pada kejohanan kali ini, Safiq Rahim. Biarpun menggalas tugas selaku kapten seawal usia 23 tahun, pemain tengah Selangor itu mampu mencipta sejarah untuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjulang trofi Piala AFF Suzuki. Kapten-kapten skuad kebangsaan terdahulu belum pernah mengecap pengalaman tersebut kerana sejak kejohanan ini diperkenalkan dengan nama Piala Tiger pada 1996, Malaysia hanya sekali berjaya mara ke final iaitu pada edisi sulung itu sebelum tewas 0-1 kepada Thailand. Justeru Safiq menyifatkan situasi tersebut sebagai motivasi tambahan kepada dirinya untuk membantu skuad kebangsaan menewaskan Indonesia pada dua aksi final pada Ahad ini dan Rabu depan. "Memang ini membuatkan saya lebih bermotivasi untuk memastikan Malaysia muncul juara buat pertama kali pada kejohanan kali ini. Saya begitu teruja untuk menjulang trofi Piala AFF Suzuki selaku ketua pasukan. "Oleh itu, misi kami pada final pertama Ahad ini ialah untuk mencari bekalan gol yang cukup selesa untuk dibawa ke Jakarta Rabu depan. "Saya sendiri turut memasang impian untuk menjaringkan gol pada kedua-dua aksi final nanti selepas sudah lama tidak menjaringkan gol," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin. Safiq turut memberitahu bahawa tidak apa yang perlu diragukan terhadap jentera serangan Malaysia jika hendak dibandingkan dengan Indonesia biarpun pasukan lawan sudah meledak 15 gol manakala Malaysia hanya lapan gol. "Secara peribadi, saya lebih percaya dan yakin terhadap barisan penyerang kita yang sebenarnya lebih baik daripada Indonesia. Cuma pada perlawanan pertama ketika kita dibelasah Indonesia, kami belum cukup bersedia dan tidak pada prestasi terbaik. "Indonesia biarpun mempunyai Cristian Gonzales, saya tak anggap ia masalah yang cukup besar kerana saya yakin barisan pertahanan Malaysia mampu mengawal pergerakannya," tegas Safiq. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan