Utusan Online - Sukan |
Posted: 'Buru jaringan besar'Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap skuad negara mampu mencapai kemenangan 3-0 ke atas Indonesia dalam perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini sebagai bekalan selesa mereka. Katanya, jaringan pendahuluan itu pasti menyulitkan hasrat lawan yang turun bertemankan penyokong fanatik pada perlawanan kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta sekali gus meletakkan anak buah K. Rajagobal menghampiri piala berprestij bola sepak rantau Asia Tenggara itu. "Saya berharap dan meramalkan kita perlu menang 3-0 di sini, sebagai bekalan selesa sebelum bertandang ke Jakarta (Rabu ini)," katanya pada sesi latihan skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, menjelang pertembungan buku dengan ruas itu. Mengenai ganjaran, Tengku Abdullah memilih untuk merahsiakan bentuk imbuhan sekiranya skuad negara berjaya menjulang kali pertama piala berkenaan, walaupun pelbagai pihak Indonesia awal-awal lagi mengumumkan ganjaran lumayan buat anak buah Alfred Riedl itu. "Ganjaran bagi kejayaan mereka akan ditetapkan selepas kedua-dua perlawanan. Ia tetap ada, malah dalam kejayaan ketika beberapa perlawanan lalu, kita sudah berikannya," katanya yang menyeru kehadiran dan sokongan ribuan penyokong Harimau Malaya ke Bukit Jalil. Tegasnya: "Inilah detik yang dinanti-nantikan dan kepada pasukan, bermain sebaik mungkin dan kita mengharapkan dan amat memerlukan kejayaan di gelanggang sendiri daripada mereka. "Saya yakin mereka kini bersemangat tinggi untuk melakukannya, malah saya rasa setiap kejayaan pasukan ini bakal menjadi titik tolak kebangkitan dan mutu bola sepak negara," katanya. Mengenai masa depan Rajagobal yang membawa skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun, katanya: "Dia mungkin dikekalkan sebagai sebahagian barisan kejurulatihan dalam skuad Sukan SEA 2011 pula. "Sama ada khidmatnya diteruskan pula sebagai jurulatih skuad Sukan SEA 2011, saya tidak dapat pastikan lagi, walaupun memang ada kemungkinan pada fikiran saya, dia mampu menjadi sebahagian daripada pasukan itu. "Namun dalam masa yang sama, FAM mahu cuba memberikan pendedahan kepada jurulatih tempatan lain supaya mereka juga dapat belajar apabila memikul tanggungjawab itu," katanya. Rajagobal juga membimbing skuad Bawah 23 negara mengakhiri kemarau emas dua dekad Sukan SEA di Laos, tahun lalu selain ke pusingan kedua Sukan Asia di Guangzhou, bulan lalu. | ||
Posted: Safiq mahu tamat kemarau golOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR – Nama ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim mungkin agak sedikit tenggelam berbanding Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, selepas berakhir saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010, apabila sehingga kini dia masih gagal menjaringkan sebarang gol. Justeru itu, anak jati Kuala Selangor itu berazam mahu menamatkan kemarau jaringan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi membantu Malaysia mendapatkan bekalan selesa sebelum bertandang ke Jakarta. ''Agak sedikit kecewa kerana sehingga kini saya masih gagal menjaringkan sebarang gol, sama ada di perlawanan peringkat kumpulan atau separuh akhir. ''Diharapkan pada perlawanan akhir nanti, nama saya akan tertera sebagai penjaring gol, malahan memang impian saya untuk mendapatkan gol pada perlawanan akhir sambil disaksikan puluhan ribu penyokong setia Malaysia," katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Felda United di Wisma FAM, kelmarin. Pada perlawanan itu, Malaysia menang 2-0 hasil jaringan Ashari Samsudin dan Safee Sali pada separuh masa kedua. Bagaimanapun, Safiq menjadi kunci penting di sebalik kejayaan Malaysia membenam Vietnam 2-0 pada saingan separuh akhir pertama, apabila dua gol yang dijaringkan Safee Sali berpunca daripada percubaan dan hantaran sepakan percuma yang dilakukannya. Dia juga cemerlang ketika Malaysia menang besar 5-1 ke atas Laos, perlawanan yang membuka pintu ke separuh akhir buat skuad negara. Safiq juga mahu memperbaiki kelemahan dalam memberi hantaran yang dirasakannya agak sedikit lemah dalam beberapa perlawanan sebelum ini. ''Memang diakui, hantaran saya kepada rakan sepasukan ada sedikit kelemahan, saya akan cuba memperbaikinya dalam dua atau tiga hari semasa sesi latihan, '' jelasnya. Mengenai reaksi yang ditunjukkan peminat, dia meluahkan rasa bangga dan terharu dengan sokongan bertambah yang ditunjukkansejak kebelakangan ini dan diharapkan ia berterusan sehingga pada masa akan datang. ''Teruja melihatkan cara sokongan yang diberikan oleh penyokong tempatan, masa perlawanan persahabatan malam ini pun masih ada peminat yang sanggup turun melihat kami bermain walaupun dalam cuaca hujan. ''Sokongan sebegini biarlah berterusan sampai bila-bila dan harap situasi ini akan kekal," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan