Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Reaksi positif idea Anifah

Posted: 17 Jan 2011 09:32 AM PST

CADANGAN Malaysia menganjurkan Piala Dunia Fifa 2030 secara bersama dengan negara rantau ini mendapat reaksi positif apabila mesyuarat Menteri Luar Asean, semalam bersetuju mengemukakan cadangan itu kepada pemimpin negara masing-masing.

Menurut kenyataan dikeluarkan laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), semalam, mesyuarat berlangsung di Lombok itu melahirkan kesediaan mengemukakan cadangan rasmi bagi mendapatkan kelulusan pemimpin rantau ini ketika Sidang Kemuncak Asean di Jakarta pada 7-8 Mei ini.


Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang menjadi wakil Malaysia dalam mesyuarat di Indonesia itu bagaimanapun gagal dihubungi untuk pengesahan.

Namun, Timbalannya, Senator A Kohilan Pillay tidak menolak kemungkinan cadangan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 itu dibangkitkan Anifah dalam mesyuarat Menteri Luar Asean itu.


"Beliau akan pulang ke Malaysia malam ini (malam tadi) dari Lombok, mungkin anda boleh mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripadanya esok (hari ini). Memang beliau menghadiri Mesyuarat Menteri Luar Asean dan mungkin dalam perjumpaan itu cadangan untuk menganjurkan Piala Dunia dibincangkan," katanya yang dihubungi Arena Metro, semalam.


Malaysia pencetus idea menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 pada mesyuarat tahunan Menteri Luar di Hanoi, Julai tahun lalu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merestui cadangan itu.

Pada mesyuarat Menteri Kewangan Asean di Kuala Lumpur baru-baru ini, Menteri Kewangan Thailand, Korn Chatikavanij turut membangkitkan cadangan sama yang mendapat sambutan baik di kalangan rakan sejawat.


Menteri Luar Singapura, George Yeo pula mencadangkan Malaysia memainkan peranan utama dengan sekretariat Asean di Jakarta bagi menyediakan cadangan lebih terperinci untuk mendapatkan kelulusan semua pemimpin Asean.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya belum mendapat maklumat lanjut cadangan penganjuran Piala Dunia itu.


"Sebagai badan induk bola sepak kebangsaan, kami akan menyokong usaha menjadi tuan rumah Piala Dunia demi kebaikan bola sepak negara," katanya ringkas.


Brazil menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014, diikuti Russia (2018) dan Qatar (2022). Bagaimanapun, tuan rumah 2026 dan 2030 belum diputuskan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

KOAM tergesa-gesa

Posted: 17 Jan 2011 09:26 AM PST

JURULATIH lompat bergalah negara, Mansahar Abdul Jalil menganggap Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) tergesa-gesa mengadakan program latihan di Kompleks Sukan Ranau, Sabah memandangkan pusat latihan itu belum dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan latihan.

Dengan keadaan pusat latihan itu yang serba kekurangan, beliau belum bersedia membawa atlet jagaannya untuk mengadakan latihan di sana buat masa ini.


"Kalau setakat ada trek tapi peralatan latihan tak cukup, tak perlulah berlatih di sana. Kalau semua sudah lengkap barulah boleh mengadakan latihan kerana sukan lompatan ini acara teknikal dan memerlukan peralatan yang cukup. "Banyak lagi belum lengkap seperti peralatan gimnasium dan juga dewan gimnastik. Kalau sudah pergi ke sana baru nak lengkapkan kemudahan pada saya tak berbaloi dengan kos dan masa, tambahan pula ramai juga atlet yang masih belajar ketika ini.

"Pada saya program ini dibuat dengan tergesa-gesa, sepatutnya perlu ada perancangan lebih awal sejak tahun lalu lagi," katanya yang diminta mengulas mengenai program latihan terbaru KOAM yang dianggarkan menelan belanja RM3 juta itu.


Sebelum ini, KOAM merancang menghantar 72 atlet olahraga menjalani latihan di kawasan beraltitud tinggi sebanyak empat fasa di Kompleks Sukan Ranau, Sabah bermula bulan depan.


Bagaimanapun, program khusus bagi persediaan atlet ke Sukan Sea di Indonesia November depan itu tidak mendapat persetujuan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong yang menganggap cadangan KOAM adalah satu pembaziran kerana daripada segi geografi, Ranau bukan kawasan tanah tinggi yang sesuai untuk latihan atlet bagi acara larian.

Mansahar yang kini membimbing empat atlet termasuk jaguh lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu turut berpendapat tidak semua atlet sesuai menjalani latihan di sana.


"Saya tidak pasti bila kami akan pergi kerana ia program berperingkat. Bagi atlet lompatan, lebih sesuai berlatih di sana tiga minggu sebelum ke Sukan Sea atau sebelum atlet menyertai pertandingan di Eropah sekitar Mei dan Jun ini. Tapi buat masa ini tak perlu lagi, kalau pergipun tak memberi manafaat.

"Tempat latihan sebenarnya tidak penting, yang penting atlet saya dapat lebih banyak kejohanan kompetitif berbanding tahun lalu. Tahun lalu saya harap dapat 12 kejohanan tapi cuma dapat tiga kejohanan saja. Kejohanan penting untuk atlet membuat persediaan sebelum menyertai dua kejohanan penting ATF di Kobe Jepun dan Sukan Sea di Indonesia," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan