Kosmo Online - Sukan |
Enam pelumba galas cabaran skuad Malaysia Posted: Enam pelumba galas cabaran skuad MalaysiaOleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH DARI kiri, Seers, Suhardi, Amir, Sea Keong, Nur Rizuan, Muhammad Rauf dan Ahmad Fakrullah yang akan membawa cabaran Malaysia pada LTdL 2011. PASUKAN baru, jurulatih baru dan semangat baru. Itulah wajah-wajah yang menghiasi skuad kebangsaan Malaysia pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 bermula 23 Januari hingga 1 Februari depan. Setelah mendapat sentuhan jurulatih baru dari Australia, Graham Seers sejak awal bulan ini, akhirnya senarai enam pelumba yang akan menggalas nama Malaysia telah diumumkan semalam. Enam pelumba tersebut - Suhardi Hassan (kapten), Amir Mustafa Rusli, Mohd. Rauf Nur Misbah, Loh Sea Keong, Mohd. Nur Rizuan Zainal dan Ahmad Fakhrullah Alias adalah 'resepi terbaik' daripada ilham Seers dalam misi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meneruskan kejutan pada LTdL edisi ke-16 ini. Gabungan pelumba berpengalaman dan muda ini menyaksikan Seers menggunakan formula 4 + 2, empat pelumba pendaki (Amir, Rauf, Sea Keong dan Nur Rizuan) dan dua pelumba pecut (Suhardi dan Fakhrullah). Formula itu adalah untuk memastikan skuad Malaysia tidak jauh ketinggalan dalam persaingan pendakian iaitu peringkat keempat di Genting Highlands dan peringkat kelima di Cameron Highlands. "Gabungan empat pendaki dan dua pakar pecut ini ialah untuk memastikan kita dapat melepasi dua peringkat pendakian di samping turut memberi saingan dalam peringkat perlumbaan lain," kata Seers pada majlis pengumuman pelumba skuad Malaysia di Bukit Jalil semalam. "Dalam latihan selama 10 hari di dua lokasi tersebut (Genting Highlands dan Cameron Highlands), saya rasa empat pelumba ini adalah pendaki terbaik yang kita ada setakat ini dan digabung dengan pengalaman Suhardi serta potensi pelumba muda, Ahmad Fakhrullah, saya yakin kita mampu melepasi dua peringkat penting ini. "Begitupun, kita tidak boleh terlalu meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap pasukan ini kerana saya baru melatih mereka lebih kurang dua minggu. "Namun, saya boleh beri jaminan bahawa sekiranya kita mampu melepasi peringkat keempat di Genting Highlands, maka peringkat kelima di Cameron Highlands pula sudah pasti tiada masalah bagi pelumba ini." Nada yang sama turut diluahkan Presiden PKBM, Abu Samah Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2011, Mohamad Salleh mengenai harapan menggunung yang diletakkan di bahu keenam-enam pelumba negara ini. |
Posted: Wajah baru SelangorOleh WAN FAKHRUL BAKAR SKUAD Liga Super Selangor memperagakan jersi baru mereka dengan menggunakan jenama Kappa di Stadium Shah Alam semalam. SYARIKAT milik kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar Incorporated (MBI) kekal sebagai penaja utama manakala Kappa muncul penaja baru jersi skuad Liga Super dan Piala Presiden Selangor bagi musim 2011. MBI mula menjadi penaja utama skuad Selangor sejak musim lalu selepas menggantikan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) manakala Kappa menggantikan Adidas yang merupakan penaja jersi skuad Red Giants itu dari musim 2005 hingga 2010. Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor berkata, sasaran skuad Selangor musim ini ialah mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sumbangsih serta merampas semula Piala Malaysia. "Setiap musim memang kita mahu sasar empat piala secara maksimum tetapi selalunya kita hanya dapat dua atau tiga piala. Apabila tiba saingan Piala Malaysia, kita gagal. "Jadi selain mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sumbangsih yang dimenangi berturut pada 2009 dan 2010, kita akan cuba lagi untuk menjulang Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2005. "Tentang jumlah tajaan MBI untuk musim ini, tiada nilai spesifik. Namun, kebiasaannya nilai tajaan MBI untuk satu musim ialah melebihi RM4 juta," katanya pada Majlis Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Jersi Baru Selangor 2011 di Stadium Shah Alam, petang semalam. Sementara itu, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad memberitahu bahawa harga tiket bagi aksi Piala Sumbangsih bertemu Kelantan pada 29 Januari ini di Stadium Shah Alam ditetapkan pada harga RM20. "Untuk perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam sepanjang musim ini pula, harga tiket dinaikkan ke RM15 dewasa manakala kanak-kanak bawah 12 tahun kekal RM5. "Sejak Selangor menggunakan Stadium Shah Alam pada 1994, harga tiket RM10 kekal untuk tempoh yang cukup lama. Mengambilkira kos semakin meningkat, sudah sampai masanya harga tiket dinaikkan," kata Mokhtar. Dalam pada itu, pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor, K. Devan mahu pasukannya menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk menjulang trofi Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut. "Musim 2009, kita menang di Alor Setar manakala musim lalu kita menang di Paroi. Kali ini buat pertama kalinya kita akan mempertahankan Piala Sumbangsih di Shah Alam," kata Devan. |
Posted: Rashid kecewa prestasi remajaOleh HELMI TALKAH AKSI Liew Darren ketika menentang pemain Taiwan, Hsueh Hsuan Yi pada kelayakan Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. TEMPOH dua tahun diberikan kepada barisan pemain perseorangan badminton lelaki negara untuk membuktikan kemampuan masing-masing. Kenyataan itu disuarakan ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek yang jelas kecewa dengan prestasi anak-anak didiknya apabila gagal melepasi saingan kelayakan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. Daripada tiga pemain yang beraksi pada saingan kelayakan semalam, tidak ada seorang pun yang berjaya menempah slot ke pusingan pertama. Mereka ialah Chan Kwong Beng, Liew Darren dan Chow Wei Feng apabila kesemuanya tewas di tangan lawan masing-masing. Ketiga-tiga pemain tersebut layak beraksi bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan beberapa pemain yang membuat keputusan menarik diri termasuklah seorang lagi pemain negara, Tan Chun Seang yang mengalami masalah kecederaan Achilies. Bagaimanapun, peluang yang diberikan itu ternyata disia-siakan begitu sahaja apabila mereka gagal mempamerkan aksi konsisten biarpun kini telah bergelar pemain skuad elit kebangsaan. Bagi Rashid, kegagalan tersebut ternyata sukar untuk diterima memandangan Kwong Beng, Darren dan Wei Feng sudah diberikan pendedahan yang secukupnya di pentas antarabangsa. "Kejohanan kali ini bukan lagi medan pendedahan buat ketiga-tiga pemain tersebut. Mereka sepatutnya sudah boleh memberikan keputusan yang baik. "Kita bagi tempoh dua tahun kepada mereka untuk buktikan kualiti serta kemampuan yang dimiliki mereka dan sekiranya masih gagal, kita akan bagi peluang kepada barisan pemain pelapis negara pula," jelas Rashid semalam. Sekiranya ia menjadi kenyataan, pemain-pemain pelapis yang kini di bawah kendalian Hendra Setiawan seperti Misbun Ramdan Misbun, Syawal Ismail serta Iskandar Zulkarnain hampir pasti bakal menggalas cabaran skuad negara di pentas antarabangsa. Bagaimanapun, Rashid tidak menyalahkan Kwong Beng, Darren dan Wei Feng sepenuhnya ekoran kegagalan tersebut sambil menggangap ketiga-tiga pemain itu masih memiliki ruang untuk memperbaiki kelemahan. "Macam Kwong Beng, saya lihat dia mudah hilang fokus dan perkara itu perlu diperbaiki jika mahu terus bersaing dengan pemain-pemain lain. "Apabila pemain itu hilang fokus, kesilapan-kesilapan mudah pastinya akan berlaku. Itu perlu diperbaiki lagi ketika sesi latihan. "Daripada aspek lain, semuanya tidak ada masalah," kata Rashid. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan